Isnin, 23 September 2013

Firdaus Abdullah, Maafkan Cikgu!

Firdaus Abdullah (kiri), Satish dan lain-lain menyambut
kedatanganku di muka pintu (Foto Aslina Kamila)
Seperti selalunya kebelakangan ini, saya sudah terbangun daripada tidur sekitar jam 3.00 pagi dan melaksanakan apa yang dituntut dan selepas itu dalam suasana santai sendirian akan meneliti catatan di Facebook dan mengemaskini blog ini.
    Bagaimanapun pagi ini agak berbeza. Kesegaran tubuh berada pada tahap maksimum. Walaupun letih kerana ziarah Walimatulurus anak rakan, Dr. Husin di Bangi dan kemudiannya ke majlis doa selamat cucu Ahmad Zabidi Hitam (rakan lama di Berita Harian) di Taman Samudera, Batu Caves semalam, catatan-catatan bekas muridku mengenai majlis temukembali  (reunion) bekas pelajar TBS yang berlangsung Sabtu lalu diberi tumpuan khusus.
    Terasa benar bahagianya apabila dirai dan disantuni anak-anak didik yang kini menjadi orang berjaya dalam kerjaya dan kehidupannya.
    Dato’ Farid. Ia Dato’ Farid Alias, murid Darjah 6 Kuning yang aku ajar dahulu memang mendapat perhatian utama rakan-rakannya di majlis itu. Mereka bersama-sama dalam suasana ceria meraikan rakan mereka yang baharu sahaja dilantik sebagai Presiden dan CEO Kumpulan Maybank, konglomerat ternama negara.
    Sewaktu meneliti catatanku sendiri yang menyatakan cukup berbahagia kerana disambut Satish, Loganathan, Gunalan dan lain-lain (nama-nama ini memang masih kuingat, sehingga mengejutkan Peguam Satish sendiri) tumpuan mataku tertancap pada wajah yang sering menjenguk di akaun Facebookku dengan `Firdaus Abdullah shared a link via iOS kepada tulisan-tulisan yang serius sifatnya.
    “MasyaAllah!,” darahku berderau.
    Gunalan? Firdaus Abdullah? Benarkah?
    Aku lantas ke akaun Facebook Firdaus Abdullah dan meneliti maklumat yang terdapat pada `About’. Work and Education: The University of Hard Knocks. Living: Kuala Lumpur. Tampin.
    “Allahu Akbar!” Firdaus Abdullah itu adalah Gunalan. Murid Darjah 6 Merah yang aku ajar dahulu? Mengapa tidak pekanya aku selama ini?
    Firdaus Abdullah rupa-rupanya pemilik blog Apanama (http://www.apanama2020.blogspot.com/), blog yang sering aku ikuti sejak dahulu. Blog ini adalah `satu sekolah pemikiran’ dengan rakan-rakannya Rocky Bru, Big Dog, The Mole dan lain-lain.
    Kalau sebelum ini apabila menyebut nama bekas muridku yang berjaya dalam bidang media, cuma nama Mohd Ashraf Abdullah (Kumpulan Media Prima) dan Ramli Karim (Kumpulan Utusan) yang disebut, sedangkan nama Firdaus Abdullah juga adalah dalam baris yang sama.
    Ternyata, budak bertubuh kecil tapi tinggi naluri ingin tahunya dahulu, kini bertubuh tinggi lampai dan masih kelihatan malu untuk menyatakan kehadirannya yang jelas dalam dunianya. Benarlah seperti kata-kata yang pernah dicatatkan dalam Facebooknya dahulu, bahawa: 
     There are two kinds of people, those who do the work and those who take the credit. Try to be in the first group; there is less competition there. - INDIRA GANDHI.
     Firdaus! Maafkan Cikgu dan saya bangga dengan pendirian kamu.

Tiada ulasan: