Apabila sampai ke
bangunan yang dimaksudkan, kami bertiga terus berjalan menaiki tangga menuju ke
tingkat paling atas di mana bos sedang menunggu. Ketibaan kami disambut dengan
mesra oleh seorang wanita Cina dalam lingkungan umur 40-an. Rupa-rupanya nyonya
itulah sebenarnya bos yang dimaksudkan.
"Sila duduk encik, sila duduk puan," dia mempersilakan kami
berdua duduk berhadapan dengan kerusi yang dia duduki. Maka kamipun duduk di
kerusi yang disediakan, manakala si amoi yang membawa kami ke situ, terus
beredar ke tempat lain yang tidak kami ketahui.
Sebelum memulakan perbualan, nyonya itu meminta kad cabutan yang masih
aku pegang, kononnya untuk membuat
pengesahan. Selepas membelek-beleknya buat seketika, diapun memulakan
perbualan.
"Tahniah puan! Puan
telah memilih kad yang betul. And you're eligible to... bla bla bla..., bla bla bla..."
Demikianlah sebahagian daripada percakapan wanita itu di
peringkat permulaan. Dia banyak menyentuh
soal kemenangan kami dan memberi menjelasan berkaitan hadiah lumayan
yang bakal kami menangi. Dia mengguna Bahasa Melayu pelat kecinaan dan sering dicampuradukkan
dengan bahasa Inggeris.
Menurut wanita berkenaan, banyak hadiah lumayan sedang menanti
kami. Semua hadiah tersebut merupakan hadiah untuk Hari Kemerdekaan dan skema
itu disediakan oleh sebuah syarikat tempatan. Kononnya dengan skema seperti
itu, akan melayakkan syarikat berkenaan mendapatkan potongan cukai perniagaan yang
dikenakan oleh pihak berkuasa di Malaysia di samping untuk mempromosikan produk-produk
keluaran syarikat berkenaan.
Untuk mendapatkan salah satu daripada 'hadiah hari kemerdekaan'
itu, isteriku di kehendaki menandatangani satu borang persetujuan. Antara
persetujuan yang diprasyaratkan adalah seperti berikut:
·
Isteriku
bersetuju menjadi sebagai 'duta promosi' untuk syarikatnya. Gambar isteriku
(dengan pasangan) akan disiarkan dalam sebuah akhbar dan majalah tempatan.
·
Bersetuju membayar
wang tunai berjumlah RM4,000 untuk kos promosi dan penyiaran di dalam sebuah
akhbar dan majalah yang berkenaan.
·
Bersetuju
menerima apa saja hadiah yang telah dipilih dan tidak akan menukar atau
memulangkan hadiah yang berkenaan.
Dengan syarat-syarat yang dikenakan itu (terutamanya syarat yg
ke-2), hatiku semakin yakin bahawa kami sedang berdepan dengan satu penipuan. Ya,
penipuan secara halus sedang dilakukan oleh seorang wanita Cina yang mengumpan
kami dengan 'hadiah hari kemerdekaan' yang dikatakan sangat lumayan.
Aku dapat merasakan bahawa motif dan matlamat sebenarnya adalah
untuk mendapatkan wang RM4,000 daripada isteriku. Untuk mencapai tujuan
tersebut, dia menggunakan strategi yang dirancang iaitu melalui penggunaan kad
cabutan dan seterusnya menyediakan hadiah misteri iaitu 'hadiah hari
kemerdekaan'.
Realitinya, 'hadiah hari kemerdekaan' itu sebenarnya tidak wujud.
Hadiah itu sengaja diada-adakan untuk
mengelabukan mata dan fikiran kami dan seterusnya dengan senang hati kami
menyerahkan RM4,000 sebagai pertukaran untuk mendapatkan 'hadiah hari
kemerdekaan' yang jauh lebih baik dan berlipat kali ganda nilainya.
Sebelum itu, dia telah memaklumkan bahawa isteriku telahpun
mendapat tiga set hadiah yang bernilai lebih daripada RM5,000. Hadiah-hadiah
tersebut berupa satu set pinggan mangkuk, satu set peralatan memasak dan sebuah
dapur eletrik.
Hatiku sebenarnya mula berdetik dan mula berasa curiga apabila
berpeluang melihat ketiga-tiga set hadiah berkenaan. Berpandukan sedikit pengalaman yang
sedia ada dan pemerhatian secara bijaksana, maka aku membuat kesimpulan bahawa barangan hadiah tersebut adalah tidak
berkualiti dan harganya yang dikatakan melebihi RM5,000 adalah tidak masuk akal
sama sekali.
Walau bagaimanapun, kecurigaan yang bermain di fikiranku itu
tidak aku zahirkan di depan nyonya berkenaan. Aku sengaja mahu melihat bagaimana
kelicikannya membuat kerja-kerja menipu
dan yang keduanya, aku masih teruja dan menyimpan hasrat untuk mengetahui apa
sebenarnya 'hadiah hari kemerdekaan' itu dan bagaimana atau apakah kaedah yang
digunakan untuk kerja-kerja penipuan tersebut?
Dengan niat dan tujuan seperti itu, aku terus berinteraksi dengan
si nyonya manakala isteriku lebih banyak mendiamkan diri.
Pada suatu ketika, aku membangkitkan soal mengapa wang RM4,000
yang perlu dibayar terlebih dahulu sedangkan
pada kebiasaannya hadiah adalah diberi secara percuma. Mengapa 'hadiah
kemerdekaan' tak mungkin kami perolehi tanpa bayaran RM4,000. Seterusnya, secara
sinis aku turut menyatakan bahawa kami akan kehilangan RM4,000 demi untuk
mendapatkan 'hadiah hari kemerdekaan' yang sebenarnya tidak wujud atau tidak berkualiti
atau tidak selumayan seperti yang digembar-gemburkan.
Ekoran daripada sindiranku itu, Si Nyonya
terus menghulurkan sekeping kertas bergambar dan meminta aku melihatnya. Aku
mengambil kertas tersebut dan meneliti satu persatu gambar-gambar dan maklumat
yang tertera.
Rupa-rupanya gambar-gambar dan maklumat-maklumat yang tertera di
atas kertas tersebut adalah 'hadiah hari
kemerdekaan' yang dimaksudkan. Antaranya ialah beberapa buah kereta mewah,
motosikal berkuasa tinggi, TV LCD, pakej pelancongan ke luar negara, wang tunai
berbelas ribu ringgit serta sebuah produk kesihatan.
Antara hadiah-hadiah yang disediakan itu, perhatian aku lebih
tertumpu pada hadiah yang ke-11 iaitu satu barangan yang dikatakan produk
kesihatan. Sebenarnya produk itu adalah sebuah tilam getah yang boleh diisi
dengan angin/udara. Produk itu kononnya boleh menyembuhkan beberapa jenis
penyakit dan harganya pula RM5,000. Perhatian aku sebenarnya adalah lebih
kepada harganya yang juga tidak masuk akal. Pada fikiran aku ketika itu, harga
yang munasabah bagi alat kesihatan itu ialah di bawah RM1,000.
Sehubungan dengan itu, aku terus mengemukakan pandangan-pandangan
yang sinis dan lebih bersifat kontra terhadap semua fakta dan perjelasan Si
Nyonya. Dan Si Nyonya tetap tidak berputus asa dan terus meyakinkan kami dengan
pelbagai cara.
Sebaliknya, aku pula tetap menyatakan kesangsian dan pendapat
yang berbeza. Dan dipendekkan cerita, akhirnya aku membuat keputusan untuk
menolak semua tawaran dan hadiah-hadiah kemenangan.
Ternyata keputusanku itu tidak disenangi oleh wanita berkenaan. Sebelum
sempat aku dan isteriku beredar, dengan pantas dia merayu dan memujuk kami
berdua supaya meneruskan perbincangan.
"Ok encik, ini macam laa, duduk dulu and give me 5
minutes. I'm going to discuss with my manager first. I cuba minta supaya
you all dapat the hadiah without any payment".
Kenyataan yang terkini dari wanita itu menyebabkan aku mengubah
fikiran. Aku bersetuju dengan permintaan itu kerana aku merasakan bahawa
peluang untuk mendapatkan hadiah-hadiah dan 'hadiah hari kemerdekaan' tanpa
sebarang bayaran mungkin akan menjadi kenyataan.
Justeru itu aku duduk kembali bersama isteri. Di saat-saat
penantian itu, aku gunakan untuk berbincang dan memberi penjelasan yang
sepatutnya kepada isteriku. Apakah yang hendak aku lakukan dan apakah tujuanku
yang sebenar, semua aku jelaskan pada isteriku yang budiman. Dan ternyata
bahawa isteriku tetap setia dan tetap sedia mengikut apa sahaja yang aku
rencanakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan