Ini bukan Mercedes Dino tapi Mercedes milik isteri yang dibeli ketika tinggal di Manchester |
Sewajarnyalah aku sering dileteri
isteri kerana sifatku yang mudah simpati dengan kesusahan kawan-kawan.
Sesetengahnya pula bukanlah kawan yang sudah lama dikenali – macam Dino,
katerer yang menguruskan majlis perkahwinan anak sulungku, Siti Haryati.
Dino
aku kenali melalui Zain, kawan baru yang aku kenali melalui Rauf, Pengarah
Jabatan Kesenian dan Warisan Negeri. Zain yang beritahu bahawa Dino seorang
katerer berpengalaman. Dia sering diberi kepercayaan oleh orang-orang besar
negeri termasuk Exco Kerajaan Negeri.
Tidak
sampai sebulan mengenalinya, Dino membuat tawaran kepadaku. Katanya dia tidak
cukup modal pusingan bagi memenuhi tempahan. Dia minta aku melabur RM10,000.
dan berjanji akan berkongsi keuntungan.
“Saya
boleh beri cikgu RM1,000 sebulan sehingga hutang langsai,” katanya memujuk.
Memang Dino mempunyai kelebihan – pada wajahnya terpapar keikhlasan.
Sebenarnya
aku tidak berminat sangat. Aku sendiri punya bisnes sendiri lalu aku kemukakan
tawaran itu kepada isteri. “Boleh percayakah Dino ni?,” tanya isteri sangsi.
Seperti
selalunya, aku mengemukakan pelbagai kehebatan rakan-rakanku untuk meyakinkan
isteri.
Dengan
hujah-hujahku yang mantap, akhirnya isteri mengalah. “Cuba RM5,000 dulu,”
katanya sambil menyerahkan wang yang baru dikeluarkan dari bank.
Tidak
sampai beberapa minit setelah diberitahu, Dino terpacul di rumahku dengan wajah
cerianya. “Terima kasih cikgu. Mulai hujung bulan ini, saya akan bayar RM500
sebulan sehingga modal RM5,000 ini dipulangkan sepenuhnya,” katanya kepada
isteriku sambil segera berlalu menuju Mercedes E240nya.
Cuma
tiga bulan isteriku merasa duit RM500 itu. Selepas itu Dino tidak menjawab
panggilan telefon. Sewaktu aku mencarinya di rumah, jirannya berkata dia
tinggal di kampung kini kerana mengurus bapanya yang sakit.
Hampir
setahun, Dino tidak ditemui dan isteri berleter lagi kerana sifatku yang mudah
percayakan kawan-kawan. Dengan duit
graduiti yang baru aku terima, aku membayar hutang Dino kepada isteri
termasuk keuntungan yang sepatutnya diterima selama hampir setahun itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan