Beberapa kali aku terdengar perkataan
Thaipusam sewaktu dia berbual dengan rakan sekerjanya, Rajendran. Lalu aku
segera teringat bahawa keesokan harinya penganut Hindu di Malaysia akan
berkunjung ke Batu Caves.
Segera juga tertancap dalam fikiran, Joshy
seorang lagi rakan sekerjanya yang juga pekerja asing dari Pondicherry, India
itu telah meminta aku mencetak foto kunjungan mereka ke Batu Caves nanti yang
akan diambil dengan kamera milik syarikat tempat mereka bekerja.
“Abang! Kami tak jadi pergi Batu Caves.
Wang tak ada. Gaji belum masuk,” cerita Kannan dengan suara halus
keperempuanannya tanpa diminta.
“Apa sebab tak ada minta sama bos `advance’?,”
tanyaku segera. Kannan dan Rajendran cuma menjawab dengan gelengan kepala.
Teringat dalam kocek seluarku ada dua not
RM50.00 dan aku segera menawarkan mereka duit itu.
“Tak ada cukuplah abang,” lagi suara
perempuan Kannan kedengaran.
“Takkan RM50.00 tak ada simpan?,” aku
bertanya lagi.
“Tak adalah abang. Semua sudah hantar balik
India,” cerita Kannan berterus-terang.
Jawapan Kannan itu munasabah. Sewaktu balik
dari India selepas bercuti lima bulan baru-baru ini, dia beria-ia sangat
meminta aku mencetak foto banglo yang baharu siap dibina dan motosikal buatan
India ala Jaguh buatan Malaysia melalui chip telefonnya.
“Abang! Saya betul-betul mahu sembahyang
dekat Batu Caves. Saya sudah lapan tahun tinggal Malaysia; satu kalipun tak dapat
pergi sana,” katanya bersungguh-sungguh.
“Abang! RM100 sudah cukup – tambang bas,
beli kelapa dan mahu cukur kepala. Saya dengar kelapa sama cukur sudah naik
harga ini tahun,” Kannan memperteguhkan permintaan.
“Ini macam. Sekarang saya telefon Rameli.
Saya kasi RM50 satu orang. Nanti saya minta Rameli kasi pinjam RM50 lagi,”
kataku yang merujuk penyelia syarikat lanskap tempat mereka bekerja.
Rameli bersetuju dan berjanji akan datang
berjumpa keesokan paginya.
Bagaimanapun awal pagi keesokan harinya aku
lihat Kannan sudah bersedia dengan pakaian terbaiknya.
“Rajendran mana? Dia tak pergi ke?,”
tanyaku ingin tahun.
“Rajendran tolong saya abang. Duit abang
kasi semalam, dia kasi saya. Rameli telefon tak dapat beri itu wang,” katanya.
“Saya mahu cukur kepala abang. Mahu buang
dosa,” kata Kannan bagai seorang bakal haji yang mahu berangkat ke Makkah.
Pada pagi berikutnya aku lihat Kannan
begitu ceria dengan kepala botaknya.
“Terima kasih abang!,” dia lalu memujiku
dan secara sinis memperkecilkan majikannya.
“Jangan cakap itu macam Kannan. Awak sudah
naik `haji’. Awak punya bos saya punya kawan. Tak ada baik cakap itu macam,”
tegasku.
“Abang! Cakap terang-terang. Saya tak ada
wang mahu ganti abang punya wang,” Kannan bagai merayu.
“Tak payah ganti. Hari Ahad ini awak cuti
bukan? Angkat saya punya mesin rumput, kasi bersih saya punya kebun.”
Aku dapat melihat senyuman paling manis
Kannan sejak mengenalinya lebih dua bulan lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan