Hari ini, tanggal 30 Ogos 2013 saya dimaklumkan perkhidmatan komuter KTMB mula beroperasi bermula pagi ini dengan tiga perjalanan. Jam 5.45 pagi, saya bergegas ke Stesen Keretapi Rembau yang baharu untuk merakamkan sejarah kemajuan Rembau dalam kemudahan awam.
Perjalanan
yang pertama pada jam 6.00 pagi, saya dimaklumkan hanya enam orang penumpang
ke KL Central yang bertugas di Kuala Lumpur. Namun orang pertama membeli tiket
, seorang wanita awal tiga puluhan yang dihantar oleh suaminya. Amiza Harun
namanya yang tinggal di Taman Seri Rembau Fasa III, yang berkerja di Ready Care,
Damansara. Sebelum ini, Amiza sudah
lebih setahun guna komuter, dulu Stesen Sungai Gadut. Amiza mencatat sejarah
sebagai wanita pertama membeli tiket menggunakan perkhidmatan Komuter KTMB dari
Rembau-Rawang. Sementara lima orang lagi menyusur kemudian.
Kemudian
perjalanan kedua, jam 6.30 pagi terdiri daripada lapan orang penumpang termasuk
lima pelajar Cina belajar di sekolah di ACS Seremban.
“Mengapa
anda menaiki komuter?” saya tanya salah
seorang pelajar tersebut.
“Jimat
40 sen dan lebih selesa,” jawabnya ringkas.
Seterusnya,
perjalanan ketiga, jam 7.00 pagi, hanya dua penumpang warga emas suami isteri.
“Tuan
haji hendak ke mana?” saya tanya beliau.
“Klang,
ke rumah terbuka anak saya,” jawab Haji Nordin. “Murah, kami warga emas cuma RM
4.50,” tambah beliau.
“Macam
mana Tuan Haji tahu, komuter mula
beroperasi hari ini?,” tanya saya lagi.
“Saya
lihat komuter sudah mula menggunakan landasan. Semalam saya datang ke sini dan
dimaklumkan mula operasi pagi ini,” kata Haji Nordin.
“Apa
pendapat Tuan Haji, bila perkhidmatan komuter dimulakan di sini?” saya tanya lagi.
“Bagus.
Ini yang kami tunggu selama ini. Kami boleh terus ke Klang tanpa pergi ke
Seremban lagi,” jawabnya.
Sebelum
komuter berlepas, wartawan sambilan akhbar Cina mengambil gambar Haji Nordin
bersama isterinya dari beberapa sudut. Bahkan saya mengambil kesempatan meminta
wartawan itu mengambil gambar saya. Apabila saya paparkan dalam FB, ramai kawan-kawan menganggap saya
juga penumpang hari pertama pada pagi itu.
Oleh: Mohammad Abd Ghani
Tiada ulasan:
Catat Ulasan