Seorang
guru pelatih KPLI yang di bawah seliaan saya akan mempraktikkan teori dari
bilik kuliah ke kelas dan dalam situasi sebenar.
Awal-awal
lagi dia sudah bimbang. Berkali-kali dia beritahu saya, "Puan, saya nak
cakap awal-awal. Budak-budak kelas saya sangat hyper. Mungkin akan ada
masalah kawalan kelas nanti..."
Saya
senyum-senyum saja. Kesian lihat muka dia yang risau. Saya beritahu dia jangan
tertekan sangat. Buat macam biasa. Saya bukan mahu cari salah. Saya hanya mahu
membimbing.
Saya
pun masuk ke kelas tersebut. Makmal ICT sebenarnya. Dingin dan santai. Pelajar
duduk di lantai menghadap papan putih. Guru menggunakan teknologi ICT untuk
memaparkan set induksi. Menarik. Murid sangat teruja, menyanyi bersama-sama.
Tapi
memang betul kata dia. Budak-budak Tahun 4 itu memang jenis hyper.
Langsung tidak boleh diam. Ada yang sampai meniarap-niarap. Ada dua tiga orang
menangis-nangis. Puncanya pun hanya kerana berebut helaian edaran. Tapi guru
itu pandai juga mengawal kelas.
Mungkin
kerana suaranya yang kuat. Atau kerana dia lelaki.
Selesai
kelas, dia memang agak susah hati. Terlebih masa l5 minit. Saya tahu sebabnya.
Dia terpaksa mengambil masa untuk mengawal kelas yang budak-budaknya macam ulat
beluncas, atau melompat-lompat macam ulat nangka.
Sebenarnya
itulah realiti di kelas yang betul. Saya memang tiada pengalaman langsung
mengajar sekolah rendah. Tapi mengajar di tingkatan satu, saya pernah. Setahun
saya mengajar tingkatan satu. Perangai budak-budak masih terbawa-bawa dari
sekolah rendah.
Kelas
yang saya pernah ajar itu lagi teruk daripada kelas yang guru pelatih itu ajar.
Sekurang-kurangnya kelasnya ada pelajar perempuan. Tidak ramai bilangan
pelajarnya.
Kelas
tingkatan satu yang saya ajar? Empat puluh enam orang pelajar lelaki! Kaki
gaduh pulak tu. Bertumbuk perkara biasa.Malahan, adakalanya guru terpaksa
mengejar pelajar yang keluar masuk sesuka hati ke dalam kelas. Ada peristiwa
seorang pelajar, kencing dalam botol air mineral semasa guru sedang mengajar.
Pelajar tingkatan satu, bukan tahun satu!
Itu
sebabnya saya hanya senyum-senyum tatkala dia asyik risaukan hal pelajarnya
yang hyper. Bagi saya, itu normal. Itu dunia realiti di sekolah.
Teori-teori kadang-kadang hanya untuk menjawab peperiksaan atau mengisi kerja
kursus sahaja. Praktiknya belum tentu dapat dibuat persis teori.
Apabila
kita menyelia di sekolah menengah, pelajarnya pandai berlakon. Macam tertib
sahaja. Semuanya ikut aturan. Tapi di sekolah rendah, budak tidak pandai
berlakon. Tak pandai menipu juga. Kalau dia rasa mahu meniarap, dia meniarap
sahaja; tidak kira gurunya sedang dicerap atau tidak. Kalau mahu menangis pun,
dia menangis saja. Peduli apa dia dengan pensyarah yang tertonggok di belakang
kelas!
"Jangan
susah hati..." kata saya. "Ini hal biasa di kelas. Tapi kena rancang
strategi supaya mereka dapat dikawal. Jangan bagi banyak sangat aktiviti yang
boleh menyebabkan mereka hilang fokus."
Tapi
saya tahu dia penat. Satu jam menangani sekumpulan pelajar yang seperti ulat
nangka. Sama sahaja seperti yang saya rasa dahulu. Tapi kerisauannya ialah
kerana dia diperhatikan.
Satu perkara yang saya juga belajar. Budak-budak hatinya bersih. Mereka langsung tak pandai berlakon. - Ratna Laila Shahidin
Satu perkara yang saya juga belajar. Budak-budak hatinya bersih. Mereka langsung tak pandai berlakon. - Ratna Laila Shahidin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan