Ini bukan Khadijah tapi Anim, PA Pengarah yang aku `pinjam' sewaktu diberi kepercayaan sebagai Pemangku Pengarah IPG Kampus Raja Melewar buat beberapa hari sebelum bersara. |
Tumbesaran
tubuhku agak lambat dulu. Sewaktu di tingkatan empat di Sekolah Menengah Dato’
Mohd Said, Nilai pada tahun 1969, ketinggianku cuma 4 kaki 11 inci. Oleh itu
adalah tidak menghairankan, Rakib salah seorang pelajar mengulang sewaktu di
Tingkatan Lima gemar sangat membuliku ketika itu.
Kesannya cukup besar. Self-esteemku cukup rendah.
Untunglah pencapaian cemerlangku dengan kedudukan top three dari darjah satu hingga tingkatan lima
menjadi pengimbang.
Menyebut pasal cinta, aku tidak ingat sangat
bagaimana mulanya aku berkenalan dengan istilah itu. Apa yang pasti, ia cukup
lambat berlaku.
Di sekolah menengah aku tidak mengenalinya.
Begitu juga di maktab perguruan. Sewaktu di tahun satu, aku menjadi pelajar
termuda kerana aku lahir di hujung tahun.
Sewaktu aku di tahun dua pula, Bahagian
Latihan Guru ketika itu membuat dasar baru mengambil pelajar yang tercicir dari
pantai timur untuk diberi latihan mengisi kekosongan. Maknanya, walaupun mereka
juniorku tapi umur mereka lebih tinggi.
Sekali lagi aku tidak berpeluang untuk
bercinta. Bagaimana hendak bercinta sedangkan mereka membahasakan diri mereka
sebagai kakak belaka?
Apabila sudah bergelar guru terlatih, aku
dihantar pula ke Sekolah Kebangsaan Felda Jengka 4, Pahang. Waktu itu
petempatan Felda ini baru dibuka. Jadi, anak-anak peneroka ini semuanya masih
bersekolah. Kalau dapat melihat anak dara orang, cuma sesekali iaitu sewaktu
ada sanak-saudara peneroka yang bertandang.
Biasanya mereka ditemui samar-samar sewaktu
menonton wayang pacak. Sekali lagi fitrah semulajadi lelakiku untuk bercinta
terhalang.
Hanya menjelang akhir tahun di situ, aku
menemui Khadijah. Itupun dalam suasana malu-malu. Aku menemuinya sebagai
pelajar tingkatan lima, salah sebuah sekolah agama di Melaka di Zoo Negara
sewaktu membawa rombongan sekolah.
Kami sering berutus surat selepas itu. Aku
rasa hubungan kami ada chemistry.
Khadijah aku senangi kerana sifat innocentnya.
Tugasnya menghalau burung di sawah juga turut dijadikan bahan suratnya.
Menyebut pasal surat, kami guru yang masih
muda – Latif dan Baijuri - mempelajarinya daripada Cikgu Malik. Guru yang
berasal dari Pekan ini telah berusia tetapi masih belum berkahwin. Dia cukup
dikenali di Kuantan sebagai pengarah teater disegani. Apatah lagi, dia juga
Setiausaha Parti Sosialis Rakyat Malaysia, Pahang.
Cikgu Maliklah yang banyak memberi tip
bagaimana menghasilkan surat yang pasti dibalas.
“Apa
yang penting bahasa mesti puitis. Pilih perkataan yang benar-benar boleh
menusuk kalbu.
“Perempuan pasti akan resah. Dia pasti tak
boleh makan dan tak boleh minum selagi belum menjawab surat kau,” katanya
bersungguh-sungguh yang diikuti derai ketawa ala Koesno Soejarwadi, pelakon
Indonesia pujaanku ketika itu.
Sehingga kini aku tidak pasti – tip Cikgu
Malikkah yang membuatkan Khadijah resah atau kehebatan bahasaku sendiri. Aku
ingin bertanya kepada Khadijah tetapi kini dia telahpun menjadi nenek tiga
orang cucu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan