Setelah
melaporkan diri dan berkenalan dengan Pengetua, saya diberikan tugas mengajar
Bahasa Melayu tingkatan lima serta menjadi guru penolong kaunseling. Sebulan,
dua bulan sehinggalah masuk bulan
ketiga, saya telah diminta oleh Pengetua untuk menyelesaikan masalah seorang
pelakar “projek khas”.
“Tolong
selesaikan masalahnya.” Itulah arahan pertama Pengetua kepada saya. Saya
menerima tugasan tersebut dengan dada terbuka kerana saya yakin saya boleh
menyelesaikannya.
Setelah
mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh pelajar tingkatan empat itu, saya
sering berjumpa dan menjadikannya seorang kawan. Kekerapan memantau
perkembangan akademiknya menjadikannya bertambah yakin. Berbekal pengalaman
peribadi, saya memberanikan diri bertanya kepadanya.
“Cikgu
Rabita kata awak boleh menulis dengan baik. Betul ke?” tanya saya pada suatu
petang di bilik kaunseling.
Dia
diam. Barangkali dia sedang memikirkan apakah kaitan soalan itu dengan masalah
yang sedang dihadapinya. Dia merenung muka saya beberapa ketika. Akhirnya dia
mengangguk.
“Kemiskinan
bukan penghalang seseorang untuk berjaya. Ayah saya seorang penoreh getah, dan
emak saya pula suri rumah sepenuh masa. Tetapi saya boleh belajar hingga ke
universiti tanpa terlalu membebankan ayah dan emak saya.” Saya memulakan
kata-kata dengan menjadikan saya sebagai model.
“Macam
mana cikgu?” dia mencelah percakapan saya.
“Saya
menggunakan bakat yang Tuhan berikan kepada saya. Saya memilih untuk menjadi
seorang penulis.” Saya menyambung cerita. Saya mengeluarkan senaskhah majalah
‘Dewan Siswa.’- Shamsuddin Othman
Tiada ulasan:
Catat Ulasan