Aku tidak ingat sejak bila abah begitu; tidak lagi mampu berjalan atau menyuap makanan sendiri. Apa yang
pasti, sejak beberapa bulan lalu; setiap pagi selepas menghantar anak bongsuku,
Siti Adibah ke sekolah, rutinku mengangkat abah di katil dan meletakkan ke
kerusi roda dan seterusnya menolaknya ke bilik air.
Abah masih
dimandikan emak. Hanya setelah isyarat `dah!’ emak, aku kembali ke bilik air
dan menolaknya pula ke ruang tamu bahagian dapur rumah.
Seperti selalu,
emak telah menyiapkan sarapan pagi dan menyuap abah dengan suapan kasih sayang.
Usia 83 dan 82 tahun abah dan emak mencemburui aku tentang padunya cinta
mereka.
Setelah
berbual-bual ringan sekitar 15 minit dan emak pula meneruskan perhatiannya
kepada rancangan `Tanyalah Ustaz’ TV9, aku memohon diri untuk meneruskan rutin
harianku pula sehingga kira-kira jam 1.00 tengah hari – berkebun di atas tanah
peninggalan mentua.
“Jangan lupa
jemput abah!,” panggilan adik bongsuku, Wahida yang tinggal bersama abah dan
emak, mengingatkan aku janjitemu dengan mereka pagi itu.
Ketika hendak
menghidupkan enjin kereta, panggilan emak pula memaklumkan abah tidak mahu ke
klinik seperti yang diputuskan kelmarin.
“Emak cubalah
pujuk dia,” aku memberi saranan lalu memandu menuju Kampung Pelegong.
Aku yakin, abah
akan memenuhi permintaan buah hatinya itu.
“Bila kau lapang
nanti, bawa abah kau ke klinik. Wahida kata sampai bila pula hendak macam ini.
Manalah tahu dia elok, nanti,” kata emak pada suatu pagi.
Sampai di kampung,
abah dan emak rupa-rupanya telah lama menunggu. Lalaiku kerana asyik melayan
interaksi di Facebook menyebabkan rasa berdosa mengusap di hati.
Aku segera menolak
kereta sorong ke pintu keretaku yang kuletakkan berhampiran pintu dapur. Aku
mengangkat abah penuh kasih sayang ke tempat duduk depan. Air jernih kelihatan
di kelopak matanya. Memang abah yang gagah suatu ketika dahulu, begitu naif
kebelakangan ini.
Klinik Yong di
Jalan Tunku Hasan dituju; klinik pakar yang turut mendapat kepercayaan isteriku
sejak lama.
Tebiasa dengan
amalan harian, aku menghidupkan pemain video keretaku yang dilengkapi sistem
bunyi yang agak terkini. Audio yang tinggi bass dan wajah Aishwarya
Rai yang tinggi lampai segera tertayang di monitor di depan kami.
Aku sengaja
membiarkan keadaan itu dan kami membawa perasaan masing-masing. Ternyata cakera
klip video koleksi filem lakonan Aishwarya Rai, masih berada di dek. Maka
tertayang di skrin, Anil Kapoor sedang menari rancak dengan isteri Abishek
Bachaan itu di atas gunung bersalji.
Pada mulanya aku
lihat abah bagaikan malu menyaksikan adegan-adegan yang menguja nafsu. Bagaimanapun
sesekali aku lihat abah mencuri pandang.
Semua
adik-beradikku tahu, walaupun abah cuma dua minggu menjejak tangga sekolah dan
tidak tahu secara Geografinya di mana letaknya India, abah pemuja filem
Hindustan.
Mungkin kerana itu
jugalah agaknya, aku mewarisi genetik gila filem Hindustannya yang memungkinkan
pula aku sering dikutuk rakan, “Belajar sampai England tapi gila filem
Hindustan.”
Melalui pandangan
sisi, aku lihat abah memandang tepat Aishwarya Rai yang sedang diusap Anil
Kapoor yang berlatarbelakang taman bunga yang dipenuhi flora dan fauna yang
pelbagai warna pula. Mereka kemudiannya berkejaran mengelilingi pohon rhu yang
rendang.
Bagaimanapun abah
segera mengalih arah pandang seolah-olah ingin pula melihat pemandangan di
sebelah sisi kirinya yang mungkin lama tidak dilihatnya.
“Hipokrit juga
abah aku ini,” tercetus fikir nakalku.
Dalam tempoh
perjalanan yang mengambil masa kira-kira setengah jam itu, pelbagai lagu
petikan filem `Taal’ dan `Aab Aaab Aur Chalen’ itu dimainkan.
“Syukriya!
Syukria! Syukria! Mere piya. Jitne sohye lehwab...”
Aishwarya menarik suara tinggi dan cukup menguja. Abah kulihat resah.
Sampai di klinik, cuma
ada dua pesakit sedang menunggu. “Alhamdulillah!,” aku melafaz syukur, Biasanya
Klinik Yong penuh dengan pengunjung.
Atas permintaan
aku, Dr. Yong melakukan pemeriksaan penuh; x-ray, ECG, ujian air kencing, ujian
tekanan darah, jantung dan yang berkaitan.
Lebih setengah jam
juga kami menunggu keputusan pemeriksaan dan akhirnya Dr. Yong memanggil aku ke
biliknya.
“Fantastik! Segala-galanya
baik – jantung, tekanan darah, hempedu. Dengan umur 83 tahun, dia tiada masalah
fizikal sebenarnya. Kalau adapun cuma memerlukan city-scan untuk
mengesan kecederaan saraf otak,” kata Dr. Yong optimis.
Sewaktu meminta
diberikan ubat yang baik pula, Dr. Yong menjelaskan ianya juga tidak perlu.
“Kalau nak cuba juga, saya akan berikan pil untuk membaiki saluran sarafnya,”
katanya yakin.
Walaupun perlu
membayar RM300 untuk perkhidmatan itu, aku puas. Abah sihat dan libidonya
pulih. Libido abah telah dirangsang Aishwarya Rai.
1 ulasan:
Tahu! Aku tahu bahawa terima kasih itu sepatutnya hanya ditujukan kepada Allah tetapi dalam konteks ini ia cuma berupa... (jawapan awal yang sengaja disiapkan...)
Catat Ulasan