Setelah pusing-pusing seketika untuk
mencari pempamer yang mungkin dikenali (aku pernah berurusan dengan kontraktor
buku hampir 10 tahun sewaktu bertugas sebagai Ketua Pusat Sumber IPG Kampus
Raja Melewar) akhirnya aku menemui nama syarikat yang biasa berurusan sewaktu
bekerja dahulu – Farana Books Resources.
“Encik Farid tak datang ke?,” aku lantas
bertanya kepada seorang wanita berusia sekitar hujung 30-an setelah dapat
mengesahkan dia pemilik gerai itu.
“Encik Farid? Encik Farid pemilik Farid
Resources tu? Farana Resources milik saya,” katanya berterus-terang.
“Dulu waktu saya kerja dia masuk sebut
harga pakai nama kedua-dua syarikat ini,” aku memberi reaksi. Wanita itu
mendiamkan diri sahaja.
Setelah
menelefon Farid agar mudah Rozilah (pemilik Farana) mengetahui latar
belakangku, aku kembali ke gerai itu semula.
“Maaflah Encik. Saya tidak ada ruang untuk
jual buku Encik. Gerai ini sempit,” katanya terus-terang.
Tanpa membuang masa aku ke gerai lain pula
tetapi turut mendapat jawapan yang sama walaupun pada mulanya telah bersetuju
dengan kaedah `consignment’ (jual dahulu. Duit dikira selepas jualan dibuat).
Setelah pekena Chicken Chop dan air limau kasturi ais bersama Mohd Ali di restoran
berdekatan pesta, aku mencari lagi pempamer yang sudi.
Akhirnya aku ke gerai Mawaddah Books Sdn
Bhd.
“Apa khabar Cikgu,” tegur pemilik kedai
yang rupanya kenal akan aku.
“Baik!,” jawabku lantas menyatakan hasrat
sebenar.
“Berapa hendak jual ni?”
“Kalau ikut harga asal, set lapan buku yang
tebal ini dijual RM196.00 dahulu. Dan set yang nipis ini RM72.00.”
“Jadi, nak jual harga itu lagikah?”
“Tentu tidak. Agaknya berapa harga yang
sesuai?”
“Yang nipis ini bolehlah saya ambil RM5.00
satu set. Yang tebal ini tak boleh lebih RM30.00.”
Aku terkebil-kebil dan Mohd Ali faham
suasana itu.
Maka segera tertancap di mataku dua wajah
yang turut bersama-sama sewaktu merancang jualan buku itu lebih dua tahun lalu.
Ia bermula dengan MM (Sang Editor) yang
`menemukan kembali’ aku dengan GNA penulis yang kemudiannya menjadi penerbit
kecil dua set bukunya.
GNA adalah rakanku sewaktu bujang dahulu.
Aku tak pasti sama ada MM tahu aku pernah mengenali GNA sewaktu merekomenkan aku
sebagai pencetak buku-bukunya atau sebaliknya.
“Kau jangan risaulah Zul. Aku dapat Dana
Kreatif. Dua minggu lepas cetak, aku bayar balik. Kau tengok ni, berapa nilai
LO (Local Order) atas meja ini?,”
katanya yakin sambil meletakkannya di atas meja makan Allson Klana Resort.
Maka beralihlah wang hampir RM100,000
daripada wang simpanan adik bongsuku dan Shariff Ahmad, sahabatku untuk
membiayai kerja-kerja cetak buku itu.
Maka dicetaklah 3,000 naskhah bagi setiap
judul dan mengikut persetujuan setiap seorang daripada kami akan menjualnya
1,000 set setiap seorang.
Setelah tempoh dua minggu berlalu, GNA
berjanji pula akan membayarnya dalam tempoh dua minggu lagi dan kemudian dan
kemudiannya dia mencipta pelbagai alasan sehingga pernah aku katakannya
kepadanya, “Ada lagikah idea mencipta alasan baharu? Rasanya dah habis kau
guna!”
Kini masa dua minggu telah melepasi lebih dua
tahun. MM telah menjual bahagiannya kepada pembeli `suratkhabar lama’ tanpa
memberitahu pembiaya.
Sang penerbit pula hingga kelmarin masih
yakin, “Kau tunggulah Zul. Aku akan bayar. Aku tak pernah berniat menipu kau.”
“Tidak berniat untuk menipu? Kau sudah
tidak tahu lagikah mengira antara dua minggu dan dua tahun? Penipuan sudah
berlaku! Takkan hendak menipu perlu juga berniat!,” bentakku hingga dia tidak mahu menjawab panggilan telefonku lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan