Entah berapa kali jambatan dekat rumah Mat Handsome runtuh |
Ada banyak kriteria yang membolehkan Mat
Handsome menjadi pilihan utamaku – dia jiran paling dekat dengan tapak taman
tema mini kami, dia tiada kerja tetap (antara niat projek ini dibuat adalah
untuk memberi peluang orang kampungku bekerja), isterinya adalah teman bermain
isteriku sejak kecil, isterinya Cicak sering membantu Allahyarhamah ibu mentuaku yang
tinggal sendirian, dia pandai bertukang dan berkebun; dan deretan kebolehan lagi.
Aku tahu pandangan popular penduduk kampung
mengenai Mat Handsome. Hampir kesemuanya negatif; malah aku tahu dialah
pemungut durian kebun kami, dialah yang menoreh getah peninggalan mentua dan
lebih teruk; dia antara pengumpul koleksi peralatan kebun/ bertukang
Allahyarham bapa mentuaku selepas meninggal dunia.
“Aku rasa kau tak payah ambil dia bekerja. Susah kau nanti,” begitu kata Kudus, abang iparnya
sendiri.
“Dus! Kalau tak ada orang beri dia kerja,
sampai bila-bilapun tangannya tidak akan pendek,” aku memberi alasan.
“Terpulang pada kaulah,” kata Kudus lagi
sambil mengisi minyak keretanya di stesen berhampiran rumah kami.
Tidak sampai dua minggu bekerja,
kelibat Mat Handsome tidak kelihatan
lagi di tapak projek walhal rumahnya hanya terletak di seberang jalan.
Menyedari chainsaw kami yang baharu dibeli hilang, aku meminta Afza, pekerja
sambilan kami ke rumahnya untuk bertanya.
“Uncle!
Mat Handsome kata dia tak akan pulangkan chainsaw
itu selagi gajinya tidak dibayar,” lapor Afza.
Tanpa berlengah aku segera ke rumahnya.
“Sabri! Macam mana pula kau kata aku tak bayar
gaji. Malah kau dah terlebih ambil kerana selalu advance!”
“Haji dah lupa janji. Kata nak bayar
RM100.00 sehari macam budak Indonesia
tu,” Mat Handsome menjerkah. Dia mula menunjukkan warna sebenarnya.
“Bila pula saya kata RM100.00 sehari. Waktu
aku jumpa kau dulu, aku suruh kau sendiri tetapkan gaji. Kau kata selalunya
orang bayar kau RM60.00 sehari,” aku cuba mengingatkannya sewaktu
`meminangnya’.
“Mana chainsaw
tu. Kami nak pakai,” aku mula bertegas.
“Ada
kat dapur tu. Saya tak akan lepaskan kalau Haji tak bayar baki gaji saya,”
gerak mata Mat Handsome yang cedera sebelah memancarkan kehodohannya.
“Macam nilah Sabri. Aku tak suka gaduh. Ambil
sahaja duit ni tapi ini bukan baki gaji kau. Aku hadiahkan sahaja pada kau.
“Apa yang aku mahu, bercakap benar sahaja.
Betul tak kau minta RM60.00 sehari dulu; bukan RM100.00”
“Betul Ji! Tapi saya selalu sesaklah Ji.”
“Ok! Esok datang kerja macam biasa,”
pintaku.
“Baiklah Ji. Terima kasih banyak Ji! Nasib
baik Haji tolong. Nak beli barang makanpun tak ada Ji,” katanya sambil
menghulur chainsaw yang baharu
berusia seminggu itu.
Sejak hari itu Mat Handsome telah memecat
dirinya.
“You
are fired!,” aku bagai terdengar Mat Handsome menjerit kepada dirinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan