Ahad, 22 September 2013

Tempias Cemburu Pada Yang Tak Berdosa

Jangan di elak pada yang nyata, 
nanti terjerumus angkara dusta,
hidup jangan mencanai curiga,
kelak tempias pada yang tak berdosa.

Dalam ketawa dan gurau senda, ada ketikanya mengundang kepada kecelaruan hati dan perasaan. Lantas bangkit rasa cemburu dan beremosi tanpa ketentuan sehingga membawa kepada kekeruhan dalam ikatan persahabatan. Dari situ, nilaian budi dan hati sudah tidak dipandang lagi, walaupun telah bertahun dan akan selamanya persahabatan itu tidak pernah didustai.
    Namun, pagi itu 30 Mei, 2010, tersentap hati ku apabila message yang ku buka di dalam facebook kali ini begitu kasar bunyinya. Apatah lagi apabila aku cuba perincikan status si pengirim adalah seorang pelajar sekolah anak rakan ku sendiri.
CIK XXX:
aii...!!
dah lama ker idup mngatal kacau laki org??!!dah miang sgt,boleh sponsor kan pendatang asing kat somban ney...ko report!jgn pikir ko selamat..slagi ak xpuas kerjakan ko..dunia akhirat ko xselamat...MENGACAU LAKI ORANG JER KO PANDAI!,MEH CINI AK AJAR KAN!!!
Juriyati Mat Jalil: ko ni ada sindrom penyakit jiwa ke???
heyyyy...anak si POLAN rupanya... kenapa ko dik???? hantar mesej kat akak cam tuuu... kasarnya bahasa tuuu... apa kena ko ni??? tak kan dah tak kenal budi dan bahasa, dan dah tak kenal kawan dgn lawan?
    Aku sebenarnya, tertanya-tanya sendiri, apakah sebenarnya yang telah terjadi sehinggakan aku menerima message sebegini. Apakah ini yang dikatakan akibat si suami asyik berfacebook sehinggakan rumahtangga keberantakan? Apakah ini yang dikatakan akibat si suami terlalu asyik dengan berfacebook, timbul rasa cemburu di hati si isteri? Berhari-hari juga ku layari persoalan ini untuk mencari jawapan apakah puncanya berlaku semua ini.
    Namun, soalan daripada message yang ku terima tidak berjawapan, sehinggalah berlarutan rupanya kisah ini apabila curiga-mencurigai telah bermaharajalela di hati si isteri. Di tambah pula dengan diriku  sebelum ini, yang adalah sikit-sikit komen dalam status di wall suaminya sekadar mencelah sebagai gurauan seorang kawan.
    Ada ketikanya bila aku terbaca komen balas membalas ada juga dari si isterinya yang menerjah kepada ayat yang aku sendiri menjadi tanda tanya. Namun, tiada langsung aku ambil hati kerana bagi ku, setiap apa yang aku katakan dalam komen-komen di status suaminya, tanpa ada sedikit niat pun mahu menganggugugat keharmonian rumahtangganya ataupun mengurat suaminya seperti yang didakwa oleh si anak.
Juriyati: Apa ceritanya isteri ko ni? Tiba-tiba jer aku dapat message dari anak ko kata yang bukan-bukan tentang aku? Tak pasal-pasal aku dituduh itu ini...
Si Polan: Pedulikan jer lah...tak ada apa-apalah. Aku okay jer dan isteri aku tu lamo-lamo dia fahamlah tu. Kojap jo marah eh tu.
Juriyati: Masalahnya aku ni hah, angin tak, ribut pun tak, tiba-tiba isteri kau cemburu kat aku, apa pasal?
    Sesekali terasa tercabar juga maruah aku, apabila diperlakukan sebegini, tanpa ada sebab dan musababnya. Namun, ikut akal, buat apalah nak dilayan perkara remeh-temeh ni, janji kita tak buat sudah, banyak perkara lain lagi nak difikirkan.
    Nak dijadikan cerita pula, berlaku satu peristiwa di mana, aku terpilih lak dalam kumpulan si suaminya dalam satu pertandingan sukan. Nak tak nak tak, terpaksa juga aku sertai sukan itu. Dalam hati kecil ku berkata, “Sudah....apa lak aku termasuk dalam kumpulan si polan ni. Semua ni lah nanti akan menambah kuat rasa syak wasangka si isteri, aduhai...sabar jerlah hati ni...”
    Dalam suasana santai berlangsungnya acara sukan berkenaan, kulihat si isteri dengan si anak mundar mandir berhampiran kami. Aku perhatikan seketika dan bila berpeluang mendekati si isteri aku mengajukan persoalan.
Juriyati: Assalamualaikum, apa khabar kak, sihat? Lama tak nampak?
Si isteri: Waaalaikumsalam.
Juriyati: Kak, apa ceritanya ni, macam-macam message saya dapat dari anak akak.
Si isteri: Hai, buat-buat tak tahu lak. Sendiri yang buat perangai bertanya pula pada akak. Tak sangka pula akak, Yati sanggup buat macam ni. Malulah kat anak-anak bila mereka tengok orang tua bercinta dalam facebook.
Juriyati: Bercinta apa ke pulaknya ni? Akak kan tahu dan kenal saya. Saya ada suami ni hah, apa ke pulak saya nak buat perkara-perkara tak senonoh ni.
Si isteri: Jangan nak menipu lah. Ingat akak tak tahu ke, ko berfacebook dengan suami akak sampai tengah malam, dan akak ada buktilah semua apa yang ko cakapkan tu dalam facebook.
Juriyati: Ikut suka hati akaklah nak kata apa. Apa yang penting, saya nak akak tahu, saya bukan orangnya nak buat perangai seperti  yang akak sangkakan ni. Bila saya katakan, saya tak buat semua ni, akak tak percaya. Akak kata saya bohong. Apa lagi nak saya katakan untuk menyakinkan akak, terserahlah nak kata apa pun.Jika benar ada buktinya setiap apa yang saya katakan dalam facebook tu, akak print kan aje dan bagi pada saya untuk saya tengok kebenarannya.
    Aku terus beredar dan menumpukan perhatian ku pada acara sukan yang sedang berlangsung, walaupun hati kecilku sedikit tersentuh dengan tuduhan yang bukan-bukan. Pada suamiku yang ketika itu bertugas di perantauan, aku khabarkan berita ini dengan rasa sedih dan terharu.
    Sebagai suami, dia bersedia mendengar apa pun rintihan aku sebagai isterinya dan meyakinkan aku bahawa semuanya itu adalah ujian Allah swt untuk menguji kesabaran kita. Usah dilayan sangat perkara sebegini kerana itu akan memudaratkan diri sendiri nanti.
    Selang beberapa hari, aku menerima panggil telefon daripada Si Polan.
Si Polan: Yati, apa yang kau cakap kat anak aku sampai isteri aku  marah-marah kat aku ni hah?
Juriyati: Cakap apa pulak lagi ni. Aduhai, apa ke lagi ni, tak habis-habis.
Si Polan: Isteri aku mengamuk kat rumah ni hah, sampai mengirai-girai rambut, dia nak cari kau kat pejabat nak marahkan kau.
Juriyati: Kau sebagai suami, jelaskan kat isteri kau apa sebenarnya yang berlaku. Aku rasa kau ada buat sesuatu yang buat isteri kau marah ni.
Aku terus menamatkan perbualan dalam telefon dan sungguh-sungguh merasa kesal dengan perkara yang berlaku. Dalam hati kecilku berkata, “ Mungkin si polan ni, berfacebook dengan entah siapa perempuan agaknya ni. Bila si isteri curiga suami asyik berfacebook, cuba pula mencari dengan siapa si suami berchit chat. Makanya tak pasal-pasal, aku pulak yang kena tempiasnya.
    Namun semua itu, aku tidak pernah  menjadikan satu masalah besar. Perkara utama adalah kesabaran dan keredhaan. Apa juga yang berlaku ada hikmahnya. Aku biarkan sahaja masalah itu berlalu pergi kerana dalam hati kecil ku berkata, “ Suatu hari kebenaran akan datang juga, tak perlu untuk bertegang leher untuk menegakkan kebenaran, kerana Allah swt itu lebih mengetahui setiap yang berlaku...”
Oleh: Juriyati Mat Jalil

Tiada ulasan: