Jumaat, 31 Oktober 2014

Taubat Mat Handsome

Mat Handsome kata dia selalu nampak sepasang
rusa di tapak projek Laman Sang Pencerita. "Pelancong suka nanti tu Ji!" 
Pagi tadi sewaktu mewawancara Along Abob yang aku anggap boleh dijadikan Petani Mithali, aku didekati Mat Handsome.
    “Tuan Haji! Boleh cakap sekejap,” pintanya ringkas sambil membawa aku ke kedai sebelah yang masih belum dibuka. Isterinya ditinggalkan sendirian di meja makan.
    “Cakap terang-teranglah Ji. Saya nak pakai duitlah,” Mat Handsome bagai mahu membuktikan janjinya kepadaku dulu supaya bercakap benar dan berterus-terang.
    “Nak buat apa?”
    “Saya nak jamin anaklah,” dia bagai berbisik.
    “Apa salah dia?”
    “Inilah budak-budak muda sekarang. Pasal campur budak jahat, anak saya jadi jahat juga,” katanya persis tidak mahu mengakui kesilapannya sendiri.
    “Dia baharu belajar benda tu Ji,” dia cuba meyakinkanku sedangkan aku tahu bukan anaknya sahaja yang ambil dadah malah Mat Handsome juga begitu.
    “Shabu, ektasy atau heroin?”
    “Ganja je Ji,” selamba sahaja Mat Handsome menjawab.
    Aku lupa nama anaknya itu tapi di hari pertama bekerja Mat Handsome tidak sendirian tapi turut membawa anaknya.
    “Bayar dia RM50.00 cukuplah Ji. Dia budak-budak lagi,” pekerja memberi arahan kepada majikannya pada hari pertama bekerja.
    Aku tahu itulah satu-satunya anak Mat Handsome. Dialah gunung dan dialah payung. Menurut cerita orang kerana sayangkan anaknya, Mat Handsome ikut sahaja kehendaknya termasuk tidak mahu meneruskan persekolahan.
    “Berapa nak pakai?”
    “Seribu Ji.”
    “Banyak tu!”
    “Saya boleh bekerja dengan Haji balik. Nanti tolaklah gaji saya,” sekali lagi Mat Handsome memberi arahan.
    “Kalau nak cepat habis bayar, saya bawa anak saya sekali. Keluar lokap nanti, terus bekerja dengan Haji.”
    “Beginilah! Saya boleh tolong. Tapi dengan satu syarat.”
    “Apa syaratnya Ji.”
    “Jangan ulang cerita dulu.”
    “Saya janji Ji. Taubat tak buat lagi.”
    “Esok datang ke kebun.”
    “Pukul berapa Ji?”
    “Pukul lapan.”
    “Baik Ji. Terima kasih banyak-banyaklah selalu tolong saya,” wajah Mat Handsome bercahaya semula. Satu lontaran senyum dihantar ke meja isterinya.

Dikencing Mat Handsome

Entah berapa kali jambatan dekat rumah Mat Handsome runtuh
Mat Handsome adalah pekerja kami yang pertama sewaktu Laman Sang Pencerita memulakan kerja-kerja tapak di tanah yang terletak di bahagian lembah tanah isteri di Batu 7, Jalan Labu.
    Ada banyak kriteria yang membolehkan Mat Handsome menjadi pilihan utamaku – dia jiran paling dekat dengan tapak taman tema mini kami, dia tiada kerja tetap (antara niat projek ini dibuat adalah untuk memberi peluang orang kampungku bekerja), isterinya adalah teman bermain isteriku sejak kecil, isterinya Cicak sering membantu Allahyarhamah ibu mentuaku yang tinggal sendirian, dia pandai bertukang dan berkebun; dan deretan kebolehan lagi.
    Aku tahu pandangan popular penduduk kampung mengenai Mat Handsome. Hampir kesemuanya negatif; malah aku tahu dialah pemungut durian kebun kami, dialah yang menoreh getah peninggalan mentua dan lebih teruk; dia antara pengumpul koleksi peralatan kebun/ bertukang Allahyarham bapa mentuaku selepas meninggal dunia.
    “Aku rasa kau tak payah ambil dia bekerja. Susah kau nanti,” begitu kata Kudus, abang iparnya sendiri.
    “Dus! Kalau tak ada orang beri dia kerja, sampai bila-bilapun tangannya tidak akan pendek,” aku memberi alasan.
    “Terpulang pada kaulah,” kata Kudus lagi sambil mengisi minyak keretanya di stesen berhampiran rumah kami.
    Tidak sampai dua minggu bekerja, kelibat  Mat Handsome tidak kelihatan lagi di tapak projek walhal rumahnya hanya terletak di seberang jalan.
    Menyedari chainsaw kami yang baharu dibeli hilang, aku meminta Afza, pekerja sambilan kami ke rumahnya untuk bertanya.
    “Uncle! Mat Handsome kata dia tak akan pulangkan chainsaw itu selagi gajinya tidak dibayar,” lapor Afza.
    Tanpa berlengah aku segera ke rumahnya.
    “Sabri! Macam mana pula kau kata aku tak bayar gaji. Malah kau dah terlebih ambil kerana selalu advance!”
    “Haji dah lupa janji. Kata nak bayar RM100.00 sehari macam budak Indonesia tu,” Mat Handsome menjerkah. Dia mula menunjukkan warna sebenarnya.
    “Bila pula saya kata RM100.00 sehari. Waktu aku jumpa kau dulu, aku suruh kau sendiri tetapkan gaji. Kau kata selalunya orang bayar kau RM60.00 sehari,” aku cuba mengingatkannya sewaktu `meminangnya’.
    “Mana chainsaw tu. Kami nak pakai,” aku mula bertegas.
    “Ada kat dapur tu. Saya tak akan lepaskan kalau Haji tak bayar baki gaji saya,” gerak mata Mat Handsome yang cedera sebelah memancarkan kehodohannya.
    “Macam nilah Sabri. Aku tak suka gaduh. Ambil sahaja duit ni tapi ini bukan baki gaji kau. Aku hadiahkan sahaja pada kau.
    “Apa yang aku mahu, bercakap benar sahaja. Betul tak kau minta RM60.00 sehari dulu; bukan RM100.00”
    “Betul Ji! Tapi saya selalu sesaklah Ji.”
    “Ok! Esok datang kerja macam biasa,” pintaku.
    “Baiklah Ji. Terima kasih banyak Ji! Nasib baik Haji tolong. Nak beli barang makanpun tak ada Ji,” katanya sambil menghulur chainsaw yang baharu berusia seminggu itu.
    Sejak hari itu Mat Handsome telah memecat dirinya.
    “You are fired!,” aku bagai terdengar Mat Handsome menjerit kepada dirinya.

Jawatan Itu Tumpang Sahaja Geng!

Aku bersama PA Pengarah, Puan Anim sewaktu diberi kepercayaan menjalankan tugas Pengarah IPG Kampus Raja Melewar
DALAM perjalanan pulang dari rumah Zamri di belakang kedai Taman Megaway, Sikamat aku ambil kesempatan untuk singgah seketika di tempat kerja lamaku – Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar (IPGKRM).
    Waktu masih awal pagi semalam; sekitar jam 7.20 pagi. Kampus masih belum sibuk dan sebaik-baik sampai di kawasan lapang garaj; aku segera ditegur pemandu yang terkenal dengan misai tebalnya itu.
    Terlihat juga Puan A sedang berbual dengan rakan sekerjanya.
    “Cikgu, apa khabar?,” Puan A menegur mesra. Puan A pernah menjadi subordinatku sewaktu aku menjadi Ketua Pusat Sumber institut.
    “Maktab bukan macam dahulu lagi. Tidak macam zaman cikgu dahulu,” Puan A `memberi laporan’ tanpa ditanya.
    “Apa yang tak samanya?”
    “Tak tahulah cikgu. Pensyarah bukan nak campur sangat dengan kami lagi. Semacam sahaja sombongnya,” Puan A meneruskan laporan.
    Sedang asyik berbual, kelihatan seorang lagi pemandu (Encik M) tiba. Aku terlihat dia memandang ke arah kami. Dahinya kelihatan berkerut.
    “Ai yo! Banyak sombong sekarang. Sudah tak ada kenal. Itu macamlah nasib orang sudah pencen,” seperti biasa aku bercanda dengan Encik M yang sedang mendekati kami.
    “Sorry cikgu! Sorry! Mata sudah tak ada terang. Cikgu pula pakai songkok Indonesia,” Encik M bagai menyata kesalnya sambil jarinya menunjukkan belangkon di kepalaku.
    Kami meneruskan perbualan sambil menyingkap tabir nostalgia.
    Masih ingat benar di benakku, aku `dilamar’ oleh Naib Pengetua, Haji Elias Md Hanafiah sebagai pensyarah Teknologi Pendidikan dan melapor diri pada 1 Mac 1991.
    Pada 9 Disember 2009 pula aku bersara 56 tahun dengan jawatan akhir sebagai Ketua Jabatan Teknologi Pendidikan dan pernah juga diberi kepercayaan menjalankan tugas Pengarah.
    Jam menghampiri angka lapan, pensyarah masih belum ramai yang tiba.
    “Mana dia orang ni. Zaman saya dahulu, lepas subuhpun saya sudah tiba di pejabat,” satu lagi tabir nostalgia disingkap.
    “Maktab bukan macam dulu lagi cikgu,” sekali lagi Puan A bersuara, Kali ini membuat penegasan dan pengukuhan.
    Oleh kerana hasrat untuk bertemu bekas kakitanganku tidak kesampaian, aku mohon diri lalu segera menuju ke pejabat untuk bertemu Encik H.
    Di lobi seorang pensyarah perempuan sedang leka `bermanja’ dengan telefon bimbitnya; kemudian segera ke kaunter khidmat pelanggan sewaktu aku sedang bertanya mengenai Encik H kepada Puan Ananti.
    Aku sengaja tidak mahu menegur pensyarah muda yang berada di sebelahku. Aku jangkakan, tentulah dia bertanya khabar tetapi lebih hodoh daripada itu, dia segera pula memintas perbualanku dengan Puan Ananti.
    Segera terbayang di mataku, bagaimana Puan F sewaktu aku bertugas dahulu sering sahaja menegur mesra kerana aku ketika itu salah seorang ahli Majlis Pengurusan Tertinggi institut. Lebih 15 tahun aku berada pada posisi top-anagement.
    Belayar laju juga ingatan minggu lalu sewaktu aku diundang pada majlis perasmian Pameran Solo Pak Wan.
    Ramai pensyarah yang suam-suam kuku sahaja sewaktu berinteraksi denganku.
    Lebih terkilan Datin K yang mengambil alih jawatan lamaku juga tidak serancak dahulu ketika berbicara.
    Benarkah hipotesis Puan A – pensyarah semakin sombong? Kalau tesis ini benar; malanglah pelajar institut. Pensyarah adalah pendidik guru; guru yang diamanahkan untuk mendidik anak bangsa untuk bertamadun.
    Kalau pensyarah gagal membentuk guru yang diharapkan, akan berlakulah lingkaran syaitan yang amat menakutkan.
    Apakah akan jadi pada cucu-cucuku nanti? Aku terasa sesuatu bergenang di kelopak mataku.

Khamis, 30 Oktober 2014

Percakapan Bisnes Dua Lelaki

SELEPAS maghrib sebentar tadi aku singgah di Gerai Hussen's Puff, depan Kedai 7 Eleven Taman Paroi Jaya untuk memenuhi hajat isteri untuk makan filet ikan doryAnak bongsuku, Siti Adibah pula minta belikan chicken-chop.
     Oleh kerana cuma ada dua pelanggan ketika itu, aku berharap sangat dapat memenuhi perasaan ingin tahu yang terpendam selama ini - mengapa makanan di warung ini sedap, cepat dan murah (antara tuntutan utama pelanggan zaman ini).
     Hussen mengendalikan warung itu seorang diri dari jam 5.00 petang hingga 10.00 malam dan hampir kesemua makanannya berharga bawah RM5.00.
     Lebih pelik Hussen mampu menawarkan pelbagai menu; makanan sejuk beku (karipapnya memang sedap), Western dan ada pula yang berasaskan nasi dan mi.
     "Lama dah saya nak tanya. Mengapa makanan you jauh lebih murah?"
     "Semuanya saya buat dengan resipi yang saya cipta sendiri. Saya memasaknya juga dengan cara saya; dengan periuk yang murah ini."
     "Saya bercadang membuka warung berasaskan Bakar, Panggang dan Salai di kampung saya. Boleh supply bahan untuk sebahagian menu yang saya pilih?"
     "Saya memang ada kilang makanan sejuk beku di Kampung Pantai. Dahulu ada lapan pekerja. Sekarang masalah bang."
     "Saya memang dalam dunia manufacturing. Saya boleh hasilkan produk tapi hendak jual di mana?"
     "Warung you ini agak uzur. Buatlah secara proper," aku pula memberi cadangan. "Bukankah ada warung kosong di stadium, boleh ambil gerai sateh yang ditinggalkan oleh Ali Petronas dahulu," aku menambah.
     "Berniaga ini bang mesti tempat ada orang. Kalau tiada orang, bagaimana sales boleh berlaku.
     "Di sini ramai orang. Kalau mereka tak singgah, saya boleh panggil.
     "Tapi hendak panggil siapa kalau orangnya pun tak lalu di situ," Hussen membuat inferen.
     Aku terdiam.
Resipi Ikan Bakar Haji Ishak (kanan sekali) memang sudah teruji dan memenuhi selera pelbagai bangsa. Foto majlis `asap-asapan Warung Bakar, Panggang & Salai Agro Kraf."

Rahsia Pokok Lada Api Berbuah Lebat

SEMENTARA menunggu kedai membaiki kamera dibuka pagi tadi, aku singgah minum di Restoran Negeri. 
Oleh kerana tiada meja yang kosong, aku mohon duduk bersama seorang lelaki bernama Kamal dari Kampung Kubang, Nilai. 
Mengetahui aku seorang petani, Kamal mengongsi pengalamannya.
"Abang tahu tak bagaimana pokok lada api boleh berbuah lebat?".
Aku menggeleng mesra.
"Rebahkan batangnya bang tapi jangan sampai akarnya tercabut," katanya sambil menunjukkan gerak tangannya.
"Oh, begitu!," aku menunjukkan kekaguman.
Menyedari aku menjelaskan bayaran teh tarik dan roti canainya, Kamal bagai terkejut.
"Apa susah-susah ni bang!"
"Apalah ada dengan RM2.00 jika dibandingkan dengan tip berharga itu," kataku sambil berlalu pergi.
nota: belum pernah pula aku lihat pokok lada api yang menyembah bumi ditanam secara besar-besaran.

Khamis, 23 Oktober 2014

Terung Telunjuk, Si Bunga Kantan

SIFAT semula jadiku yang agak pemalu bertandang juga sewaktu aku mula-mula menghantar hasil tanamanku kepada peniaga Pasar Tani di Taman Paroi Jaya.
      “Lado api RM20.00 sekilo. Sini ada dua kilo. Terung telunjuk tiga kilo kali RM3.00. Jadi semuanya RM49.00. Tak apalah ambillah RM50.00 ini. Halal ya?,” kata Rashid dan aku segera berlalu.
      Kalau ikutkan sifir ekonomi, pendapatan itu memang tidak berbaloi jika diambil kira masa yang digunakan untuk memetik lada api yang perlu mengambil masa kira-kira dua jam itu.
      “Maknanya harga buruh memetik itu mungkin bernilai RM4.00 sejam sahaja sedangkan sewaktu menjadi pensyarah dahulu, paling minimum harga khidmat syarahanku (untuk urusan rasmi) ialah RM150.00 bagi penjawat DG48.
      Bagaimanapun aku tetap bersyukur. Setidak-tidaknya dengan berkebun, tubuh seorang pesaraku semakin mantap.
      Sebagai manusia yang diberi nikmat berfikir oleh Allah Rabbul-Jalil, aku terus-terusan juga berfikir bagaimana cara petani boleh mendapat pulangan yang lebih baik melalui titik-peluhnya.
      “Ji! Ada kawan saya yang kerja di UPM dapat RM2,000 sebulan dengan tanam bunga kantan di bawah laluan pencawang elektrik di Nilai,” suatu hari jiranku Rahman Daol,  bekas pengurus Agro Bank bercerita.
      “Percaya tak Ji? Bunga kantan dia tolak RM1.50 sekuntum. Raya dulu Aeon dan Giant jual RM5.00 sekuntum. Ramai yang nak buat laksa,” ceritanya ceria.
      “Kalau nak tanam pisang, banyak yang berpenyakit sekarang. Kalau nak tanam sayur, kenam siram har-hari. Tanam bunga kantan, tunggu petik hasil sahaja,” Rahman terus optimis.
      Makan akal dengan congakan itu, aku singgah di Segascape milik rakan seumrahku dahulu.
      “O.Klah bang. Berapa banyak abang nak? Saya boleh kelapakan. RM2.00 satu polibeg,” katanya.
      Tempahan itu bagaimanapun dibatalkan setelah mengetahui sepupuku, Idris Ahmad banyak menanamnya tapi tidak pernah dipetik untuk dijual kerana disangkanya tidak laku.
      Sambil mengambil perdunya untuk dibuat benih, aku meyakinkan Id yang aku sedia menjual bunga kantannya sewaktu menjual lada api dan terung telunjukku.
      “Buat permulaan, aku tak ambil untung. Di sini ada 20 kuntum kali RM1.50, kau akan dapat RM30.00.”
      Aku lihat Id senyum ceria.
      Sewaktu menghantar hasil tanamanku kepada Rashid di Pasar Tani Ampangan kelmarin, aku lihat ramai peniaga yang menjual bunga kantan; tidak seperti selalu kerana tidak ada bekalan.
      “Selain lado api dan terung, bunga kantan ini saya bayar RM10.00. Sekarang musim bunga kantanlah bang,” katanya bersahaja.
      Aku segera berlalu sambil berfikir bagaimana untuk meyakinkan Id yang sejak dua tiga hari ini membersihkan rumpun-rumpun kantannya yang terbiar selama ini.

Patriot Bangsa

SEWAKTU asyik berbual dengan Adam Tahir, DJ Radio Malaysia Negeri Sembilan di Gerai Cendol Kharim di Kampung Sentosa, kami didekati seorang lelaki berusia sekitar lewat 60-an yang kelihatan gagah dengan beret ungunya.
      Dia melabuhkan punggungnya di kerusi sebelahku sebaik-baik meletakkan kereta sorong yang turut terpacak bendera kebangsaan.
      “Inilah kereta yang saya dapat beli setelah kerja bertahun-tahun,” dia bercanda dengan rakan di meja sebelah kami, diikuti dengan ketawa yang panjang.
      Aku segera mempelawanya untuk turut menikmati cendol yang agak terkenal juga di Seremban itu.
      “Boleh! Biasa sahaja. Jangan campur sos dan belacan.” Dia bercanda denganku pula.
      Sewaktu dia berpaling, Adam sempat menunjukkan jari yang dipusingkan di kepalanya. Seperti biasa, aku tidak segera bersetuju dengan rumusan mudah Adam itu.
      Malah aku kagum dengan lelaki yang kelihatan segak dengan pakaian ala tentera itu walaupun sebahagian pakaiannya sudah lusuh kecuali beret yang kelihatan dipelihara rapi.
      “Dulu sewaktu bekerja dengan kerajaan kita betul-betul berjuang untuk negara. Tak ada nak fikir lain. Nak cari duit lebih waktu dan lepas kerja ke! Nak kaya cepat ke? Nak dapat Datuk ke!” Dia terus ketawa terkekeh-kekeh.
      Tanpa mempedulikan kami, dia terus berjenaka dengan rakan di sebelah meja yang mungkin bukan kenalannya juga lalu kami meneruskan perbincangan.
      Sewaktu hendak beredar, lelaki itu segera bertanya, “Dah bayar ke?”
      Aku mengangguk lalu dia mengucapkan syukur yang panjang.
      “Terima kasih banyaklah,” katanya selamba.
      “Apalah ada dengan duit RM1.50 sedangkan Pakcik mempertaruhkan nyawa bagi membolehkan kami hidup tanpa takut,” jawabku pula.
      Dengan mata yang bersinar yang kemudiannya digenangi air jernih, dia terus ketawa riang tetapi tindakannya itu menyebabkan aku terharu pula.
      “Bahagianya dia!,” cetus hatiku.
      Dan semalam, sewaktu pulang dari rumah rakanku Mohd Zulkafli Maulud di Taman Rasa Sayang, aku terlihat lelaki itu dengan pakaian dan beret yang sama di pondok menunggu bas di Kampung Sentosa.
      Aku melihatnya sedang berkata-kata dengan dirinya dan pada wajahnya terpancar syahdu dan bahagia.
      Gelak panjangnya jelas kedengaran sewaktu melintasinya.

Sang Tukang Atap 3

SEPERTI yang dijanjikan, Baharin tidak muncul sehingga lewat petang Khamis.
      Abang Aziz, Pengerusi Persatuan Penduduk Jalan Angsana bagaikan hairan melihat aku berlegar-legar dengan kereta awal pagi itu sedangkan dia tahu jadual harianku.
      “Tak balik kampung ke hari ini?”
      “Tak! Saya tunggu tukang baiki atap.”
      “Ambil tukang mana?”
      “Baharin yang selalu berlegar dengan basikalnya tu.”
      “Carilah orang lain Ji. Dia tu tak betul,” Abang Aziz memberi cadangan sambil bercerita mengenai kerja-kerja membaiki atap yang baharu dibuatnya minggu lepas.
      Bagi memenuhi masa, aku berkebun di sekitar rumah sahaja pada hari itu sambil menanti Baharin. Tugas menolak abah, aku serahkan kepada Aros, adik keduaku.
      Besoknya sewaktu singgah di warung roti canai Taman Paroi Jaya, aku terkejut melihat Haji Nasir yang sedang leka berbual dengan rakannya.
      Setelah temannya berlalu, aku segera menghampirinya.
      “Cepat pulih. Baharin kata you kurus kering sekarang.”
      “Kurus pasal apa?”
      “Baharin kata you jatuh dari bumbung.”
      “Alhamdulillah Ji. Saya sihat sahaja. Baharu balik dari SIGC (Seremban International Golf Club).
      Hanya pada pagi Isnin sewaktu balik menghantar Siti Adibah ke sekolah aku terlihat Baharin sedang melakukan kayuhannya di persimpangan SIGC dan Jalan Seremban-Kuala Pilah.
      “Baharin!,” aku berteriak dan dia segera menoleh.
      “Mana you pergi? Puas saya tunggu.”
      “Macam saya cakap dululah bang. Saya orang miskin tapi saya tak akan ambil duit orang kalau orang itu ragu-ragu.”
      Aku bungkam.

Sang Tukang Atap 2

SEHINGGA jam 5.00 petang wajah Baharin yang ditunggu sejak jam 3.30 petang masih tidak kelihatan.
      Sambil menantinya di balkoni, aku terlihat Baharin sedang berlegar-legar dengan basikal dan sebuah baldi plastik tergantung di pemegang basikalnya.
      Aku segera memanggilnya. “Baharin! Dekat sini.”
      Baharin segera datang dan sesi sebut harga bermula.
      “Tunjukkan saya mana yang bocor. Nanti saya beritahu harga khidmat saya,” Tanya Baharin bagai seorang profesional.
      “Tengok rumah yang ini dahulu,” ajakku sambil membawanya ke kamar tidur utama di tingkat atas.
      “Lagi bang?”
      Aku membawanya pula ke rumah sebelah. Setelah menunjukkan empat lubang di siling plaster tingkat bawah, Baharin menemui kesan titikan air di aras atas.
      “Beginilah bang. Pagi besok saya datang. Upahnya RM850.00. Kalau Cina, tentu kena RM1,300.00 ni.”
      “Besok saya ada hal. Khamislah.”
      “Abang kalau nak buat, buat sekarang bang. Nanti bocornya lebih besar, lagi susah.
      “Lepas esok, jadual saya penuh sampai hujung bulan. Kalau abang tak ada duit, tak apalah. Walaupun saya miskin, saya tak hendak duit orang kalau guna khidmat saya kerana terpaksa,” Baharin membuat sales bagai seorang usahawan Islamik.
      Akhirnya Baharin bersetuju untuk membaiki atap itu pada hari Khamis dan aku pula bersetuju dalam ragu.
      “Oh ya! Jangan lupa. Abang sediakan tangga ya!,” pinta Baharin sambil memulakan kayuhannya.
      Malam itu sewaktu aku bercerita mengenai Baharin dan Haji Nasir yang sedang uzur, isteri dengan segera memberi reaksi.
      “Tukang atap yang naik basikal tu ke? Ani kenal dia. Dia selalu berlegar di sini. Cari orang lainlah. Dia tu tak betul.”
      Macam biasa aku tidak segera mempercayainya tapi dalam masa yang sama raguku semakin tinggi.
      Mengikut congakanku harga RM850.00 itu terlalu mahal. Lubang di siling plaster tingkat bawah itu berlubang pula bukan kerana bocor kerana atap sebenarnya ialah lantai simen tingkat atas.
      Sewaktu balik ke kampung untuk memenuhi rutin harian menolak abah ke bilik mandi, emak dan abah tidak mengenali Baharin ketika ditanya.
      “Tak perasan pula,” emak menjawab selamba. Darjah keraguanku semakin mermuncak.


Sang Tukang Atap 1

Dalam usaha mencari tukang baiki atap untuk rumah yang baharu dibeli isteri, aku diperkenalkan dengan Baharin sewaktu makan tengah hari di Restoran Rabena, Taman Pinggiran Golf minggu lalu.
      “Ai yo! Ini orang banyak pandai punya,” Ah Hang membuat promosi yang disokong rakan broker tanahnya, Ah Sang.
      Seorang lelaki berumur sekitar 50-an bertubuh agak gempal tersenyum bangga dengan pujian pelanggan tetap restoran yang dijadikan markas mereka sejak sekian lama.
      “Betulkah? Saya memang sedang mencari orang yang pandai baiki atap rumah,” tanyaku. Lelaki itu segera menjawab, “ Banyak dah rumah di taman ini yang saya baiki,” jawabnya bersahaja.
      Sambil diperkenalkan dengan lelaki bernama Baharin itu, kami sempat bergurau senda seperti biasa sambil menjamah makan tengah hari.
      “Rumah abang dekat mana? Tulis sahaja pada kertas ini. Pukul 3.30 nanti saya datang,” pinta Baharin mesra. Aku penuhi permintaannya.
      “Abang orang mana?”
      “Labu.”
      “Labu dekat mana?”
      “Batu 8.”
      “Kenal tak Abu? Dulu dia berniaga di warung depan SMAP (Sekolah Menengah  Agama Persekutuan).”
      “Itu bapa saya.”
      “Masya-Allah! Kecilnya dunia ini. Saya rajin singgah di situ. Gulai ikan sembilangnya first class,” katanya bercanda sambil menunjukkan jari tanda jempolan kepada Ah Hang dan Ah Sang.
      “Dulu abang kerja mana?” tanya Baharin lagi menampakkan sifat ramahnya.
      “Maktab Raja Melewar.”
      “Oh pensyarahlah tu. Kenal tak Haji Nasir yang duduk di Taman Shahbandar tu? Bulan dulu dia cuba baiki bumbung rumahnya. Dia jatuh dan sekarang badannya kurus.
      “Ai yo! Jangan main-main panjat bumbung. Tambah-tambah bila dah tua macam abang ni,” Baharin terus bercerita bagai ingin mengukuhkan hujah untuk menggunakan khidmatnya.

Selasa, 21 Oktober 2014

Apologi Buat Pembaca

TERLALU cepat masa berlalu. Hari ini tanggal 21 Oktober 2014 manakala catatan terakhir yang dibuat melalui blog ini pula ialah pada 31 Januari 2014. Maknanya hampir sembilan bulan blog ini tidak dikemaskini.
      Bukan sahaja dua blog utama milik sendiri tidak dikemaskini malah komputer yang sering menjadi teman setia juga sudah tidak diusik lagi dalam tempoh itu.
      “Assalamualaikum wbt Tuan Haji… Apo kobar? Lama tak nampak dalam wall. Buat apo sekarang? Sihat tak.” Itu antara soalan yang ditemui di FB yang hanya mula dibuka semalam sedangkan pertanyaan itu dibuat oleh rakan penulis Mohamad Abd Ghani pada 16 September lalu.
      Biasalah. Hari ini untuk mengetahui seseorang itu masih hidup atau sudah meninggalkan alam yang fana ini, semak sahaja status FB atau twitternya.
      Paling mengejutkan blog ini sudah lintang-pukang. Imej penghias cerita sudah tiada lagi. Lebih hodoh, mastheadnya juga hilang. Lantas aku cuba menghubungi Google dan hingga petang ini, jawapan penyelesai masalah masih belum diterima.
      Untuk keselesaan pembaca, buat sementara ini beberapa halaman imej dibuang terus. Bagi pembangun blog yang pernah mengalami masalah ini, diharapkan dapat membantu saya mengatasi masalah ini.
      Hingga ketemu lagi… Maaf dipinta.