Sewaktu bekerja diusung dan disanjung. Lepas bersara dia tidak berharga lagi? |
AKU memang mengharapkan reaksi sewaktu menulis catatan pengalaman mengunjungi
semula tempat kerja lamaku – IPG Kampus Raja Melewar melalui blog ini semalam.
Aku hanya sempat menjenguk FB sekitar jam 9.50
malam iaitu sebentar tadi (seperti biasa aku berada di kampung sejak pagi dan
hari ini pulang waktu Maghrib) dan terlihat reaksi sahabat lamaku.
“Jangan copek
melatah bang. Satu dua pandangan itu, bukan pengukurnya terus kita buat
natijah. Kita mesti yakin dgn kebolehan rakan pensyarah yg ada. Wallahualam.”
Dan aku segera memberi reaksi tulisannya pula.
“Bukan melatah. Banyak sangat dilihat dan didengar mengenai
keupayaan guru muda di sekolah. Dalam tempoh 10 tahun terakhir saya berpeluang
menjadi AJK PIBG di dua buah sekolah rendah ternama di Seremban. Setelah dua
tahun memegang jawatan Naib Yang DiPertua (sekolah perempuan) dan tiga tahun di
sekolah berhampiran rumah; saya berani membuat inferen; mereka bukan macam
zaman kita dahulu. Pensyarah pula ramai yang `Play Safe' - untuk cover kelemahan
diri dan mengejar angka dan huruf 48, 52 dan C.”
Antara rumusan yang boleh aku buat mengenai guru hari ini
adalah seperti berikut; tak mahu bersusah, penakut, tidak ada sikap urgensi, terima
apa sahaja arahan Guru Besar walaupun tahu ia tak berapa betul, main selamat,
bersikap Sang Maha Tahu tapi sebenarnya tak berapa tahu.
Selain pengalaman langsung sebagai AJK PIBG, aku juga
mendapat `siaran langsung’ fakta daripada dua sumber yang tidak akan berbohong.
Pertamanya daripada anak yang masih bersekolah rendah dan isteriku pula
diamanahkan dalam bidang Penaziran dan Jaminan Kualiti.
Bukanlah mereka suka sangat membuka cerita benar tapi
kadang-kadang terkeluar juga.
Bagi Guru Besar sekolah rendah pula sikap Sang Maha Tahunya
berdarjah tinggi. Di kedua-dua sekolah yang pernah aku menganggotai PIBGnya;
cukup ketara.
Tahun lalu aku minta tidak dicalonkan lagi sebagai AJK
dalam mesyuarat akhir. Secara terus-terang aku katakan kehadiranku tidak
membawa apa-apa makna kerana hampir segala-galanya ditentukan oleh Guru Besar
dan kami hanya `diminta mengangguk’ untuk pemanis minit mesyuarat.
Sabarku hilang apabila Guru Besar ini tidak berani
mengambil tindakan terhadap penjual
makanan ringan di kawasan sekolah sewaktu kubawa dalam mesyuarat.
“Cakap terang-terang Ji. Saya tak berani. Saya takut kena
busung nanti. Saya nak bersara dua tahun lagi.”
Moto sekolah ini ialah `Sasaranku Juara.’ Tertanya juga di
hati, murid diminta jadi juara tapi Guru Besar Cemerlangnya pengecut. Hipokrit!
Lebih baik aku letak jawatan.
Mengenai dakwaan aku cepat melatah, ini jawapanku secara
spesifik. Ini bukan pasal orang pencen itu mudah kecil hati atau selalu
dijadikan bahan ketawa sebagai `gila talak’.
Memang tak patut. Waktu sama-sama bekerja cukup mesra.
Mesra hilang, tak sampai seminggu lepas bersara.
Masa bekerja rajin bertelefon. Dan nombor telefon kawan
hilang selepas dia pencen.
Isnin lalu lebih menyakitkan hati. Staf di tempat lama
kerjaku bagai hilang sikap reaktifnya. Lama sudah aku lihat pentas dan kedai
fotostat hadiah persaraanku tidak digunakan.
Lama sudah tali penghalang dipasang tanda
tidak membenarkan pelajar berada di pentas kerana dikatakan`uzur’ dan kedai
fotostat kelihatan mengganggu kerana tidak beroperasi lagi.
Benda itu mudah sahaja. Kalau tidak boleh atau tidak mahu
digunakan lagi; buang sahaja.
Kalau itupun tiada masa, izinkan orang yang membuatnya, membukanya
semula. Bagaimana?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan