Q `hadir' dalam foto ini. Siapakah Q, biarlah menjadi rahsia antara dia dan saya. |
Sama
seperti bekas muridku, Faridah Saad sewaktu di Sekolah Kebangsaan Felda Jengka
4, Maran, Pahang dahulu, Q yang kutemui di majlis temukembali bekas murid
Sekolah Rendah Kebangsaan Tunku Besar Tampin kelmarin, turut membawa cerita
yang hampir sama, cuma watak berbeza.
Lama sudah aku cuba mengesan Q. Berbanding
dengan rakan-rakan sezamannya yang lain seperti Norlaila Pilus, Aslina Kamila,
Abdul Halim Abdul Hamid, Ratu Memeng dan lain-lain, Q tidak pernah kulihat lalu
di ruang FB melalui ulasan dan komen.
Keinginan untuk melihat perkembangan
semasanya semakin meninggi sewaktu melihat keletah bekas murid-muridku yang
begitu ceria melayani pertemuan selepas lebih 30 tahun lalu itu.
Sambil menyuap lemang dan rendang, aku
memerhatikan seluruh ruang dewan besar Sekolah Menengah Tunku Besar Tampin
(TBS) itu.
Lotfi yang mengacarakan majlis, masih
seperti dahulu – ceria dan gila-gila. Sesekali dia singgah di meja, “OK tak
Cikgu?,” meminta reaksi. OKlah tu. Be
yourself,” aku menyaran petua.
Oleh kerana kehadiranku lewat hampir sejam
kerana pada sebelah paginya turut mengendalikan sukan sekolah anak bongsuku,
Siti Adibah di Sekolah Kebangsaan KGV, Ampangan yang berlanjutan hampir hingga
jam satu, pengumuman Lotfi terasa terlalu awal.
“Beberapa guru dan rakan kita terpaksa balik
awal. Jadi mari kita ambil gambar beramai-ramai dahulu. Cikgu Zul tolong bantu
saya,” pinta Lotfi manja.
Seperti biasa, aku melepaskan `beberapa
tembakan’ melalui lensa Canon EOS 400Dku dan turut merakam peristiwa melalui
lensa Nikon milik Joseph Gomez, Izza Noreeza dan kamera beberapa murid yang
lain.
Sewaktu mereka turun dari pentas selepas
bergambar, mataku tertumpu pada wajah yang sudah lama kucari. Benar. Hajatku
dimakbulkan Allah, Sang Pencipta.
Memang begitu dahulu, Q melangkah perlahan
dan berhemah lalu berjalan menuju meja hadapan. Aku yang berada berhampiran
segera menghampiri.
“Q bukan?,” aku bagai tidak sabar untuk
mengesahkan.
“Ia Cikgu. Sayalah Q,” tuturnya perlahan
sambil menundukkan muka, bagai malu bertentang mata.
“Lama sudah Cikgu mengesan Q. Kawan-kawan you yang lain selalu berinteraksi di FB.
Q tidak ada akaun FB ke?”
“Tidak ada Cikgu,” katanya perlahan, jujur.
Mata redupnya menunduk.
“Itu sebabnya apabila Cikgu buat `search’
tiada nama Q.”
“Maafkan saya Cikgu,” Q bagai murid Tahun 6
lebih 30 tahun lalu.
Sewaktu catatan ini ditulis, ternyata Q
sudah mempunyai akaun FB tapi cuma memiliki empat rakan, itupun rakan
sekelasnya. Pada About dia cuma memilih
Female dan foto profil yang bukannya
foto dirinya. Tiada satu fotopun dalam profilnya.
Sewaktu menyemak sejarah akaunnya, tercatat
tarikh Februari 23, 2009 tetapi Timelinenya
kosong.
Muzik yang bising benar-benar mengganggu
perbualan kami dan kerana itu Q mohon beredar ke tempat duduknya.
“Q sudah kahwin?,”
“Sudah Cikgu,” lalu matanya dilempar jauh.
Entah kenapa kesayuan tiba-tiba menerpa.
Mata redup Q bagai mengundang simpati.
Segera tertancap di mataku Q yang tinggi
nilai gadis timurnya itu menguruskan rakan sebaya penuh berhemah. Sebagai salah
seorang pengawas, kepemimpinannya terserlah.
Tutur katanya sopan. Gerak badannya tulus
dan mulus. Senyumannya manis.
“Aaaah! Di mana hilang semuanya itu?”
Mata redup Q mengundang pertanyaan..
“Tidak bahagiakah kehidupan berkeluarga Q?”
“Hei! Kau cuma bekas gurunya. Kau sudah
berfikir terlalu jauh,” mindaku sendiri bertanya kepada kalbuku.
Ternyata kalbuku betul.
Sewaktu bangun pagi keesokan harinya, dalam
kotak mesej `smartphone’ku tercatat, “Assalamu’alaikum wmwb, cikgu Zul yg
dihormati, maafkan saya, tadi saya tidak berjaya jumpa cikgu dahulu sebelum
balik. Terima kasih cikgu di atas segalanya. I’Allah, semoga kita semua bertemu
lagi di masa & keadaan yg lebih baik. Drpd: Q”
Sewaktu menyemak masa mesej itu dihantar,
aku terlihat angka 17:43 lantas wajah suram bertudung itu mengundang 101 rahsia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan