"Sayang
emak sayang saja, sayang ayah menurut kata..."
Sudah banyak kali saya mendengar ungkapan
itu. Banyak kali. Pagi tadi dalam perjalanan ke tempat kerja, suami menyebutnya
sekali lagi.
Kata suami, itu yang selalu diungkapkan
gemulah bapanya, guru sejati lulusan SITC. Saya selalu mengabaikan ungkapan
itu, tetapi pagi tadi saya terkesan juga dengan kalimah tersebut.
"Kenapa sayang emak sayang
saja?" Tanya saya mohon penjelasan.
Dengan penuh perasaan, suami menjelaskan.
"Biarpun anak itu buruk, jahat, sudah menjadi sampah masyarakat, tetapi
bagi seorang emak, anaknya tetap baik. Walaupun seluruh masyarakat membuang
anaknya, tapi emak tetap akan menerima si anak dalam keadaan apa pun. Emak
menyayangi anak, tanpa syarat!"
"Ooooo..." mulut saya membulat.
Dalam minda saya, mengiyakan kebenaran ungkapan itu.
"Jadi, " sambung saya,
"bagi ayah pula, kalau anak itu menurut saja kata si ayah, ayah sayanglah
ya? Kalau tidak ikut?" Saya menanya.
"Itulah beza emak dengan ayah,"
kata suami saya, membangkitkan rasa sayu dan bangga di hati saya kerana Allah
memberikan peluang kepada saya untuk menjadi seorang emak.
Betullah tu. Kadang-kadang orang lelaki
ini, diminta menjaga anak sekejap pun sudah merungut-rungut. Anak degillah,
anak keras kepalalah; dengan senarai aduan yang panjang. Anak memang macam
itulah, ikut perangai siapa? Bukankah kita juga dahulunya ada sedikit-sedikit
keras kepala? Ada sedikit-sedikit degil?
Kadang-kadang bukan sedikit, tapi banyak!
Saya dalam kategori itulah.
Itu sebabnya jadi emak dan ayah kena pakai
pakaian sabar. Sebab emak dan ayah kita dahulu pun sanggup bersabar dengan
kerenah kita. Orang sekarang, bukan ramai anak pun. Bayangkan ayah dan emak
kita yang terpaksa menghadapi anak yang ramai dengan pelbagai kerenah pula.
Kadang-kadang kita selalu lupa bahawa anak
kita berbeza, individu yang sangat berbeza meskipun lahir dari perut yang sama.
Kita selalu menyirami pokok-pokok dengan
jumlah siraman dan baja dalam kuantiti yang sama. Tetapi adakalanya, ada jenis
pokok yang hidup subur dengan jumlah siraman yang sedikit, juga dengan baja
yang sedikit.
Begitu juga dengan kita sebagai ibu bapa.
Kononnya kita sudah berlaku adil sebagai ibu bapa dengan memberikan
segala-galanya yang sama kepada anak-anak kita. Sedangkan mereka adalah
individu yang sangat berbeza!
Saya pun mengakui kesilapan itu. Sebab
saya selalu ingat semua tanaman bunga saya memerlukan air yang banyak dan boleh
disiram tidak mengira masa. Walhal, ada antara pokok-pokok itu yang hanya boleh
disiram sekali sehari sahaja! Hanya sebelah pagi, bukan pagi dan petang!
Maka, ungkapan gemulah bapa mentua saya
itu saya renung-renungkan. Sayang emak sayang saja. Sayang tanpa mengira apa
pun. Sayang yang melimpah-limpah, sedangkan ada dalam kalangan anak yang berasa
rimas dengan sayang yang melimpah-limpah itu.
Kadang-kadang dek terlampau sayang,
semuanya emak yang buatkan. Kesannya anak tidak pandai menghadapi dunia
realiti. Nak naik bas pun macam hendak pergi berperang!
Peringatan kepada saya dan emak-emak lain;
berpada-padalah sayangkan anak. Sebab anak itu hanya pinjaman Allah kepada
kita. Pinjam saja, bukan milik abadi.
Tapi masalahnya, bolehkah emak sayang anak
begitu-begitu saja? Boleh emak tengok saja kalau anak hidup susah?
Bolehkah?
Saya rasa macam...
...tak boleh…
Oleh:
Ratna Laila Shahidin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan