Hajat nak bertemujanji dengan Cikgu Zulkifli Abu tidak kesampaian hari ini, nasib baik ada orang lain yang sudi meneman. Jemput makan cikgu! — at Umai D'Lake Cafe,Putrajaya.
|
Sejak pagi
aku telah merasakannya, dengan kelima-lima pancaindera ini, ada sesuatu yang
tidak tertuntas hari ini. Panggilan telefon yang kuterima di setengah
perjalanan itu, mengesahkan lagi rasa itu. Sesungguhnya manusia ini hanya tahu
merancang, tapi Allah yang Rahim itu lah yang lebih mengetahui dan mengaturnya.
Perut yang hanya kuisi dengan segelas air
putih pagi tadi sudah mula berkeroncong irama. Lantas aku terus menuju ke
restoran di tepi tasik, tempat pertama yang kurencanakan untuk pertemuan hari
ini. Bau gorengan jemput-jemput pisang melata di seluruh restoran itu,
menambah rancaknya lagi irama keroncong dalam perutku.
Angin bertiup sepoi sambil mengocak tenang
air di tasik. Monumen warisan yang tegak menjulang sebagai tanda
ketinggian teknokrat tetap setia berdiri teguh di tebing tasik itu.
Tidak nampak ada kegusaran, kerana tenangnya
air tasik yang mengocak perlahan di kakinya. Nun di seberang jalan, ada
keramaian berlangsung, manusia warna warni silih berganti datang meramaikan
acara di sana.
Aku hanya melihat dari kejauhan, dari balik
dinding kaca restoran ini. Anak ku sesekali teruja, sambil menjerit girang
melihat seorang pemuda menaiki 'parachute glider' dengan payung berwarna
merah samar terbang melintasi tasik. Sesekali, bot pasukan keselamatan
melintas di tepi tasik sambil menunjuk aksi buat si pemerhati.
Kegirangan anakku melihat persembahan
percuma itu mengurangkan rasa tak kesampaian yang kualami sejak tadi.
Lewat tengah hari itu, sebaik sahaja kelaparan yang bertamu tadi hilang,
aku memutuskan untuk ke pejabat lamaku.
Kebetulan, ada yang berpesan meminta aku
menitip jajan daganganku buat mereka. Suasananya masih sama, cuma
dekorasinya makin cantik, sementelahan baharu sahaja dianugerahkan sebagai
pejabat dan jabatan pengamal 5S.
Sudah tentu kelangsungan itu diteruskan
sebagai janji persijilan yang diterima. Waktu rehat yang panjang tengah
hari Jumaat membuatkan suasana pejabat yang hiruk-pikuk sentiasa itu sunyi
seketika, hanya seorang dua staf yang masih tinggal menunggu pejabat,
mungkin sudah kenyang atau ada tugas yang perlu disegerakan.
Saat aku melewati barisan kekotak meja pegawai, ada suara halus menyapa. "Assalammualaikum Mer...Mer sihat?". Aku yang leka memerhati langkah anak kecilku yang asyik memegang IPadnya sambil berjalan, mana tahu takut nanti terlanggar bucu meja atau dinding, terpempan seketika.
Saat aku melewati barisan kekotak meja pegawai, ada suara halus menyapa. "Assalammualaikum Mer...Mer sihat?". Aku yang leka memerhati langkah anak kecilku yang asyik memegang IPadnya sambil berjalan, mana tahu takut nanti terlanggar bucu meja atau dinding, terpempan seketika.
"Eh, Kak N! aahhh..ba… baik...waalaikum
salam," balasku dengan sedikit gagap. Aku terkejut sebenarnya,
melihatkan wajah yang menyapa sedikit cengkung, dengan lingkaran hitam
disekitar mata kelihatan jelas.
"Akak sihat? Erkk...Akak sakit
ya?," segera aku mendekatinya. Ya, wajah yang sentiasa kemas
bersulam senyuman selalunya sebelum ini kelihatan sugul dan resah.
Sejambak dua rambutnya sudah terjulur keluar dari 'awning' tudung yang
dikenakan. Barisan giginya kelihatan agak jarang dan sedikit jongang.
"Akak ni macam ada buat rawatan
kemoterapi atau dialisis je rupanya?," tebakku perlahan dalam hati sambil
kurenung dalam mata Kak N.
"Ya Mer, akak sakit..., buah pinggang
akak dah rosak kedua-duanya, seminggu tiga kali buat dialisis," lambat dan
lemah jawapannya.
Ah, tepat sekali jangkaanku! Kak N yang
sentiasa riang, cergas dan bersemangat tidak sama dengan Kak N yang ada
didepanku sekarang ini; lemah, murung dengan pandangan mata seolah-olah memohon
aku mengurangkan penderitaannya. Aku kehilangan kata-kata seketika. Selama
lebih kurang lima minit aku sekadar berbasa basi dengan Kak N, cuba menutup
kejanggalan yang kian terasa.
Aku sebenarnya tidak tahu, bagaimana nak
mengembalikan semangat Kak N bila mana hati kecilku sendiri merasakan jiwa itu
sekadar menunggu masa.
"Ya Allah, ampunkanlah aku! Aku bukan
ingin mengatasimu, aku hanya hambamu yang lemah di sisiMu, kau ringankanlah
beban Kak N, Kau kurangkanlah penderitaannya Ya Allah, sesungguhnya Engkau yang
maha mengetahui setiap aturan, kepadaMu lah aku bermohon, Ya Allah Ya Rabbal
Alamin," panjang sekali hatiku merintih memanjatkan doa ke hadrat Ilahi.
Sebelum berpisah petang itu, kugenggam erat
tangan Kak N, sambil ku selitkan sekeping RM. "Kak, ambillah wang ni kak,
bukan nak tunjuk simpati, tapi anggaplah hadiah hari jadi yang tak pernah saya
ingat sebelum ini. Maafkan saya andai selalu endah tak endah pada akak. Gunakanlah
untuk membeli vitamin penambah tenaga, moga Akak terus diberi kekuatan dan
ketabahan mengharungi dugaan ini, baca lah surah Al Kursi dan Yasin
selalu Kak kerana musibah ini datangnya daripada Allah dan Dia jualah
penyembuhnya, kuatkan semangat ya, nanti kita jumpa lagi," aku memujuk
sambil kupeluk erat Kak N.
Jauh di sudut hatiku, aku benar-benar tidak
pasti, adakah aku dapat bersua kembali dengan Kak N. Kak N atau mungkin
aku? Engkaulah yang maha mengetahui, Ya Allah!
Oleh: Merhayati Sipon
1 ulasan:
SEPERTI yang dikatakan sebelumnya, Mer mempunyai kekuatan berbahasa; kosa kata yang digunakan pelbagai dan segar.
Gaya penceritaan bersahaja dan ini memenuhi kehendak blog ini. Syabas! Sila hantar cerita lagi!
Catat Ulasan