Aku
sembunyikan kegelisahan yang bergelodak dalam diri. Sebagai seorang guru, juga
ketua ekspedisi ini, aku cuba sembunyikan kegelisahan itu sebaik mungkin. Hari
semakin petang, suara penghuni hutan bersahutan. Kadang-kadang menyeramkan.
“Macam
mana cikgu?”
“Siapa
nak tolong kita.”
Pelajar
seramai 25 orang itu semakin gelisah. Wajah ceria ketika sampai di hutan
rekreasi pagi tadi semakin kusam. Aku benar-benar kasihan. Hutan sekeliling
mula diserkup kegelapan.
“Kita
teruskan,” kataku dengan senyum yang meyakinkan. Macam-macam yang timbul dalam
kepalaku. Pelajar Tingkatan Empat ini amat akrab dengan aku. Semuanya ahli
Persatuan Pencinta Alam. Hutan yang sedang aku tempuhi bukan asing, sudah
berkali-kali aku meredahnya. Hanya kali ini, aku mengubah haluan perjalanan.
Aku cuba mencari jalan baharu ketika menuruni Puncak Bukit Catak tadi.
Sebagai
seorang guru, sebagai pemimpin, pada setiap kali kami berhenti rehat, aku
memberi perangsang. Aku memberi keyakinan dan pilihan terakhir serta apa yang
patut dilakukan sekiranya kami terpaksa bermalam di dalam hutan. Kedatangan aku
bersama ahli rombongan tanpa kebenaran pengetua dan ibu bapa pelajar
benar-benar merungsingkan fikiranku. Lazimnya sebelum matahari jatuh, kami
sudah pulang ke rumah masing-masing.
Aku
terus mengepalai perjalanan meredah hutan yang semakin gelap. Hanya sekadar
berbekalkan keyakinan dan harapan. Aku berpesan agar 15 pelajar lelaki dan 10
pelajar perempuan yang bersama-sama dengan aku tidak berputus asa. Semuanya
mesti menanamkan keyakinan dan berdoa kepada Tuhan.
Tiba-tiba
salah seorang daripada pelajar lelaki meminta kami semua mendiamkan diri dan
memasang telinga. Aku turut menerima arahannya. Dalam kesunyian malam, dia
menjerit keriangan. Katanya, “doa kita diterima Tuhan.” Kami mengubah arah
perjalanan menuju ke arah matahari naik. Benar seperti yang dijangka. Kami
menadah tangan kesyukuran ketika kami menjejakkan kaki ke atas jalan raya.
Beberapa
minit selepas berada di jalan raya, sebuah lori kecil menumpangkan kami dan
ketika sampai di sekolah, suasana riuh dengan suara ibu bapa dan pihak
pentadbir sekolah. Kepulangan kami disambut dengan penuh kesyukuran. Esoknya
aku dipanggil oleh pengetua dan selepas menerangkan perkara sebenar, pengetua
menasihati aku agar lebih berhati-hati pada masa hadapan.
“Jangan
mengambil mudah dalam perkara yang kita rasakan sudah menjadi kebiasaan kepada
kita. Kita perlu merancang perjalanan supaya tidak sesat lagi. Kita perlu
bertanggungjawab terhadap murid kita dan ibu bapanya sekali,” ujarnya. - Omar Mamat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan