Perjalanan
pulangku dari menghantar ibu di Kampung Kuala Serdang,Tanjung Ipoh, Kuala
Pilah, mataku tertumpu pada rimbunan pepohon buluh yang hidup melata
berhampiran jalan yang kulalui.
Terlajak ke depan kereta yang kupandu, lantas
segera kuberundur untuk mengambil gambar salah satu pokok buluh yang suatu
ketika dahulu sangat ku cari-cari semasa bermain hoki dengan rakan-rakan
sepermainanku ketika di zaman kanak-kanak ku.
“Mano ko nak poie ni, berundur lak keto ke
belakang. Apo yang ko nak buek,” kata emak ku kehairanan.
“Kojap mak, nak ambil gambar pokok buluh tu.
Maso kocik-kocik dulu, pokok buluh macam inilah yang dicari-cari sobab nak
melayakkan diri dapat bermain hoki dengan kawan-kawan maso kito menyewo kat
Kampung Dusun Nyior, Ampangan dulu,” kataku pada mak.
Tercuit hati kecilku bila mengingatkan kisah
lalu ketika bermain sukan hoki di kampung. Maklumlah kehidupan yang serba
kekurangan, manalah ada kemampuan abah untuk membelikan aku kayu hoki walaupun
aku sangat berminat dengan sukan itu.
Nak jadikan cerita, pada suatu hari
rakan-rakan sekampung mengadakan perjumpaan untuk berbincang bermain hoki pada
hari itu. Bagaimanapun, masing-masing menarik diri kerana tiada kemudahan
peralatan sukan dan agak mustahil untuk diteruskan hasrat.
Bagaimanapun, timbul idea salah seorang
rakan dalam kumpulan perbincangan itu iaitu
bermain hoki dengan menggunakan buluh sebagai kayu hoki dan buah manggis
yang sudah kering sebagai bolanya.
“Apa susahnya, tak yah fikir panjang laie,
meh kita poie cari pokok buluh, mano yang kat pangkalnya tu melengkung sikit
kita ambil dan kita bentuklah jadi kayu hoki. Yang bola dia pulak, kita carilah
mana-mana buah manggis kering yang ada bersepah kat laman tu,” kata salah
seorang rakan sekampung ku.
Dengan semangat yang berkobar-kobar,
kumpulan perbincangan kami bersurai dan masing-masing menuju ke arah pokok
buluh terbiar yang hidup merimbun bersebelahan tanah perkuburan di Kampung
Dusun Nyior.
Oleh kerana minat yang terlalu mendalam dan
ingin menyertai permainan itu pada sebelah petangnya nanti, aku
bersungguh-sungguh mendapatkan pokok buluh yang bersesuaian dan berusaha
membentuknya menjadi kayu hoki yang paling kreatif.
Moral daripada cerita ini, di mana ada
kemahuan, di situ ada jalan. Berusahalah dengan seboleh mungkin, kerana tiada
istilah mustahil di dalam dunia ini.
Apatah lagi dalam sidang akhbar bersama
Menteri Besar Negeri Sembilan Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan baru-baru
ini, antara ungkapannya:
“Yang penting, bila kemudahan ada, kita
mesti mempunyai juga disiplin dan semangat untuk guna kemudahan tersebut.
Kadang-kadang kemudahan ada depan mata, tapi kita tak tahu nak guna. Sebenarnya
kemudahan ini adalah faktor kedua, banyak orang yang tiada kemudahan, tetapi ia
boleh berjaya.
“Tak ada gelanggang sepaktakraw di Myanmar,
tapi mereka boleh menang bila berlawan dengan kita. Dia pakai kain jer bermain
takraw...” camno tu????
Dengan mempunyai asas bermain hoki walaupun
tidak secanggih yang ada, aku tidak merasa janggal mempamerkan bakatku apabila
diminta oleh guru sukan Puan Suvender Sing, ketika menguji kebolehanku untuk
dimasukkan dalam pasukan hoki di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan KGV.
Oleh Juriyati Mat Jalil
Tiada ulasan:
Catat Ulasan