Aku bersama PA Pengarah, Puan Anim sewaktu diberi kepercayaan menjalankan tugas Pengarah IPG Kampus Raja Melewar |
DALAM perjalanan pulang
dari rumah Zamri di belakang kedai Taman Megaway, Sikamat aku ambil kesempatan
untuk singgah seketika di tempat kerja lamaku – Institut Pendidikan Guru Kampus
Raja Melewar (IPGKRM).
Waktu masih awal pagi semalam; sekitar jam
7.20 pagi. Kampus masih belum sibuk dan sebaik-baik sampai di kawasan lapang
garaj; aku segera ditegur pemandu yang terkenal dengan misai tebalnya itu.
Terlihat juga Puan A sedang berbual dengan
rakan sekerjanya.
“Cikgu, apa khabar?,” Puan A menegur mesra.
Puan A pernah menjadi subordinatku sewaktu aku menjadi Ketua Pusat Sumber
institut.
“Maktab bukan macam dahulu lagi. Tidak macam
zaman cikgu dahulu,” Puan A `memberi laporan’ tanpa ditanya.
“Apa yang tak samanya?”
“Tak tahulah cikgu. Pensyarah bukan nak
campur sangat dengan kami lagi. Semacam sahaja sombongnya,” Puan A meneruskan
laporan.
Sedang asyik berbual, kelihatan seorang lagi
pemandu (Encik M) tiba. Aku terlihat dia memandang ke arah kami. Dahinya
kelihatan berkerut.
“Ai yo! Banyak sombong sekarang. Sudah tak
ada kenal. Itu macamlah nasib orang sudah pencen,” seperti biasa aku bercanda
dengan Encik M yang sedang mendekati kami.
“Sorry
cikgu! Sorry! Mata sudah tak ada terang. Cikgu pula pakai songkok Indonesia ,”
Encik M bagai menyata kesalnya sambil jarinya menunjukkan belangkon di
kepalaku.
Kami meneruskan perbualan sambil menyingkap
tabir nostalgia.
Masih ingat benar di benakku, aku `dilamar’
oleh Naib Pengetua, Haji Elias Md Hanafiah sebagai pensyarah Teknologi Pendidikan
dan melapor diri pada 1 Mac 1991.
Pada 9 Disember 2009 pula aku bersara 56
tahun dengan jawatan akhir sebagai Ketua Jabatan Teknologi Pendidikan dan
pernah juga diberi kepercayaan menjalankan tugas Pengarah.
Jam menghampiri angka lapan, pensyarah masih
belum ramai yang tiba.
“Mana dia orang ni. Zaman saya dahulu, lepas
subuhpun saya sudah tiba di pejabat,” satu lagi tabir nostalgia disingkap.
“Maktab bukan macam dulu lagi cikgu,” sekali
lagi Puan A bersuara, Kali ini membuat penegasan dan pengukuhan.
Oleh kerana hasrat untuk bertemu bekas
kakitanganku tidak kesampaian, aku mohon diri lalu segera menuju ke pejabat
untuk bertemu Encik H.
Di lobi seorang pensyarah perempuan sedang
leka `bermanja’ dengan telefon bimbitnya; kemudian segera ke kaunter khidmat
pelanggan sewaktu aku sedang bertanya mengenai Encik H kepada Puan Ananti.
Aku sengaja tidak mahu menegur pensyarah
muda yang berada di sebelahku. Aku jangkakan, tentulah dia bertanya khabar
tetapi lebih hodoh daripada itu, dia segera pula memintas perbualanku dengan
Puan Ananti.
Segera terbayang di mataku, bagaimana Puan F
sewaktu aku bertugas dahulu sering sahaja menegur mesra kerana aku ketika itu
salah seorang ahli Majlis Pengurusan Tertinggi institut. Lebih 15 tahun aku
berada pada posisi top-anagement.
Belayar laju juga ingatan minggu lalu
sewaktu aku diundang pada majlis perasmian Pameran Solo Pak Wan.
Ramai pensyarah yang suam-suam kuku sahaja
sewaktu berinteraksi denganku.
Lebih terkilan Datin K yang mengambil alih
jawatan lamaku juga tidak serancak dahulu ketika berbicara.
Benarkah hipotesis Puan A – pensyarah
semakin sombong? Kalau tesis ini benar; malanglah pelajar institut. Pensyarah
adalah pendidik guru; guru yang diamanahkan untuk mendidik anak bangsa untuk
bertamadun.
Kalau pensyarah gagal membentuk guru yang
diharapkan, akan berlakulah lingkaran syaitan yang amat menakutkan.
Apakah akan jadi pada cucu-cucuku nanti? Aku
terasa sesuatu bergenang di kelopak mataku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan