Wanita Cina itu kembali menemui
kami kira-kira 10 minit kemudian. Dia memperjelaskan beberapa syarat baharu
yang telah dibincang dan dipersetujui bersama dengan manager syarikat
yang kononnya berada di ibu pejabat syarikat.
Antara syarat-syarat baru yang diperjelaskannya ialah:
·
Isteriku
perlu melengkapkan dan menandatangani borang persetujuan sama seperti yang
telah ditunjukkan dalam perbincangan sesi pertama.
·
Wang tunai
sebanyak RM4,000 masih perlu diserahkan (untuk sementara sahaja) untuk diambil/disalin
nombor-nombor sirinya. Wang itu akan dikembali setelah urusan itu selesai.
Namun, wang tersebut mesti dijelaskan semula apabila 'hadiah hari kemerdekaan'
sudah sampai ke tangan kami.
·
Semua nombor
siri berkenaan akan dimaklumkan kepada manager terlebih dahulu. Selepas mendapatkan 'lampu
hijau', barulah urusan scanning (untuk
menentukan hadiah kemenangan) boleh dilakukan.
·
Jika hadiah
yang dimenangi merupakan wang tunai, maka sejumlah RM4,000 akan dipotong terus
dan bakinya sahaja yang akan diberikan.
Walau bagaimanapun, syarat-syarat berkenaan tidak aku endahkan.
Aku tetap dengan pendirianku untuk tidak menyerahkan RM4,000 walau apapun yang
akan terjadi. Aku yakin seyakin-yakinnya bahawa agenda tersembunyi mereka ialah
untuk menipu. Semua yang dilakukan oleh wanita Cina itu adalah muslihat
semata-mata. Muslihat yang dirancangnya untuk mendapatkan RM4,000 daripada
isteriku.
Namun, disebabkan oleh naluri ingin tahu, aku telah melakukan
kesilapan dengan melayan dan bersedia meneruskan perbincangan. Niat dan
tujuanku sebenarnya adalah untuk mengetahui bagaimana muslihat itu dipraktikkan
dan apakah teknologi yang mereka gunakan dalam proses penipuan tersebut.
Justeru itu di suatu ketika, telah terkeluar suatu permintaan
daripada mulutku. "Macamana kalau itu wang saya sendiri yang pegang. Itu serial
number saya bacakan and you tulislah. Bolehkah buat itu macam?"
"Ok.. ok.., no
problem. You boleh bacakan and my assistant will help you to write the
numbers", dengan pantas Si Nyonya memberi persetujuan. Dia kelihatan gembira setelah menerima
cadangan yang aku kemukakan.
Ekoran daripada persetujuan yang dicapai, aku dan isteri pergi
ke mesin ATM yang berdekatan untuk mengeluarkan wang. Isteriku mengeluarkan RM2,000
dan bakinya daripada simpanan aku sendiri. Pemergian kami itu turut ditemani
oleh Si Amoi. Mungkin dia ditugaskan untuk memastikan supaya kami kembali
semula ke pangkuan mereka untuk proses penipuan yang seterusnya.
Di dalam perjalanan pulang, aku sempat membisikkan beberapa
perkara ke telinga isteriku. "Jangan bimbang, duit tu abang yang pegang. Abang
takkan bagi dia pegang. Abang yang akan bacakan nombor siri tu, biar dia yang
tulis. Atau kita tuliskan sendiri. Abang cuma nak ... bla bla bla...., bla bla
bla.....". Seperti biasa, isteriku tetap bersetuju dengan apa yang aku
rencanakan.
Dipendekkan cerita, kamipun kembali berdepan dengan Si Nyonya
dalam siri pertemuan yang ketiga dan yang terakhir. Dia masih berada di tempat
duduknya semasa kami sampai. Di sebelah kanannya, duduk si pembantu yang telah
bersedia dengan pen dan kertas.
Apa yang terjadi ketika itu, sebenarnya tidak sama seperti yang
aku harap-harapkan. Wanita Cina itu telah melambat-lambat urusan pembacaan dan
penulisan nombor siri wang RM4,000.
Sebaliknya dia cuba melambat-lambatkannya dengan memutar-belitkan
percakapan, memujuk dan pelbagai cara lain untuk mempengaruhi aku. Muslihatnya
tidak lain dan tidak bukan ialah untuk mendapatkan wang tunai RM4,000.
"Encik Said, why not you give the money to my assistant?
Biar dia yang tulis. I think it's the better way to save time. Biar dia
tulis. In the same time, kita boleh buat scanning. Tentu lebih cepat
siap. Believe us lah. We'll give back the money". Demikian
serba sedikit kata-kata manisnya untuk mempengaruhi aku.
Entah di mana silapnya dan entah apa puncanya, secara tiba-tiba
aku telah bersetuju dengan pandangannya.
Mindaku telah diracuni dengan pujuk rayu dan jiwaku telah tercemar oleh
naluri untuk cepat tahu, cepat siap, cepat dapat dan cepat pulang ke rumah.
Sementelahan pula, kami memang sudah lama berurusan di situ. Di
samping itu, secara kebetulan aku memang ada urusan lain yang belum diselesaikan.
Jadi, pada pemikiranku, soal RM4,000 itu tidak perlu dibimbangkan sangat. Wang
itu pasti dikembalikan seperti yang dijanjikan.
Begitulah perubahan mendadak yang telah berlaku dalam diriku.
Kesannya, secara sedar aku telah menyerahkan RM4,000 kepada Si Pembantu. Apa
lagi, tersenyum lebarlah si malaun berdua tu.
"Thank for your trust. Bla bla bla...., bla bla bla... ".
Demikian beberapa kata-kata manis yang ucapkan oleh Si ibu Malaun sebaik saja
RM4,000 aku serahkan. Kemudian dia terus menelefon seseorang dan bercakap
dalam bahasa Cina yang tidak aku fahami.
Selepas selesai perbualannya itu, dia mengeluarkan sebuah alat berbentuk
seperti kanta pembesar. Alat itu
diletakkan di atas bulatan merah yang terdapat di dalam kad cabutan. Kemudian dia
meminta aku melihat apa yang kelihatan di bawah kanta tersebut. Aku berdiri dan
memandang ke arah objek yang ditunjukkan. "Do you see anything Encik
Said? Aku menggelengkan kepala kerana memang tiada apa yang kelihatan ketika
itu kecuali bulatan berwarna merah yang sedia ada.
Seterusnya dia menyuruh aku memusingkan permukaan kanta itu
mengikut pusingan jam serta memerhatikan apa perubahan yang akan berlaku.
Aku turuti kehendaknya. Permukaan kanta itu aku pusingkan
perlahan-lahan dengan jari telunjukku. Pusingannya mengikut arah pusingan jam. Beberapa
saat kemudian aku dapati warna merah (yang jelas kelihatan sebelumnya), beransur-ansur
bertukar menjadi kabur dan akhirnya tidak lagi kelihatan. Sebaliknya suatu
objek baru yang berbentuk seperti nombor mula beransur-ansur keluar. Dan nombor
yang pertama menjelma hasil scanning yang aku lakukan itu ialah nombor 1
(satu).
Ketika itu segala kegembiraan dan keterujaan yang ada dalam
diriku, terus lenyap. Sebaliknya hati mula gelisah dan debaran jantungku terasa
semakin laju. Aku bimbang nombor seterusnya ialah nombor '1' dan kombinasi
kedua-dua nombor itu nanti akan
membentuk nombor '11' (sebelas). Dan hadiah bernombor 11 adalah sebuah
tilam getah yang tidak berkualiti.
Jangkaan aku memang tepat. Nombor kedua yang muncul adalah
nombor 1. Maka dengan itu confirmlah bahawa isteriku telah memenangi
hadiah yang memang telah dijangkakan terlebih dahulu dan hadiah yang memang
tidak aku ingini.
Aku terpaku sebentar. Emosiku benar-benar terganggu. Perasaan
bimbang, geram dan marah muncul silih berganti. Ternyata aku dan isteriku telah
tertipu. Dan wang RM4,000 sudah beralih ke tangan mereka.
Di saat fikiran aku bercelaru, keadaan sebaliknya berlaku di pihak
Si Nyonya dan pembantunya. Mereka bersorak keriangan di atas kejayaan kami
menggondol sebuah tilam kesihatan yang tidak berkualiti.
"Congratulations Encik Said! Tahniah puan!
You all sudah dapat... bla bla bla..., bla bla bla..." Ucapan
tahniah dan kata-kata manis yang
kedengaran itu sebenarnya semakin meracuni perasaanku. Hatiku semakin sakit dan
kesabaranku semakin tercabar. Api kemarahannku semakin marak dan semakin sukar
untuk dibendung.
Akhirnya aku melenting. "Ini semua tipu! Saya tahu ini product
memang tak baik punya. Tak ada kualiti. Saya tak mahu ini product.
Pulangkan saya punya wang". Demikian reaksi garang yang pertama aku
tunjukkan.
"Siapa tipu? Actually you yang tipu! You sudah
janji, sudah sign agreement. So, siapa tipu? I'll sue you in court...
bla bla bla..., bla bla bla…". Demikian secara spontan wanita itu
membalas. Dia juga menunjukkan aksi garang dan bengis seperti yang aku lakukan.
Sebaik saja pertengkaran bermula, Si Pembantu terus bangun dan
melarikan dirinya ke satu sudut yang berjauhan sedikit. Dia membawa kesemua
wang RM4,000 bersama dan kemudian menyembunyikan wang tersebut ke dalam poket
seluar jeans yang dipakainya.
Isteriku yang banyak berdiam diri sebelum itu, bingkas membantu.
Dia turut memaki dan menghamun wanita Cina itu dengan pelbagai bahasa kasar dan
kesat. Mereka berdua pula bertarung bersenjatakan bahasa-bahasa kasar, kesat,
menyumpah dan sesekali mencarut.
Kesempatan itu aku gunakan untuk menelefon anak lelakiku tetapi
tidak berjawab. Kemudian aku cuba pula membuat panggilan ke telefon bimbit
menantu lelakiku, juga tidak diangkat. Aku kehilangan arah. Bantuan yang aku
harapkan tidak kesampaian.
Akhirnya aku tiada pilihan. Namun, wang RM4,000 mesti aku
dapatkan kembali dengan apa cara sekalipun.
Meskipun aku terpaksa melakukan kekasaran, aku tak peduli.
Berbekalkan
azam dan tekad serta perasaan geram yang berkobar-kabar, aku bergerak pantas ke
destinasi. Si Amoi aku hampiri dan aku jeritkan sekuat-kuat hati.
"Pulangkan! Bagi saya punya wang! Pulangkan!". Jeritanku
kuat sekali seolah-olah dilakukan oleh orang yang sudah hilang kawalan kendiri.
Implikasinya Si Amoi kelihatan ketakutan. Meskipun kelihatan dalam ketakutan, namun
dia tetap enggan menyerahkan RM4,000 kembali.
Aku buntu seketika. Mindaku berkecamuk memikirkan sama ada mahu
meneruskan dengan tindakan yang lebih ganas atau menggunakan pendekatan yang
lebih rasional dan berdiplomasi.
Dalam suasana kebuntuan itu, tiba-tiba bos Si Amoi bersuara ke
arahku dan menawarkan suatu penyelesaian. "Calm down! Calm down
Encik Said! Mari kita bincang. Sit down please. Kita
bincang ok! Let's settle this problem nicely".
Aku tiada pilihan lain pada ketika itu melainkan menerima saja tawaran
yang diajukan. Justeru itu, aku kembali
ke tempat duduk untuk meneruskan perbincangan demi mencari peyelesaian secara
baik.
Sebelum sempat kami berdialog, tiba-tiba telefon bimbitku
berbunyi. Panggilan itu datangnya daripada anak lelakiku yang gagal aku hubungi
sebentar tadi. Tanpa membuang masa aku bertindak pantas dengan melapor segala
kejadian yang berlaku dan meminta pertolongannya secepat mungkin.
"Ayah ada masalah ni. Ada orang nak tipu ayah. Kau pergi
balai buat repot polis cepat. Bawa polis sekali datang ke sini. Sekarang ayah
ada di tingkat atas sekali bangunan kedai 3 tingkat di Taman Permaisuri. Tempat
tu betul-betul di sebelah kedai sate yang kita selalu pergi makan tu".
Demikian kata-kataku yang bertali arus tanpa mempedulikan respon
daripada anakku. Aku mahukan anakku segera bertindak seperti yang aku arahkan. Selain daripada itu, aku juga bertujuan untuk menakut-nakutkan
si malaun yang berada di depanku.
Nasib terus menyebelahi aku kerana tidak lama selepas panggilan
yang pertama, panggilan kedua pula menyusul. Kali ini datangnya daripada
menantuku yang juga gagal aku hubungi sebentar tadi.
Dengan kaedah yang sama, aku menyatakan masalah yang sedang aku
hadapi dan dalam masa yang sama, aku meminta dia membawa polis secepat mungkin
ke lokasi yang aku nyatakan.
Taktik dan lakonan spontan yang aku lakukan itu rupa-rupa amat
berkesan dan telah berjaya menakut-nakutkan wanita berkenaan. Dia terus
menyatakan sesuatu kepada pembantunya dalam keadaan cemas. Antara perkataan
yang dapat aku dengar dan fahami ialah dia menyebut perkataan 'Polis!, Polis!'
dengan wajah-wajah ketakutan. Dan selepas
itu dia bergegas keluar dari bilik perbincangan.
Si Amoi juga membuat tindakan yang sama. Dia bergegas keluar
dari bilik perbincangan sambil melemparkan wang RM4,000. Wang itu bertaburan di atas meja, kerusi dan
lantai di hadapanku.
Sepantas kilat kami mengutip kesemua wang yang berselerakan itu dan
menyumbatkannya ke dalam poket baju, poket seluar dan beg tangan isteriku. Kemudian
sepantas kilat juga kami meninggalkan bilik berkenaan.
Di luar bilik perbincangan, kelihatan wanita Cina itu berdiri
sambil memegang telefon. Apabila melihat kami melintas dia terus menjeritkan
kata-kata provokasi seperti, Babi Melayu! Penipu! ... bla bla bla..., bla bla
bla...'.
Aku tidak memberi apa-apa respon terhadap jeritan malaun itu
kerana matlamat utamaku ketika itu ialah untuk meninggalkan tempat 'berpuaka'
itu secepat mungkin.
Berlainan pula dengan sikap dan tindakan isteriku. Dia kelihatan
tercabar dengan provokasi yang didengarnya
dan lantas melakukan perbuatan yang sama. Dia turut menjerit, 'Lu babi! Lu Cina
babi! Cina penipu!' Demikian isteriku melepaskan geramnya yang mungkin tidak
sempat dihabiskan sewaktu mereka bertengkar.
Menyedari perbuatan isteriku itu mungkin boleh mengundang bahaya, maka aku menasihatkannya supaya
berhenti dan cepat-cepat meningggalkan tempat berbahaya itu bersama-sama
denganku. Seperti biasa isteriku tidak membantah nasihat daripada suaminya yang
tersayang.
Aku bersyukur kerana selamat sampai ke bawah tanpa sebarang
masalah. Aku juga bersyukur kerana tidak
dipersalahkan oleh isteriku walaupun peristiwa itu sebenarnya memang berpunca
daripada kemahuan, sikap buruk dan kesilapanku sendiri. Dan aku juga tersangat
bersyukur kerana peristiwa getir untuk mendapatkan 'hadiah hari kemerdekaan' itu
telah membuktikan bahawa isteriku memang taat, setia dan sayang padaku.
Oleh: Md Said Bidin
1 ulasan:
Degup jantungku juga bergetar sewaktu menyunting cerita ini. Kawan sekolahku sejak Darjah 1 hingga Tingkatan 5 ini ternyata masih `bisa mata penanya' seperti dahulu.
Antara kelebihan Said dia mampu mengekalkan suspens sehingga mulut yang membaca tidak sempat mrngejar rasa ingin tahu di hati. Syabas `my brother!'
Catat Ulasan