Selasa, 22 Oktober 2013

Jurulatih Kaki Bangku

Semasa menuntut di maktab perguruan, saya telah dipermainkan oleh kawan-kawan apabila dilantik menjadi pengerusi kelab bola sepak maktab. Mereka mengetahui bahawa saya bukanlah seorang yang aktif bersukan. Lebih tepat, bolehlah dikatakan sebagai kaki bangku.
    Tahun pertama mengajar di sebuah sekolah di Kedah, sekali lagi saya menggelabah dan tergamam. Dalam mesyuarat pertama tahunan sekolah, saya telah disenaraikan sebagai jurulatih pasukan bola sepak bawah 15 tahun.
    Hendak menolak tugas, tidak berani. Latihan perlu dimulakan seawal minggu kedua persekolahan. Ini satu cabaran. Puas juga saya bertanya ke sana ke mari bagaimana hendak mengendalikan latihan. Buku-buku mengenai kejurulatihan bola sepak tiada di pasaran ketika itu. Akhirnya dengan bantuan seorang saudara yang menuntut di London, saya terpaksa berbelanja bagi mendapatkan buku-buku tersebut. Terpaksalah saya menelaah buku itu tanpa mengira siang atau malam. Pengetahuan itu sedikit sebanyak meyakinkan saya.
    Pertandingan awal kejohanan peringkat daerah bermula. Pasukan kami terpaksa mempertahankan kejuaraan kejohanan peringkat itu yang disandang sejak dua tahun yang lalu. Hati saya begitu bimbang. Harapan sekolah terlalu tinggi. Kebolehan saya amat terbatas.
    Satu demi satu pasukan lawan tewas. Gelaran juara berpihak kepada kami. Kami mencipta hatrik. Puji-pujian mencurah datang, kembang juga hati dibuatnya.
    Cabaran paling getir adalah apabila pasukan kami bertanding dalam perlawanan akhir peringkat negeri bertemu Kolej Sultan Abdul Hamid, satu nama besar dalam bidang sukan di Kedah. Pemain-pemain saya berasa kecut perut.
    Sebenarnya saya sendiri lebih kecut daripada mereka, tetapi terpaksalah saya berlakon meyakinkan mereka.
    Seperti yang diduga, perlawanan akhir memang berat sebelah. Bola sentiasa berlegar-legar di depan gawang kami. Serangan lawan bertalu-talu, bola datang bagai peluru. Mujurlah penjaga gawang kami bertindak cekap menggagalkan semua percubaan lawan.
    Entah macam mana pasukan kami mendapat tendangan percuma di tengah padang. Ketua pasukan mengambil tendangan itu. Bola melambung tinggi melepasi pemain. Penjaga gawang lawan melompat cuba menangkap bola itu. Tiba-tiba dia terjatuh. Bola menerjah gawang.
    “Gol! gol!” saya melaung sekuat hati.
    Tanpa disedari saya berlari masuk ke padang. Sedar-sedar saya terbaring dihempap pemain-pemain kami di pintu gawang pasukan lawan. Pengadil mengarahkan saya keluar padang.     
    Beberapa minit kemudian wisel penamat ditiup. Kami bergelar juara bola sepak 15 tahun peringkat negeri Kedah. Kegembiraan kami tidak dapat dibayangkan. Saya dijulang para pemain dan rakan-rakan. Puji-pujian melimpah ruah.
    Dalam hati saya berkata, “Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Juara Bola Sepak Bawah 15 Tahun Negeri Kedah tahun ini dibimbing oleh jurulatih kaki bangku.” - Ghazali Lateh
  

Tiada ulasan: