SIFAT semula
jadiku yang agak pemalu bertandang juga sewaktu aku mula-mula menghantar hasil
tanamanku kepada peniaga Pasar Tani di Taman Paroi Jaya.
“Lado api RM20.00 sekilo. Sini ada dua
kilo. Terung telunjuk tiga kilo kali RM3.00. Jadi semuanya RM49.00. Tak apalah
ambillah RM50.00 ini. Halal ya?,” kata Rashid dan aku segera berlalu.
Kalau ikutkan sifir ekonomi, pendapatan
itu memang tidak berbaloi jika diambil kira masa yang digunakan untuk memetik
lada api yang perlu mengambil masa kira-kira dua jam itu.
“Maknanya harga buruh memetik itu mungkin
bernilai RM4.00 sejam sahaja sedangkan sewaktu menjadi pensyarah dahulu, paling
minimum harga khidmat syarahanku (untuk urusan rasmi) ialah RM150.00 bagi
penjawat DG48.
Bagaimanapun aku tetap bersyukur.
Setidak-tidaknya dengan berkebun, tubuh seorang pesaraku semakin mantap.
Sebagai manusia yang diberi nikmat
berfikir oleh Allah Rabbul-Jalil, aku terus-terusan juga berfikir bagaimana
cara petani boleh mendapat pulangan yang lebih baik melalui titik-peluhnya.
“Ji! Ada
kawan saya yang kerja di UPM dapat RM2,000 sebulan dengan tanam bunga kantan di
bawah laluan pencawang elektrik di Nilai,” suatu hari jiranku Rahman Daol, bekas pengurus Agro Bank bercerita.
“Percaya tak Ji? Bunga kantan dia tolak
RM1.50 sekuntum. Raya dulu Aeon dan Giant jual RM5.00 sekuntum. Ramai yang nak
buat laksa,” ceritanya ceria.
“Kalau nak tanam pisang, banyak yang
berpenyakit sekarang. Kalau nak tanam sayur, kenam siram har-hari. Tanam bunga
kantan, tunggu petik hasil sahaja,” Rahman terus optimis.
Makan akal dengan congakan itu, aku
singgah di Segascape milik rakan seumrahku dahulu.
“O.Klah bang. Berapa banyak abang nak?
Saya boleh kelapakan. RM2.00 satu polibeg,” katanya.
Tempahan itu bagaimanapun dibatalkan
setelah mengetahui sepupuku, Idris Ahmad banyak menanamnya tapi tidak pernah
dipetik untuk dijual kerana disangkanya tidak laku.
Sambil mengambil perdunya untuk dibuat
benih, aku meyakinkan Id yang aku sedia menjual bunga kantannya sewaktu menjual
lada api dan terung telunjukku.
“Buat permulaan, aku tak ambil untung. Di
sini ada 20 kuntum kali RM1.50, kau akan dapat RM30.00.”
Aku lihat Id senyum ceria.
Sewaktu menghantar hasil tanamanku kepada
Rashid di Pasar Tani Ampangan kelmarin, aku lihat ramai peniaga yang menjual
bunga kantan; tidak seperti selalu kerana tidak ada bekalan.
“Selain lado api dan terung, bunga kantan
ini saya bayar RM10.00. Sekarang musim bunga kantanlah bang,” katanya
bersahaja.
Aku segera berlalu sambil berfikir
bagaimana untuk meyakinkan Id yang sejak dua tiga hari ini membersihkan
rumpun-rumpun kantannya yang terbiar selama ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan