Antara kerja kursus di MPIK: Kami cetak sendiri foto yang diambil, di Bilik Gelap, bersebelahan bilik S. Karthigesu dibunuh. |
Perasan benar kami dia tidak menguasai
bidang itu tapi untuk menutup kelemahannya, dia sering menggunakan jargon
bahasa Inggeris dan mengutip bahan dari buku yang diterbitkan di Amerika
(mungkin buku yang terpaksa dibeli untuk menyiapkan tesis ijazah pertamanya).
Kami juga perasan pensyarah ini menyiapkan
bahan pengajarannya berasaskan buku semata-mata sedangkan kami pelajarnya
pengguna tegar Teknologi Pendidikan sewaktu bertugas di sekolah.
(Kemudiannya sewaktu di universiti, aku juga
temui pensyarah yang begini – membawa timbunan buku ke bilik kuliah; petik dua
ayat dari buku ini dan dua tiga ayat dari buku lain untuk menunjukkan
berlakunya rujukan silang.)
“Guana orang macam ni boleh luluh
universiti,” Wan Abdullah peserta dari Terengganu kedengaran suatu hari membebel
sewaktu kami mengumpat pensyarah itu di belakangnya.
Dan sebagaimana biasa, pelajar kolej atau
universiti memang tidak berani cakap depan-depan mengenai prestasi pensyarahnya
– siapa nak cari penyakit kerana markahnya bulat-bulat terletak pada pen (hari
ini di komputer) pensyarahnya.
Maka berlakulah pelbagai cara mudah untuk
menarik perhatian pensyarahnya – rajin bertanya ke biliknya, lemparkan senyuman
paling manis (lebih-lebih kalau perempuan) dan
paling koman bila balik dari kampung titipkan pensyarah kita dengan
keropok. Tentunya berbeza markah di antara keropok kering dengan keropok lekor.
Apa yang dapat kami kesan lagi, banyak cara
pensyarah menutup kelemahan diri; untuk mengaku tidak bersedia jauh sekali –
“Aku ada sarjana, aku ada PhD dan dari luar negara pula.”
“Pensyarah pandai bersyarah sahaja. Buat tak
tentu lagi!,” Wan Abdullah memuntahkan tembakannya lagi.
Kah! Kah! Kah! Ledakan ketawa kedengaran
sewaktu aku membuka rahsia bahawa hampir sebahagian besar bahan kuliah
Penulisan Skrip Untuk Bahan Audio-Video seorang pensyarah lain yang tinggal berdekatan,
aku yang beri.
Pagi itu bilik kuliah yang hanya terletak
bersebelahan sebuah sekolah berasrama penuh itu menjadi saksi; pensyarah juga perlu
diberitahu mengenai prestasinya oleh pelajar untuk membaiki diri. Kalau tidak,
perasan hebat akan terus-terusan hingga pencen. Dan paling ruginya negara.
Sewaktu pensyarah itu memberi komennya
mengenai kerja kursus kami yang dikatakan di bawah par, kami berpandangan
sesama sendiri.
Wan Abdullah sudah terbang sabarnya.
Bagaikan bertempik dia menggunakan peluru tembaga (biasanya orang yang menuntut
ilmu kebal tidak mati kalau ditembak dengan peluru biasa) dan tanpa perlu
membedek juga, picu pistolnya dilepaskan.
“Guana nak boleh hasil baik. Beri seposeng,
minta seria!”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan