Dalam situasi kecemasan di laut atau
dalam air, terutamanya yang mana di saat itu, seseorang amat memerlukan alat
bantuan kecemasan untuk membantunya menyelamatkan diri daripada lemas, pelbagai
peralatan boleh membantu.
Peralatan
itu mungkin sahaja adalah pelampung, sebatang kayu besar, papan, tong dram,
tali, beg besar dan sebagainya, tetapi bagi diriku sendiri ia adalah
sebuah cerek. Tak masuk akal kan?
Jadi
aku ingin membawa kamu semua menelusuri kisah pengalamanku ini dan ya, di akhir
cerita kamu semua bebas membuat penghakimannya, sama ada setuju atau tidak
dengan pernyataan tajuk ceritaku ini.
Kisah
ini terjadi di pertengahan tahun 80-an, ketika aku masih lagi belasan tahun,
empat belas tahun untuk lebih tepat. Ya, waktu itu aku masih muda,
ceria, bersemangat dan tidak gentar, zaman remaja, zaman di mana naluri
eksplorasi dan ingin tahu amat tinggi.
Sesuai
dengan sifatku yang sukakan aktiviti lasak, aku mendaftar diri dalam pasukan pengakap
di sekolah sejak tingkatan satu lagi (walaupun sifat itu hanya menyumbang 60%
manakala keinginan untuk selalu melihat abang senior kegemaranku setiap petang
Jumaat turut menyumbang 40% daripada keseluruhan keinginan untuk
menjadi ahli pengakap).
Ahli
Pengakap di sekolahku amat aktif dan kami sering mengadakan perkhemahan, sama
ada di dalam atau di luar sekolah, termasuklah aktiviti mendaki
bukit dan juga menelusuri sungai dan paya.
Ketika
itu, jika nama Lord Baden-Powell disebut sahaja, dengan segera kami akan
mendabik dada dan berjalan tegak, kerana itulah Bapa Pengakap, kedua penting
mungkin, selepas Bapa Kemerdekaan, Tuanku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Begitulah
ketaasuban kami dengan pengasas pengakap ketika itu, yang mungkin pada hari
ini, apabila kematangan diri mengajar aku muhasabah dan juga menelusuri
sejarah, aku tidak ingin begitu taasub dengan Lord Baden-Powell yang mungkin di
antara penggerak kepada penjajahan British di Malaya.
Usai
tamat perbarisan kawad di suatu petang Jumaat di sekolah, Cikgu Roslai yang
kacak dan berasal dari utara tanah air itu menyampaikan pengumumannya,
“Murid-murid, hujung tahun ini, pasukan pengakap sekolah akan mengadakan
‘grand’ perkhemahan yang kita panggil ‘Ekspedisi Utara’, ekspedisi ini akan
melibatkan perjalanan menaiki bas dari sekolah ke Kuala Lumpur, dari Kuala
Lumpur menaiki kereta api ke Perlis dan penghujung ekspedisi adalah menjelajah
Pulau Langkawi, jadi sesiapa yang berminat boleh mula mendaftar nama
pada Ari mulai hari ini ya, jangan lupa untuk membuat persediaan perkhemahan
seperti biasa,”. “Horeeeeee!,” ucapan panjang lebar Cikgu Roslai disambut
dengan sorakan keriangan oleh semua ahli pengakap terutamanya aku.
Dalam
hati aku dah mula mengira berapa tabungan yang perlu kukumpul untuk
membolehkan aku mengikuti ekspedisi dan yang paling penting ayat-ayat pemanis
untuk dapat keizinan abah, penting tu!
Dipendekkan
cerita, bulan November datang sekelip mata, peperiksaan telah pun ditempuh dan
keputusan yang cemerlang menjadi lesen besar untuk abah memberi keizinannya
padaku.
Bas
bertolak tepat jam 4 petang dari sekolah kerana Cikgu Roslai telah mengatur
untuk kami menaiki Ekspres Senandung Malam. Cuaca agak mendung
kerana ketika itu musim tengkujuh sudah mula melanda Semenanjung.
Ketika
kami sampai di Kuala Lumpur hujan telah turun selebat-lebatnya. “Murid-murid,
bas hanya dapat menghantar kita setakat Masjid Negara sahaja, selepas solat
nanti kita terpaksa menempuh hujan sambil berjalan kaki menuju stesen kereta
api, kamu semua pastikan berjalan dalam barisan dan jangan tinggalkan kawan
ya,” pesan Cikgu Roslai dengan muka agak kerisauan.
“Tak
mengapa cikgu, usah risau, kami semua pengakap muda, setakat air ni boleh saja
kami tempuh,” Ari , selaku Ketua Pengakap, membalas dengan semangat.
“Ya,
ya tapi jangan lupa berhati-hati ya,” balas Cikgu Roslai sambil tersenyum
menampakkan lesung pipitnya. Aku segera mencapai beg galas yang
menampung keperluan pakaianku untuk seminggu; di tepi kanan beg ku gantungkan
lampu ayan buat menerangi khemah kami nanti, di sebelah kiri beg ku gantungkan
cerek kecil untuk memasak air nanti.
Maka,
dengan mimik muka pendekar bersemangat membara dan berpakaian seragam pengakap
lengkap dengan topi, skarf dan wogelnya, kami melangkah kemas dalam
barisan menempuh hujan lebat menuju ke Stesen Besar Kereta Api Kuala
Lumpur.
Deretan
kereta yang kesesakan dek kerana paras air yang mula melebihi buku lali,
semakin panjang di atas jalan. Sesekali ada pemandu yang kurang
sabar, membawa kereta laju begitu hampir ke bibir jalan menyebabkan air
menyimbah ke kami.
“Nasib
baik hujan lebat, tidaklah nampak macam baru lepas kena simbah dengan air
lecak,” gerutuku dalam hati sekadar menggeleng kepala mengenangkan sikap
pemandu yang kurang sopan itu sehingga aku lupa melihat hadapan.
“Tolong
cikguuuuu!,” aku menjerit sambil seteguk dua air telah masuk ke mulutku. Aku
tidak tahu ke mana pergi beg sandangku tapi yang pasti cerek ku sedang
terapung-apung di dalam air.
Aku segera
berpaut pada cerek itu, sementelahan pula aku terasa kakiku tidak menjejak
dasar. Rakan-rakanku semua panik. Cikgu Roslai yang sudah
jauh ke hadapan segera berlari menuju kepadaku.
“Kat
mana dia, mana? Mana?, “ suara Cikgu Roslai tenggelam timbul dalam hujan lebat
itu.
“Kat
sana cikgu, yang pegang cerek tu, hati-hati cikgu, dalam tu,” kata Ari sambil
tangannya menghulur tongkat kayunya ke arah ku.
Ya,
cerek tu menjadi penanda lokasiku berada ketika itu. Maka, dalam
kepayahan aku ‘berenang’ (sebenarnya gaya renang yang lebih teruk daripada itik
berenang) untuk mencapai hujung kayu yang Ari hulurkan.
Sebelah
tangan lagi kupaut tangan Cikgu Roslai. “Kot ya pun nak berenang,
tunggulah bila kita sampai ke Langkawi, bukannya kat dalam longkang tepi jalan
Kuala Lumpur ni, pegang tangan cikgu kuat-kuat, lepas ni hati-hati ya,” dalam
kekalutan itu sempat juga Cikgu Roslai melemparkan usikan sinis pada ku.
“Aduhai
cikgu, sempat lagi,” dengusku geram di dalam hati. Nasib baik aku
sedang terketar-ketar menggigil kesejukan, kalau tidak...
Rupanya
Ida dan Awa berjaya menyelamatkan beg sandangku yang hanyut sekejap di bawa
arus longkang yang agak deras. Aku bersyukur kepada Allah kerana tidak berlaku
sebarang kemudaratan, dan lebatnya hujan tika itu berjaya menghilangkan bau
hanyir longkang di seluruh pakaianku dan mukaku.
Tatkala
kaki menjejak platform Stesen Kereta Api Kuala Lumpur, semua mata memandang
kami, untungnya semua orang basah dan cerita terjatuh dalam longkang itu
seolah-olah tak pernah terjadi. Ya, itulah semangat Pengakap Muda. - oleh Merhayati Sipon
Tiada ulasan:
Catat Ulasan