Jumaat, 31 Januari 2014

Percakapan Anak-Ayah

Ketika saya hampir di pintu pagar rumah tiba-tiba anak saya yang berusia 10 tahun meluru ke arah saya. "Ayah, ayah...!" jeritnya seperti ada sesuatu yang penting ingin disampaikan kepada saya.
      "Ayah, ayah...!" Dia memegang tangan saya seolah-olah tidak sabar ingin menunggu saya masuk.
      "Kenapa ni? Ayah nak solat asar dulu. Lepas tu adik cerita," jelas saya sambil terus memanjat tangga menuju bilik ruang atas untuk segera menunaikan kewajipan diri.
      Setengah jam kemudian di sofa ruang tamu, anak saya sudah sedia menunggu. "Kenapa dik?"
      "Ayah, ketua darjah adik letak jawatan. Tak tahu kenapa. Dia hantar surat kepada cikgu kelas. Tadi cikgu kelas adik minta adik jadi ketua darjah. Boleh tak ayah?," ceritanya sambil mendesak.
      Saya merenung wajahnya dalam. Fikiran saya jauh melayang terkenangkan diri saya yang pernah menjadi ketua darjah ketika bersekolah dulu. Saya teringatkan betapa susahnya menjadi ketua darjah kerana dengan jawatan itu saya terpaksa melakukan kerja-kerja lain selain kerja sekolah - melayan kerenah rakan-rakan yang nakal; mewakili rakan-rakan ke mesyuarat dan macam-macam lagi. Lama juga saya melayan kenangan itu.
      "Boleh tak ayah?" desak anak saya manja. “Bolehlah ayah, bolehlah, bolehlah...," desaknya lagi.
      "Beginilah dik, jika adik ingin membuktikan yang adik boleh menjadi pemimpin yang baik, adik terima sajalah jawatan itu. Tapi, bukankah adik dah jadi pegawas sekolah? Mana boleh seorang anak murid pegang dua jawatan penting di sekolah?"
      "Bolehlah ayah… Ayah tengok perdana menteri kita tu. Kata cikgu adik, dia jadi perdana menteri dan jadi menteri kewangan. Dekat sekolah adik pun cikgu adik tu pegang banyak jawatan. Cikgu adik tu jadi cikgu kelas, jadi cikgu keceriaan sekolah, jadi cikgu buku teks, jadi jurulatih hoki dan jadi cikgu disiplin. Ayah tengok tu, berapa jawatan cikgu adik? Boleh tak ayah, adik nak jadi ketua darjah?"
      "Hehehehe, terpulanglah pada adik? Janji adik periksa dapat nombor 1. Kalau rasa tak boleh, tak payah." Saya bertegas dengan jawapan saya.
      "Terima kasih ayah. Adik sayang ayah."
      "Ada tak cikgu kata nak buat undian memilih ketua darjah tu?"
      "Tak ada. Cikgu kata kita tak perlu buang masa dan membazir."
      "Habis tu, memang tak ada calon lain ke selain adik?" tanya saya.
      Cikgu adik kata adik paling layak sebab adik pernah menjadi timbalan ketua darjah waktu darjah 3 tahun lepas. Cikgu kata lagi, adik ok."
      "Kawan-kawan adik setuju dengan cadangan cikgu tu ke?"
      "Setuju sebab kawan-kawan adik sokong adik. Kawan-kawan adik semua suka pada adik. Kawan-kawan adik kata adik suka belanja kawan-kawan makan sebab itulah kawan-kawan adik suka pada adik."
      "Itu rasuah namanya?"
      "Ayah, itu bukan rasuahlah ayah. Adik belanja dia orang sebab kawan adik yang nama dia Topo selalu bagi duit pada adik. Dia anak orang kaya. Dia selalu bagi adik duit sebab adik selalu tolong dia buatkan kerja sekolah dia."
      “Tolong tunjuk atau buat kesemua kerja sekolahnya?”
      “Buat semualah ayah.”
      “Itu juga salah adik,” saya berterus-terang.
      “Macam mana pula salah ayah? Baharu kelmarin adik terdengar Cikgu Ahmad dan Cikgu Munah berbual. Kata mereka bukan susah sangat hendak dapat ijazah sekarang. Kerja kursus boleh upah. Tesis pun boleh diswastakan,” adik galak bercerita.
      “Semalam juga ada baca cerita dalam blog ceritaapaapasaja, bila ada duit Menteri pun boleh beli ayah,” adik terus memperteguhkan alasannya.
      Tiba-tiba beberapa bilik kuliah di UPM sekitar tahun 80-an tertancap kuat di mata. Masih jelas benar betapa keropok lekor Terengganu bertukar tangan dari Harun kepada pensyarah dan betapa ringannya tangan Said Ahmad mengupah Seri Devi menyiapkan semua kerja kursus dan tesisnya.
      Harun kini bergelar Profesor dan Said pula salah seorang Pengarah Bahagian di Kementerian Pendidikan Malaysia. 
oleh: Shamsudin Othman
nota: tujuh para terakhir disambung oleh Sang Pencerita.

Khamis, 30 Januari 2014

Apabila Menteri Dalam Negeri `Dijual’ Gadis 20-an

“Giliran seterusnya!”, kedengaran suara dari bilik sebelah memanggil jelas; lalu aku segera membuntuti Adam masuk ke bilik itu.
      “Adam?,” tanya gadis berkaca mata jenama antarabangsa dan berpelekap gigi itu.
      “Saya,” Adam menjawab lembut.
      “Mengapa awak tidak menurunkan cop jari? Itu sebab permohonan awak ditolak,” kata gadis berusia sekitar 20-an itu penuh yakin tanpa disoal.
      “Cop jari di mana? Bukankah cop jari saya ada di mana-mana pintu keluar masuk Malaysia,” Adam menjawab jujur.
      “Yang pasti awak PATI (Pendatang Tanpa Izin) sekarang,” katanya lagi sambil membetulkan kedudukan kaca matanya.
      “Awak kena balik sebelum ditangkap,” gadis itu terus menjatuhkan hukuman.
      “Apa yang boleh dibuat bagi membolehkan saya terus berada di Malaysia?,” Adam bertanya tenang. Pengalaman kira-kira 20 tahun sebagai `pelancong’ yang bekerja di Malaysia tidak menggentarkannya dengan `hukuman’ itu.
      “Awak kena bayar RM1,500 lagi. Saya sudah berunding dengan Menteri. Syarikat ejen pekerjaan saya diberikan kuota yang agak besar bagi membolehkan sesiapa yang sudah mendaftar diberikan permit,” katanya bagai seorang Ketua Wanita UMNO Kebangsaan.
      “Baharu malam tadi perundingan dapat dibuat,” celah ibu Sang Gadis yang bagai ke siku gelang emasnya.
     
“Apa jaminannya?” aku segera mencelah bagai tidak sabar melihat silat pulut yang ditarikan oleh gadis itu dan ibunya.
      “Jaminan tidak adalah tapi kalau kena tangkap, telefon saya segera,” kata gadis itu lagi dengan keyakinan 101 persen.
      Adam diam seketika.
      “Pasport saya sudah mati. Cik Ina sahaja sudah pegang passport saya lebih dua bulan. Bagaimana mahu pulang?”
      “Saya sudah buat arrangement dengan Menteri dan Imigresen di lapangan terbang. Bayar sahaja upahnya,” kata gadis bernama Ina itu lagi.
      “Wang lagi!,” Adam bagai hilang sabar.
      “Memang! Semuanya perlukan wang – hendak bayar polis, hendak bayar Imigresen dan bayar orang Menteri,” Ina memberi alasan tanpa berselindung.
      Aku terus melihat rentak silatnya.
      “Cepat buat keputusan! Di luar tu ramai lagi,” Ina memberi petunjuk supaya segera keluar dari bilik di Tingkat 3 Bangunan Tabung Haji, Jalan Ipoh itu.
      “Beginilah. Biar saya ambil balik duit saya,” kata Adam pasrah.
      “Bukankah senang kalau buat keputusan awal.
      “Adam! Mengikut resit, awak bayar kami RM1,700. Betul?”
      Adam mengangguk.
      “Daripada RM1,700 ini saya tolak RM400. Andy wakil saya di Seremban sudah ambil wang komisennya. Syarikat saya pula ambil RM800 untuk urusan laporan polis, bayar `ejen’ kami di Jabatan Imigresen dan ramai lagi yang kena bayar,” Ina memberi penjelasan sambil merujuk catatan bertulisan tangan yang mungkin sudah ditunjukkan kepada ratusan atau ribuan pendatang asing.
      “Ini baki RM500,” katanya sambil menyerahkan beberapa helai not RM50.
      Adam segera mengajakku keluar.
      Sewaktu dalam kereta dalam perjalanan pulang, Adam sempat memeriksa pasportnya dan sampul surat yang berisi lapan keping foto pengenalan dirinya.
      “Boss! Foto ini tidak diusik langsung. Foto mana agaknya yang digunakan untuk mengisi borang Imigresen dan lain-lain?,” tanya Adam.
      Aku mendiamkan diri dan terus memandu laju untuk masuk ke Jalan Mahameru.

Ahad, 26 Januari 2014

Xin Nian Kuai Le!

"Nanti siap dalam pukul satu.”
     Aduh, lamanya!
     Melayanglah lima ratus selepas dapat kunci. Aku terus ke mesin pembuat minuman Nescafe. Siapa tak nak air percuma? Dapatlah air Milo meneman aku menonton bola di anjung tetamu.
     Alahai, bosannya. Pergi depanlah, nak hubungkan telefon dengan internet percuma pusat servis ini. Dapat juga aku tengok Facebook dan Instagram. Bancuhan kopi putih pula meneman aku di perkarangan hadapan kali ini.
     Sesudah aku bosan buat kali kedua, aku jengah majalah dan surat khabar sambil-sambil menyelak mesej-mesej Whatsapp yang masuk. Seorang dua bertanyakan soalan. Mereka nak Ujian Pertengahan Semester Isnin nanti. Tak dapat aku nak kirakan dek ketiadaan kertas dan pen bersama-sama. Aku menjadi mandur memerintah sahaja sambil mencongak dalam kepala.
     Nak ambil teh pulaklah. Aku senyum kepada seorang makcik yang duduk berhadapan sewaktu aku duduk seusai mesin Nescafe menjalankan tanggungjawabnya. Makcik tersebut duduk bersama anaknya barangkali sewaktu aku membelek Mens' Health.
     "Gaji berapa?"
     Aku bingung. Makcik ni cakap dengan aku ke?
     "You/lu kerja apa?"
     Oh, pekaknya aku.
     "Cikgu," aku membalas mesra.
     Terus dia senyum gembira sambil menyatakan dia juga dahulu seorang guru. Kami rancak berbual.
     "Dekat mana?"
     "Tangkak,"
     "Sekolah Melayu?"
     Aku mengiakan.
     Dia bersetuju lalu menyatakan bahawa dia sudah lama pencen. Dia menyambung lagi bahawa ramai anakya yang menjadi cikgu juga. Aku menjual perihal ibuku juga seorang guru. Senyumannya mengurangkan tekanan aku. Teringat mak di rumah. Selepas bertanya umur mak, dia menyambung.
     "Kerja cikgu dulu gaji sikit... sekarang aaa gaji sudah banyak.”
     Aku senyum tanda setuju. Aku mengiakan fakta itu dengan berkongsi kisah mak mula mengajar sewaktu bertudung segitiga.
     Makcik itu juga berkongsi kesusahannya berbas ke sekolah. Dia menambah lagi kerja cikgu itu bagus kerana semuanya cukup. Anak-anaknya pula semuanya bagus. Mungkin berkat berbakti kepada yang lain murah rezekinya. Aku berseloroh dengan berkata apa guna wang banyak nanti susah nak fikir harta banyak.
     Keasyikan kami berbual-bual sampai membawa isu kenaikan harga.
     "Sekarang gaji naik pun susah, minyak naik, harga makan pun naik."
     Aduh, memang dasar guru kami ini. Mampu berbual-bual kedai kopi walaupun sedang minum teh susu!
     "Aunty ajar apa?"
     "Cina."
     "Oh," Bahasa Cina mungkin.
     Dia menunjukkan ke arah anaknya yang sedang membayar bil di kaunter sambil memuji-muji. Anaknya kembali kepada kami sambil membawa senyuman kepadaku. Makcik itu menghabiskan airnya lalu senyum kepadaku sebelum berlalu.
     Zai jian. Ucapan tersebut tersekat di tekak. Hanya senyumannya yang sempat kubalas.
     Xin Nian Kuai Le!
oleh: Mohamad Ainan Mohamad Anual

Khamis, 23 Januari 2014

`Haji' Kannan

Sewaktu bersembang kosong di laman Inap Desa Agro Kraf, aku lihat Kannan agak muram malam itu.
     Beberapa kali aku terdengar perkataan Thaipusam sewaktu dia berbual dengan rakan sekerjanya, Rajendran. Lalu aku segera teringat bahawa keesokan harinya penganut Hindu di Malaysia akan berkunjung ke Batu Caves.
     Segera juga tertancap dalam fikiran, Joshy seorang lagi rakan sekerjanya yang juga pekerja asing dari Pondicherry, India itu telah meminta aku mencetak foto kunjungan mereka ke Batu Caves nanti yang akan diambil dengan kamera milik syarikat tempat mereka bekerja.
     “Abang! Kami tak jadi pergi Batu Caves. Wang tak ada. Gaji belum masuk,” cerita Kannan dengan suara halus keperempuanannya tanpa diminta.
     “Apa sebab tak ada minta sama bos `advance’?,” tanyaku segera. Kannan dan Rajendran cuma menjawab dengan gelengan kepala.
     Teringat dalam kocek seluarku ada dua not RM50.00 dan aku segera menawarkan mereka duit itu.
     “Tak ada cukuplah abang,” lagi suara perempuan Kannan kedengaran.
     “Takkan RM50.00 tak ada simpan?,” aku bertanya lagi.
     “Tak adalah abang. Semua sudah hantar balik India,” cerita Kannan berterus-terang.
     Jawapan Kannan itu munasabah. Sewaktu balik dari India selepas bercuti lima bulan baru-baru ini, dia beria-ia sangat meminta aku mencetak foto banglo yang baharu siap dibina dan motosikal buatan India ala Jaguh buatan Malaysia melalui chip telefonnya.
     “Abang! Saya betul-betul mahu sembahyang dekat Batu Caves. Saya sudah lapan tahun tinggal Malaysia; satu kalipun tak dapat pergi sana,” katanya bersungguh-sungguh.
     “Abang! RM100 sudah cukup – tambang bas, beli kelapa dan mahu cukur kepala. Saya dengar kelapa sama cukur sudah naik harga ini tahun,” Kannan memperteguhkan permintaan.
     “Ini macam. Sekarang saya telefon Rameli. Saya kasi RM50 satu orang. Nanti saya minta Rameli kasi pinjam RM50 lagi,” kataku yang merujuk penyelia syarikat lanskap tempat mereka bekerja.
     Rameli bersetuju dan berjanji akan datang berjumpa keesokan paginya.
     Bagaimanapun awal pagi keesokan harinya aku lihat Kannan sudah bersedia dengan pakaian terbaiknya.
     “Rajendran mana? Dia tak pergi ke?,” tanyaku ingin tahun.
     “Rajendran tolong saya abang. Duit abang kasi semalam, dia kasi saya. Rameli telefon tak dapat beri itu wang,” katanya.
     “Saya mahu cukur kepala abang. Mahu buang dosa,” kata Kannan bagai seorang bakal haji yang mahu berangkat ke Makkah.
     Pada pagi berikutnya aku lihat Kannan begitu ceria dengan kepala botaknya.
     “Terima kasih abang!,” dia lalu memujiku dan secara sinis memperkecilkan majikannya.
     “Jangan cakap itu macam Kannan. Awak sudah naik `haji’. Awak punya bos saya punya kawan. Tak ada baik cakap itu macam,” tegasku.
     “Abang! Cakap terang-terang. Saya tak ada wang mahu ganti abang punya wang,” Kannan bagai merayu.
     “Tak payah ganti. Hari Ahad ini awak cuti bukan? Angkat saya punya mesin rumput, kasi bersih saya punya kebun.”
     Aku dapat melihat senyuman paling manis Kannan sejak mengenalinya lebih dua bulan lalu.

Selasa, 7 Januari 2014

Kampungku! Oh Kampungku 2

1
KELMARIN sepupuku Id (Idris Haji Mohamad) menziarahiku di kebun. Dia yang menjalankan perniagaan pembekalan turut mengusahakan kebun di tanah milik keluarga.
Sewaktu aku menceritakan kesulitan penduduk kampung, dia segera berkongsi cerita.
"Kau selalu mudah percayakan orang. Sebahagian cerita itu bohong," dia membuat rumusan.
"Kau jangan beri budak Angah itu masuk lagi. Dia banyak membuat masalah di kampung ini. Minggu lalu dia curi pisang aku dan jual di Batu 9."
Dan petangnya sewaktu aku ingin memotong rumput, aku dapati sebahagian 4 liter petrol yang baharu dibeli dan 1 liter minyak 2T hilang.
Segera tertancap dalam fikiran," Mana diambilnya petrol yang akhirnya membakar tubuh rakannya sedangkan untuk membaiki tayar motosikal pun aku yang memberikannya duit."
Teringat kembali juga dia sering meminjam sedangkan upahnya dibayar sebelum kering peluhnya.


2
KIRA-KIRA jam 11.00 pagi lelaki yang terbakar tubuhnya datang bersama isteri dan anak.
"Boleh tak isteri saya memungut pucuk paku di bawah tu," dia meminta izin lalu aku benarkan.
"Boleh kerja? Kalau boleh tolong potong rumput."
Tanpa banyak cerita dia segera menyandang mesin rumput yang terletak berdekatan.
Tepat satu jam dia berhenti lalu leka membaiki motosikalnya dengan segala alat pertukangan yang ada di situ.
"Hendak mesin rumput ke atau hendak baiki motosikal?," tanyaku.
"Cukuplah saya kerja satu jam," jawabnya lalu aku menghulurkan RM5.00
Sewaktu aku dengan pekerjaku hendak membetulkan kembali pagar yang dibuka sementara, baharuku perasan lebihan tiang pagar besi yang aku letakkan berhampiran pintu masuk, hilang.
Sehari sebelum itu seorang budak lelaki India ada datang bertanyakan adakah aku ingin menjual besi buruk yang ada di situ.
Dan sewaktu hendak membeli besi Y8 untuk dibuat tebing gazebo di kedai barang terpakai di Batu 6, aku dapati tiang pagar aku ada di situ.
Siapakah yang mengambilnya?

Rabu, 1 Januari 2014

Kampungku! Oh Kampungku!

Kampungku! Oh Kampungku 1
DALAM tempoh satu bulan setengah untuk menyiapkan kerja-kerja baikpulih rumah peninggalan mentua, Mr. Alfred Flower @ Mohamed Farid, setidak-tidaknya aku didatangi lebih 10 orang untuk memohon kerja.
"Tolonglah bang! Sudah tiga hari dapur tidak berasap," kata seorang lelaki sekitar usia 40 tahun dari atas motosikalnya manakala anak lelakinya berusia sekitar dua tahun kelihatan lesu dalam bakul motosikalnya.
"Pakcik! Berilah saya apa kerjapun. Felda Palong sedang ditanam semula. Saya terpaksa menumpang rumah adik di Tekir," kata pula seorang pemuda berusia awal 20-an.
"Kenapa tinggal di Tekir? Awak orang Asal (orang Asli) ke?"
"Tidak Pakcik. Saya tidak ada pilihan. Saya dengar di Labu ni banyak peluang kerja.
"Saya tinggal di rumah mentua adik. Adik kena tangkap basah dengan gadis orang Asal.



Kampungku! Oh Kampungku 2
TIDAK sampai tiga hari kemudian, singgah pula sepasang suami isteri dari Gadong (berhampiran Kampung LBJ) yang juga bertanyakan kerja.
"Bang! Saya bekas tentera. Beras di rumah sebijipun tidak ada. Anak-anak hendak makan apa? Berilah saya dan isteri kerja. Sekarangpun saya boleh mula."
Sebaik-baik aku menyatakan persetujuan, dia meminta pula supaya rakannya yang juga sudah berkahwin untuk turut bekerja.
"Sudah tiga empat hari dia meronda pelbagai tempat untuk mencari kerja. Bang! Tolonglah!"
Mendengar aku sedia memberi kerja, dengan muka ceria dia lantas menelefon rakannya itu.
Hari itu dua pasang suami isteri membasuh rumah dan membersihkan barang-barang milik penyewa sebelum itu.


Kampungku! Oh Kampungku 3
SELAIN membaikpulih rumah peninggalan mentua, aku dalam proses membangunkan kawasan sekitar satu hektar di bahagian belakang tanah milik isteri.
Aku sengaja memilih kampungku sendiri untuk projek yang dianggap `projek gila' ini.
"Insya-Allah! Setidak-tidak 20 ke 30 peluang kerja bakal wujud di sini," itulah yang selalu tertasdik di hati.
Sebagai persiapan ke arah itu, aku mempelawa kira-kira 10 orang anak muda kampung untuk kerja-kerja memindahkan kayu dan batu.
"Kalau McDonald bayar RM4.00 sejam, Pakcik bayar kamu RM5.00. Habis kerja, terus dapat gaji."
"Kau jangan harapkan sangat budak-budak kampung ni," begitu pesan seorang teman sekampung sewaktu menghirup teh tarik di Warung Apa.
Hanya setelah lebih seminggu peristiwa itu berlaku, Shahilan temanku yang ditugaskan untuk kerja-kerja mengecat memecah rahsia.
"Waghih! Eden bukan hendak mengadu-domba. Waktu kau balik Seremban, budak-budak yang kau ambil kerja tu bukan kerja sangat. Dia orang leka berkaraoke dalam rumah kau tu."
nota: Aku membayar kira-kira RM400.00 untuk kerja dua hari budak-budak itu sedangkan kerja itu hanya dapat disiapkan tidak sampai separuh hari dengan menggunakan khidmat mesin JCB milik Ah Tuck yang hanya meminta tidak sampai RM200.00.


Kampungku! Oh Kampungku 4
LIMA hari lepas, sedang asyik memerhatikan pekerjaku membina `air mancur' bekas laluan masuk ke rumah yang kini sudah menjunam turun, aku didatangi seorang lelaki berusia awal 30-an.
"Bang! Hendak beli tak jubin ni?," tanya lelaki bermotosikal itu.
Jubin itu memang cantik - dipenuhi manik segi empat yang berwarna-warni dan berkilauan pula.
"Maaf! Jubin ini terlalu cantik untuk rumah tua ini," aku menjawab lembut.
"Ambilah bang! Saya jual murah. Barang dapur tak ada di rumah," dia terus merayu.
"Mana kau ambil jubin yang mahal ni?"
"Lebihan saya buat dapur dahulu," katanya selamba.
Sewaktu ke Warung Apa kira-kira sejam kemudian, aku terlihat lelaki itu sedang menawarkan jubin yang sama kepada teman sekampungku.


Kampungku! Oh Kampungku 5
WALAUPUN tahu salah, aku tidak ada pilihan selain membakar sahaja pokok acasia yang sudah ditumbangkan oleh mesin JCB Ah Tuck sejak dua minggu lalu itu.
"Sekarang permit untuk membawa pokok acasia keluar sudah dibekukan," kata Imam dari Jelebu yang menjalankan perkhidmatan menebang dan membersihkan kawasan.
"Kalau undang-undang tak membenarkan pokok ini dibawa keluar dan membakarnya juga adalah salah, apa petani hendak buat dengan pokok-pokok ni?"
"Biarkan sahaja dia reput sendiri," jawab Imam dalam nada bergurau.
Kira-kira jam 5.00 petang semalam, aku didatangi seorang lelaki bermotosikal bersama isteri dan seorang anak kecil berusia sekitar setahun yang diperkenalkan oleh Angah yang tinggal di Tekir itu.
"Haji! Tolonglah dia. Di rumahnya sudah tidak ada apa-apa yang hendak dimakan lagi."
Oleh kerana tergesa-gesa untuk menemankan rakanku Haji Said Bidin yang mengajakku ke Seremban, aku segera memberi arahan.
"Oleh kerana sudah petang, datanglah kerja esok."
Tidak sampai dua jam kemudian aku dihubungi Lobai.
"Ji! Balik cepat. Budak yang Haji suruh bakar pokok tu dah terbakar badannya. Dia pakai petrol."
Aku segera pulang dan kelihatan dia sedang dilumuri minyak oleh pekerja dari India yang masih tinggal di rumah itu.
"Bang! Pedih bang!"
"Bukankah saya suruh datang esok. Siapa yang suruh bakar?"
"Angah bang. Katanya walaupun dua jam, dapat juga kami RM10.00."
Sewaktu menjengah di luar, aku lihat isteri dan anaknya sedang leka memungut pucuk paku yang mungkin jadi hidangan malam mereka.
Dia bagaikan tidak merasa apa-apa suaminya yang terbakar itu.


Kampungku! Oh Kampungku 6
DAN tepat jam 12.00 tengah malam tadi, bunga api yang bernilai ratusan ribu ringgit DENGAN SENGAJA DAN PENUH SEDAR DIBAKAR OLEH KERAJAAN MALAYSIA.