Ketika
saya hampir di pintu pagar rumah tiba-tiba anak saya yang berusia 10 tahun
meluru ke arah saya. "Ayah, ayah...!" jeritnya seperti ada sesuatu
yang penting ingin disampaikan kepada saya.
"Ayah, ayah...!" Dia memegang
tangan saya seolah-olah tidak sabar ingin menunggu saya masuk.
"Kenapa ni? Ayah nak solat asar dulu.
Lepas tu adik cerita," jelas saya sambil terus memanjat tangga menuju
bilik ruang atas untuk segera menunaikan kewajipan diri.
Setengah jam kemudian di sofa ruang tamu,
anak saya sudah sedia menunggu. "Kenapa dik?"
"Ayah, ketua darjah adik letak
jawatan. Tak tahu kenapa. Dia hantar surat kepada cikgu kelas. Tadi cikgu kelas
adik minta adik jadi ketua darjah. Boleh tak ayah?," ceritanya sambil
mendesak.
Saya merenung wajahnya dalam. Fikiran saya
jauh melayang terkenangkan diri saya yang pernah menjadi ketua darjah ketika
bersekolah dulu. Saya teringatkan betapa susahnya menjadi ketua darjah kerana
dengan jawatan itu saya terpaksa melakukan kerja-kerja lain selain kerja
sekolah - melayan kerenah rakan-rakan yang nakal; mewakili rakan-rakan ke
mesyuarat dan macam-macam lagi. Lama juga saya melayan kenangan itu.
"Boleh tak ayah?" desak anak
saya manja. “Bolehlah ayah, bolehlah, bolehlah...," desaknya lagi.
"Beginilah dik, jika adik ingin
membuktikan yang adik boleh menjadi pemimpin yang baik, adik terima sajalah
jawatan itu. Tapi, bukankah adik dah jadi pegawas sekolah? Mana boleh seorang
anak murid pegang dua jawatan penting di sekolah?"
"Bolehlah ayah… Ayah tengok perdana
menteri kita tu. Kata cikgu adik, dia jadi perdana menteri dan jadi menteri
kewangan. Dekat sekolah adik pun cikgu adik tu pegang banyak jawatan. Cikgu
adik tu jadi cikgu kelas, jadi cikgu keceriaan sekolah, jadi cikgu buku teks,
jadi jurulatih hoki dan jadi cikgu disiplin. Ayah tengok tu, berapa jawatan
cikgu adik? Boleh tak ayah, adik nak jadi ketua darjah?"
"Hehehehe, terpulanglah pada adik?
Janji adik periksa dapat nombor 1. Kalau rasa tak boleh, tak payah." Saya
bertegas dengan jawapan saya.
"Terima kasih ayah. Adik sayang
ayah."
"Ada tak cikgu kata nak buat undian
memilih ketua darjah tu?"
"Tak ada. Cikgu kata kita tak perlu
buang masa dan membazir."
"Habis tu, memang tak ada calon lain
ke selain adik?" tanya saya.
Cikgu adik kata adik paling layak sebab
adik pernah menjadi timbalan ketua darjah waktu darjah 3 tahun lepas. Cikgu
kata lagi, adik ok."
"Kawan-kawan adik setuju dengan
cadangan cikgu tu ke?"
"Setuju sebab kawan-kawan adik sokong
adik. Kawan-kawan adik semua suka pada adik. Kawan-kawan adik kata adik suka
belanja kawan-kawan makan sebab itulah kawan-kawan adik suka pada adik."
"Itu rasuah namanya?"
"Ayah, itu bukan rasuahlah ayah. Adik
belanja dia orang sebab kawan adik yang nama dia Topo selalu bagi duit pada
adik. Dia anak orang kaya. Dia selalu bagi adik duit sebab adik selalu tolong
dia buatkan kerja sekolah dia."
“Tolong tunjuk atau buat kesemua kerja
sekolahnya?”
“Buat semualah ayah.”
“Itu juga salah adik,” saya
berterus-terang.
“Macam mana pula salah ayah? Baharu
kelmarin adik terdengar Cikgu Ahmad dan Cikgu Munah berbual. Kata mereka bukan
susah sangat hendak dapat ijazah sekarang. Kerja kursus boleh upah. Tesis pun
boleh diswastakan,” adik galak bercerita.
“Semalam juga ada baca cerita dalam blog
ceritaapaapasaja, bila ada duit Menteri pun boleh beli ayah,” adik terus
memperteguhkan alasannya.
Tiba-tiba beberapa bilik kuliah di UPM sekitar
tahun 80-an tertancap kuat di mata. Masih jelas benar betapa keropok lekor
Terengganu bertukar tangan dari Harun kepada pensyarah dan betapa ringannya
tangan Said Ahmad mengupah Seri Devi menyiapkan semua kerja kursus dan
tesisnya.
Harun kini bergelar Profesor dan Said pula
salah seorang Pengarah Bahagian di Kementerian Pendidikan Malaysia.
oleh: Shamsudin Othman
nota: tujuh para terakhir disambung oleh Sang Pencerita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan