SEWAKTU asyik berbual
dengan Adam Tahir, DJ Radio Malaysia Negeri Sembilan di Gerai Cendol Kharim di
Kampung Sentosa, kami didekati seorang lelaki berusia sekitar lewat 60-an yang
kelihatan gagah dengan beret ungunya.
Dia melabuhkan punggungnya di kerusi
sebelahku sebaik-baik meletakkan kereta sorong yang turut terpacak bendera
kebangsaan.
“Inilah kereta yang saya dapat beli
setelah kerja bertahun-tahun,” dia bercanda dengan rakan di meja sebelah kami,
diikuti dengan ketawa yang panjang.
Aku segera mempelawanya untuk turut
menikmati cendol yang agak terkenal juga di Seremban itu.
“Boleh! Biasa sahaja. Jangan campur sos
dan belacan.” Dia bercanda denganku pula.
Sewaktu dia berpaling, Adam sempat
menunjukkan jari yang dipusingkan di kepalanya. Seperti biasa, aku tidak segera
bersetuju dengan rumusan mudah Adam itu.
Malah aku kagum dengan lelaki yang
kelihatan segak dengan pakaian ala tentera itu walaupun sebahagian pakaiannya
sudah lusuh kecuali beret yang kelihatan dipelihara rapi.
“Dulu sewaktu bekerja dengan kerajaan kita
betul-betul berjuang untuk negara. Tak ada nak fikir lain. Nak cari duit lebih
waktu dan lepas kerja ke! Nak kaya cepat ke? Nak dapat Datuk ke!” Dia terus
ketawa terkekeh-kekeh.
Tanpa mempedulikan kami, dia terus berjenaka
dengan rakan di sebelah meja yang mungkin bukan kenalannya juga lalu kami
meneruskan perbincangan.
Sewaktu hendak beredar, lelaki itu segera
bertanya, “Dah bayar ke?”
Aku mengangguk lalu dia mengucapkan syukur
yang panjang.
“Terima kasih banyaklah,” katanya selamba.
“Apalah ada dengan duit RM1.50 sedangkan
Pakcik mempertaruhkan nyawa bagi membolehkan kami hidup tanpa takut,” jawabku
pula.
Dengan mata yang bersinar yang kemudiannya
digenangi air jernih, dia terus ketawa riang tetapi tindakannya itu menyebabkan
aku terharu pula.
“Bahagianya dia!,” cetus hatiku.
Dan semalam, sewaktu pulang dari rumah
rakanku Mohd Zulkafli Maulud di Taman Rasa Sayang, aku terlihat lelaki itu
dengan pakaian dan beret yang sama di pondok menunggu bas di Kampung Sentosa.
Aku melihatnya sedang berkata-kata dengan
dirinya dan pada wajahnya terpancar syahdu dan bahagia.
Gelak panjangnya jelas kedengaran sewaktu
melintasinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan