Waktu saya
masih kecil, ada seorang tua di kampung yang barangkali menghidap parkinson.
Kami memanggilnya Pak Jait. Sampai sekarang saya tidak tahu namanya yang
sebenar. Tapi bayangan Pak Jait yang sudah kembali ke pangkuan Illahi itu
selalu tergambar di minda saya jika saya pulang ke kampung.
Pak Jait menyara hidupnya dengan membuat
tali daripada pokok pisang. Dia tinggal bersama adik tirinya yang mempunyai
seorang isteri yang agak garang. Rumah mereka terletak di hujung kampung,
betul-betul di tebing sungai tempat Pak Jait selalu mandi.
Oleh kerana penyakitnya, Pak Jait tidak
boleh berjalan seperti orang biasa. Dia berjalan ke kiri dan ke kanan.
Pergerakannya tidak stabil. Kata emak, dia dilahirkan normal tetapi dia
mengalami demam panas yang teruk sehingga menyebabkan keadaannya begitu.
Saya masih ingat, jika orang-orang kampung
menebang pokok pisang; sayalah orang pertama yang akan berlari mencari Pak Jait
dan memaklumkan hal tersebut. Pak Jait akan membawa parang dan terhuyung-hayang
"melapah" batang pisang, mengikatnya dan memikulnya pulang. Saya akan
menunggu Pak Jait menyelesaikan tugasnya dan akan membantu dia membawa parang.
Saya bimbang jika Pak Jait terjatuh dan
parang itu menikam perutnya. Tetapi Allah Maha Kuasa, sekali pun Pak Jait tidak
terkena parangnya meskipun dia jatuh tunggang-langgang akibat pergerakannya
yang sangat terbatas itu. Untuk membantunya memikul batang pisang, saya tidak
mampu. Tubuh saya yang kecil kurus tidak memungkinkan saya membantunya.
Untuk menyeberangi barisan kayu-kayu yang
merintangi parit kecil pun satu kesukaran yang amat besar kepada lelaki tua
itu. Saya selalu memegang tangannya, menarik dan cuba menolak tubuhnya agar dia
berjaya melepasi halangan itu.
Kasihan Pak Jait. Saya selalu menangis
melihat dia jatuh. Kalau pulang ke rumah dengan mata merah, emak sudah tahu
saya menangis kerana kasihankan Pak Jait.
Oleh kerana keadaannya itu, Pak Jait selalu
mandi telanjang di sungai. Bagaimana dia mahu memakai kain basahan kalau
terhuyung-hayang begitu. Budak-budak nakal selalu mengejek-ejeknya. Sudah tentu
perbuatan itu menimbulkan kemarahan dan kekesalan yang amat sangat dalam diri
saya. Selalulah juga saya memarahi kanak-kanak itu. Sudahnya, saya yang
menangis!
Selesai menyiat batang-batang pisang itu,
Pak Jait akan menjemurnya. Setelah kering, tali-tali itu diikat dan Pak Jait
membawanya untuk dijual di pekan. Dia ke pekan menaiki bas. Bayangkan saja,
bagaimana dia menaiki bas dengan membawa tali-tali yang diikat itu. Sangat
menyiksakan. Bukan sekali dua, Pak Jait tersungkur.
Saya sudah bekerja di Kuala Lumpur ketika
emak menelefon. "Pak Jait sudah meninggal," kata emak. Saya terdiam
lama. Menahan sedih sebenarnya.
"Tapi, orang macam itu, tempatnya pasti
di syurga," sambung emak seperti mahu menyejukkan hati saya.
Saya pun memang pasti orang tua itu sangat
tenang di sana.
Hidupnya di dunia sangat derita. Dia
mendapat wang bantuan kebajikan masyarakat. Tidak banyak tapi sebenarnya
cukuplah untuk menampung hidup. Tetapi wang itu bukan menjadi miliknya. Dia
menerima tetapi orang lain yang menggunakan wang tersebut. Dia pula terpaksa
mencari rezeki dengan membuat tali daripada batang pokok pisang.
Kata emak, Pak Jait sakit sebelum meninggal.
Mengingati saya yang sangat simpati dengan nasib lelaki tua itu, emak dan ayah
menziarahinya hampir setiap hari. Kepada emaklah, dia mengadu meskipun
pertuturannya kurang difahami. Emak membawa makanan dan menyuap ke mulutnya
kerana Pak Jait benar-benar uzur. Dia diabaikan sama seperti waktu sihatnya
oleh ahli keluarganya sendiri.
"Eloklah Allah ambil dia. Susah sangat
hidupnya di dunia ini..." kata emak.
Sehingga kini pun, air mata saya masih
bergenang jika mengingati Pak Jait. Kalau pulang ke kampung, saya akan selalu
mengenangnya jika ternampak batang pokok pisang yang ditebang.
Tapi saya sangat yakin, Pak Jait insan
terpilih. Pasti Allah telah menyediakan taman syurga terindah buat lelaki itu.
Oleh: Ratna Laila
Tiada ulasan:
Catat Ulasan