Budak-budak
sastera dulu memang berkualiti. Sistem SRP menyaring pelajar-pelajar untuk naik
ke tingkatan 4. Subjek sastera tidak dimasukkan dalam jadual biasa. Guru
sastera akan mengajar pada waktu petang selama dua waktu. Teks yang digunakan
antaranya ialah karya Khadijah Hashim, Badai Semalam. Ingat lagi watak Mazni
dan Zaki, kisah cinta tak kesampaian, kisah kekuatan semangat untuk belajar
mencari ilmu.
Oleh kerana saya bersekolah di sekolah
perempuan yang berprestij di bandar Ipoh, aliran sastera biasanya dianggap
aliran kelas dua. Sekarang pun barangkali masih begitu. Saya anak kampung yang
miskin. Dalam kalangan rakan-rakan seasrama, ada yang datang daripada keluarga
berada. Kadang-kadang (selalu sebenarnya), saya tidak dapat lari daripada rasa
rendah diri. Mereka bijak Matematik, lancar berbicara dalam bahasa Inggeris.
Saya pula hanya dikenali kerana bakat penulisan yang Allah berikan kepada saya.
Itu sahaja.
Tapi saya enggan mengalah kerana
kekurangan-kekurangan itu. Selalu saya katakan kepada anak-anak. Saya asalnya
bukan pelajar bijak. Tetapi saya sangat degil. Mujurlah kedegilan itu untuk
hal-hal yang positif. Saya keraskan hati untuk tinggal di asrama. Saya menangis
merindukan emak, saya selalu kekeringan wang dan hanya mengharapkan wang
biasiswa. Tetapi saya tetap degil!
Kawan-kawan saya ada yang cabut balik kerana
tidak tahan.
Kemudian saya menyambung pengajian ke
tingkatan enam, juga di sekolah berprestij. Saya menekuni Keluarga Gerilya,
buah tangan almarhum Pramoedya Ananta Toer. Saya hafal ayat-ayat revolusiner
Bapak Pram. Dalam kesedihan melihat ayah yang sakit teruk dan emak yang kurus
kering mencari nafkah, saya terus dengan kedegilan saya mahu mendaki puncak
menara gading.
Di universiti juga saya berdegil. Saya mahu
mengikuti Kursus Penulisan Kreatif dan Deskriptif, walaupun asalnya saya
mendapat tawaran Kursus Sejarah. Berulang-alik saya ke kolej kediaman dan
pejabat fakulti dalam terik matahari kerana mahu mengambil keratan akhbar dan
majalah yang pernah menyiarkan tulisan saya. Kedegilan saya itu akhirnya memberi
makna. Saya berjaya.
Begitu juga ketika mahu mengikuti pengajian
sarjana. Anak-anak masih kecil. Gaji saat itu juga tidak banyak, cukup makan
sahaja.Saya pula ada masalah peribadi yang kritikal. Tapi degilnya saya,
mengangkut anak ke sana-sini demi menggapai ilmu. Tujuannya supaya anak-anak
dan ibu bapa saya berbangga. Menjadi teladan kepada anak-anak dan memberi tanda
terima kasih saya kepada orang tua sementara mereka masih hidup. Syukurlah
arwah ayah masih ada saat saya menggenggam sarjana.
Sekilas difikirkan, untuk apa saya lakukan
semua itu. Hal-hal kemegahan dunia yang semakin dikejar semakin jauh
larinya?
Tetapi Allah menuntut kita mengimbangi dunia
sini dan sana. Jika saya melebihkan dunia sini, ampunilah saya ya Allah. Segala
apa yang kita kejar di sini, seharusnya menjurus pula ke arah kebaikan di dunia
sana.
Apa yang saya mahu tekankan ialah faktor
kedegilan. Jika degil itu bertempat, maka ada sesuatu yang baik sedang menanti
kita.
Pernah juga saya berdegil untuk perkara yang
tidak sepatutnya dan saya telah mendapat akibat daripada kedegilan saya itu.
Ketika tukang gunting rambut menggunting
rambut saya, dia selalu menegur pusar yang ada di kepala saya. Katanya, "you
ni degil ya?". Saya angguk. Habis, apa daya saya jika telah ditakdirkan pusar
itu demikian sifatnya wujud di kepala saya. Bagaimana mungkin saya berkuasa
menentukan kewujudan benda-benda seperti itu?
Itu kepercayaan orang-orang Melayu, yang
sesetengahnya selalu bersifat perasan hebat walhal "habuk pun
tarak"...
Pokoknya, degil biarlah bertempat. Kalau
suka memanjat pokok, pastikan pokok yang dipanjat itu ada buahnya. Supaya emak
yang melarang kita memanjat pokok, sejuk hatinya tatkala kita menghulurkan
buah. Jangan memanjat pokok kelapa yang bekerengga. Silap haribulan, dua tiga
harilah kita berkampung di hospital.
Degil tidak mengapa. Tapi jangan biadap...
Oleh: Ratna Laila
Tiada ulasan:
Catat Ulasan