Isnin, 23 Januari 2017

Ikan Haruan Hantu

Inilah saiz haruan yang aku pancing
SEPERTI selalunya aku terbangun tidur antara jam 3.00 hingga 4.00 pagi setiap hari. Biasanya aku manfaatkan waktu awal menunaikan tuntutan Allah - apa yang terhutang diqadakan, melakukan solat sunat dan tentunya berzikir.
Entah macam mana tiga malam lalu aku terpandang sesuatu benda hitam di bawah papan kenyataan syarikat sewaktu membasuh cawan untuk sarapan awal pagi - oat panas.
Aku dekati objek itu dan segera terperanjat kerana ia seekor ikan haruan.
"Sudah! Macam mana ikan haruan ini boleh berada di darat?"
Aku dekati ikan itu dan terlihat matanya merenung tajam mataku.
"Sudah!" Orang tua-tua pernah aku dengar berkata, ikan haruan ini berhantu.
Segera pula terlintas dalam fikiran cerita Gomok, Syuk, Rossa dan beberapa yang lain yang mengatakan tempat ini memang penuh cerita seram.
"Haji tak takut ke? Ramai yang dah nampak."
"Bukan nak cakap besarlah. Sekitar jam 3.00 pagi hingga subuh saya suka berjalan-jalan ambil angin segar di sekitar bilik saya.
"Malah sejak dua tiga hari ni saya turut pergi ke luar pagar melihat anak pisang yang saya tanam dan kawasan yang sudah saya bersihkan," aku pula menjawab sambil makan rebus ubi berlada yang dibawa oleh staf baharu kami.
Aku bukanlah seorang yang penakut. Ikan haruan itu segera aku kuis dengan kaki. Ia tidak bertindak-balas. Rupanya ikan itu sudah mati.
Keesokan paginya aku bercerita dengan Gomok, budak Kelantan yang bekerja sebagai pemandu lori yang sudah hilang kecek Kelatenya.
"Mok! Malam tadi aku ada jumpa ikan haruan dekat papan kenyataan."
"Yo ko Ji! Patutlah ikan se hilang daripada bokeh plastik yang se lotak dokek paip ambil air sembahyang tu," katanya tersengih.
"Macam mano dia pogi situ Ji? Se tutup dengan jubin. Se bukak sikit yo supayo dio dapek bernapeh."
Sudah!
Cerita ikan haruan berhantu terdengar lagi.
Gomok budak Kelantan yang tak pandai kecek Kelate lagi 
Besoknya aku lihat Gomok memancing di anak air yang sudah diluruskan oleh tauke Jelita Orchids, di sebelah luar pagar kami.
Gomok kemudiannya meninggalkan pancing kerana dipanggil Rossa untuk melakukan sesuatu.
Aku yang sedang menarah rumput di tempat berhampiran segera mengambil alih tempatnya.
Aku memang gila memancing sewaktu kecil-kecil dahulu - pancing di sungai ya. Lebih khusus di sungai Kampung Pelegong yang berakhir di Jeram Tebrau yang terkenal dengan ikan yang mengeluarkan susu di mulutnya.
Sebaik-baik aku menukar cacing baharu yang ditinggalkan Gomok, aku melontarkan tali tangsi dengan joran plastik Gomok.
Tak sampai lima minit pelampung tenggelam timbul.
"Ah! Masih hebat aku. Tangan aku masih hanyir," Id aku berkata yang kemudianya naik ke tahap Ego tapi taklah sampai Super Ego.
"Rahsia gian memancing ni apabila berlaku proses tarik-menarik antara kita dengan ikan," itu yang pernah aku baca. Sebenarnya itu kata Ernest Hemingway dalam novel terkenalnya `Old Man and The Sea', novel milik Pak Kitam yang aku baca sewaktu aku bersekolah rendah dahulu.
Bagaimanapun ia tidak berlaku. Aku angkat joran dan haruan bodoh itu mengikut sahaja.
"Ah! Tak ada thrill." - dah mula naik Super Egoku.
Aku biarkan ikan haruan itu menggeletek di atas rumput dan segera ke paip wuduk lalu kuambil bekas plastik yang digunakan Gomok sebelum ini.
Aku lihat ia masih bertutup dengan jubin putih, jubin untuk dinding tempat wuduk yang tidak disiapkan oleh Amat budak Acheh.
Aku mengisi seperenam air. Kalau hampir penuh tentu haruan senang melompat nanti.
Setelah memasukkan haruan itu ke dalam bekas plastik aku menutupnya dengan dua beroti pendek.
Aku terus memancing. Tak jadi aku menarah lagi.
'Setelah lebih 15 minit aku bosan. Cangkul dicapai lagi.
Awal besok paginya iaitu pada kira-kira jam 6.45 pagi, dengan masih berkain sembahyang aku segera menjenguk pancing yang ditinggalkan semalam. Harap-harap dapatlah seekor lagi untuk lauk Gomok dan kawan-kawannya yang tinggal di tingkat atas bengkel.
Ershad dan Babu memang tak makan ikan. Mereka cukup dengan empat keping capati dengan dal sahaja. Aku memang selalu makan dengan mereka sambil duduk di atas tilam yang sudah lama bertukar warna.
"Haji! Makan.", begitulah biasanya - sama ada Ershad atau Babu yang memanggilku dari jauh untuk makan.
Kecewa melihat pelampung masih terapung aku segera menjenguk haruan yang ditinggalkan semalam.
Ikan haruan itu juga tiada dalam bekasnya.

Along Ada Asyikkan Seseorang

EMAK adalah segala-galanya. Tidak seperti yang lain, emak tidak ada galang gantinya.
Sewaktu membersihkan kawasan belakang rumah pagi tadi, cangkul di tangan segera dilontarkan sebaik-baik menerima panggilan daripada Wahida, adik bongsuku.
"Long! Emak nak cakap."
Pendek sahaja mukadimahnya kali ini lalu suara emak pula yang kedengaran.
Dalam batuk-batuk, emak tidak seperti selalu.
Aku dan emak
"Zul! Emak demam. Emak batuk. Sudah berapa hari macam inilah," emak bagai anak kecil yang manja mengadu kepada aku, anak sulung dan sesatunya anak lelakinya.
Setelah berbasa-basi, aku terus memberitahunya, "Awok balik sekarang."
Setelah menukar pakaian, aku segera mencapai kopiah putih yang kubeli di gerai hadapan masjid Quiapo, Manila lalu memandu laju ke Kampung Pelegong, Labu.
Sesampai di Bandar Ainsdale, hati aku berasa lain macam. Kebelakangan ini emak sering menyebut mengenai mati. Malah keadaan semakin buruk apabila suatu hari Wahida mengadu.
"Along tahu tak? Emak masih cemburukan Mariamah."
"Bukankah Mariamah sudah meninggal dunia?"
"Itulah sebabnya emak cemburu. Dia dikebumikan di sebelah kubur abah."
Kah! Kah! Kah! Bagai mahu tersembur air liur gelakku.
Aku lantas mencapai Lenovoku.
"Da! Adik-beradik lain kau dah beritahu belum?"
"Beritahu pasal apa?" Wahida pula bertanya.
"Tak pernah emak begini. Mana pernah dia mengadu sakit, mengadu susah. Bukankah emak selalu menyimpan segala-galanya supaya kita semua gembira?"
Beberapa minit kemudian aku sudah terpacul di depan pintu rumah yang aku bina untuk emak dan abah.
"Assalamualaikum."
Emak kali ini bagai berlari ke arahku lalu kupeluk dan kucium.
"Sebenarnya, emak rindukan Along," Wahida segera memberi respons sebaik-baik melihat kami berpelukan.
`Confirm.' Emak bagai tersenyum malu lalu batuknya pun hilang.
Seperti selalu kami berbual secara terbuka tanpa rahsia.
"Along tahu tak, emak ada rasa sesuatu? Itu yang dirisaukannya. Lebih-lebih lagi Along lama tak balik."
"Sesuatu apa?," aku pula yang bertanya kepada Wahida.
"Emak cakap Along ada asyikkan seseorang. Perempuanlah maksudnya itu."
Aku terdiam seketika. Nak bohong sunat ke tidak macam ketika dia tanya pasal aku peluk Marlyn dan Daisy depan KLCC (bohong mana ada sunat da!).
"Betul mak. Tapi semuanya telah berakhir. Dia tak hendak awok," aku berterus-terang.
"Emak kenal perempuan tu. Emak pernah jumpa dia. Emak kata dia baik dan cantik."
Aaaaaah! Sudah lebih Wahida ini, kata hatiku.
"Beginilah emak. Kalau awok terpeluk pelakon Filipina tu dulu awok minta maaflah. Masa emak tanya waktu kahwin Rashid dulu awok kata awok mendepang tangan saja.
Kalau betul-betul terpeluk tanpa disedari, awok minta maaf kerana berbohong. Emakpun tahu awok mana pernah berbohong.
Aku terlihat Wahida tersengih.


Rabu, 11 Januari 2017

Tak Mahal Geng! Cuma RM27 Kita Ada Lesen Bodohkan Orang

Z. Lokman bersama Mr. Hon dan Tajudin di Kemayan Square
BUKAN sehari dua aku kenal pengarah Z. Lokman. Ia sudah hampir dua tahun. Walaupun kami berasal dari mukim yang sama iaitu Labu, aku berasal dari Kampung Pelegong tetapi dia orang tua Kampung Jerengkang - jaraknya kira-kira  10 Kilometer kalau mengikut jalan lama Seremban-Nilai.
Perkenalan kami bermula sewaktu aku membangun Taman Tema Sang Pencerita, taman tema mini yang membabitkan kawasan kira-kira sembilan ekar - lima ekar daripadanya tanah milik isteri, satu ekar dalam proses pembelian (dah buat bayaran muka RM9,000 kepada `pemiliknya' Maimunah Daud, `kakak tiri' isteri),  dua ekar dipajak daripada Puan Rohani Mohd Isa dan kira-kira satu ekar dalam proses pajakan.
Secara tepatnya kesemua tanah ini terletak bersebelahan dan kedudukannya cukup strategik iaitu di Batu 7, Jalan Labu (betul-betul bersetentang dengan Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu - SMAP). Aku telah membuat perkiraan logistik selaras dengan pembangunan bandar baharu - Bandar Ainsdale milik Sime Darby yang hanya terletak kira-kira lima Kilometer.
Bagai cerita Hindustan,  pagi itu hujan lebat dan  Z. Lokman yang basah kuyup singgah berteduh dalam perjalanan bermotosikal ke Kemayan Square, Seremban - pejabat rumah produksi Laksana Talian Sdn Bhd - milik Mr.Hon.
Pada pagi yang basah itulah kedua-dua Orang Tua Labu itu kali pertama bertemu secara `in-person' dan cinta bersemi.
Oleh kerana minat pada benda yang sama - filem dan yang semusim dengannya - cinta semakin terikat erat yang membolehkan kedua-duanya tidur bersama di banglo tua milik mentuaku - Mr. Alfred Flower @ Mohamed Farid.
Pelbagai program aku rancang untuk pengarah yang telah banyak menghasilkan filem - daripada segi jumlah mengalahkan lagenda Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Akulah yang memperkenalkan Z. Lokman dengan Nazarudin Hashim, pemilik Swamatra Sdn Bhd yang kemudiannya menghasilkan filem pertamanya `Mendidih Bro'.
"Kau memang bangang! Kau memang bodoh!" Semudah itu Z. Lokman melontar ayat kepadaku setelah lebih sebulan proses membangun skrip `Mendidih Bro' (proses membangun skrip dibuat secara bersama dengan Naza kira-kira dua bulan di Studio Swamatra, Mantin.)
Puncanya bukanlah besar sangat. Z. Lokman waktu itu sedang menyudahkan filem pertamanya setelah `menyepi' sejak 2010 mengarah filem tempatan.
`Malaon' terbitan sebuah lagi rumah produksi milik anak Negeri Sembilan, Kirawang Sdn Bhd.
"Kepantangan aku bila dah kata bersedia masuk balik. Kalau belum bersedia katalah belum bersedia!," jerkahnya bagai orang tak siuman yang naik marah secara tiba-tiba di pintu keluar arah bangunan studio Swamatra yang bernilai RM3 juta itu.
Z. Lokman bersama Sang Pencerita dalam satu majlis anjuran TLDM di Melaka
"Saya terlupa bateri bang!," kataku menyejukkannya sambil menyandang Panasonic Lumix GH4 yang baharu kami beli di Singapura.
Sebelum itu adalah beberapa peristiwa kecil yang menyebabkan kami berkelahi secara adik-beradik - sekejap elok, sekejap tak baik. Puncanya kerana perkara-perkara kecil juga. Z. Lokman suka sangat ganggu aku yang sedang berfikir atau bekerja bagi mengatasi masalah `filem kegemarannya' hilang di skrin komputer.
"Saya tak hendak dapat dosa bersubahat bang. Sudahlah komputer saya. Saya yang ajar gunanya. Tak cukup dengan itu saya juga sering dikejutkan sedang tidur kerana nak tengok cerita .... tu."
Aku perasan, Z. Lokman mula naik tochang setelah tiga kali membeli rokokku yang aku jumlahkan cuma bernilai RM27.00
"Aaaaah!" Z. Lokman merengus sambil meminta aku segera membawa Toyota RAV4 aku mendekatinya.
nota: 1. `Malaon' tidak ada kena mengena dengan Swamatra Sdn Bhd yang aku COOnya. 2. Kamera baharu kami beli Z. Lokman yang rasmikan dan kemudahan yang digunakan juga tidak dikenakan sebarang bayaran 3. Toyota RAV 4 tidak disewa dan tidak diisi minyak olehnya 5. Aku bukan `driver' berbayar Z. Lokman. 6. Aku disuruh jadi jurukamera bagi mengisi kekurangan 35 minit filem `Malaon' tanpa satu sen berbayar dan bla... bla... bla...
Jadi di mana letak BODOH aku? Kalau nak kata BODOH juga aku boleh terima jugalah kerana sedia menjadi KULI BATAKnya.

Selasa, 10 Januari 2017

Namaku Sang Bin Pencerita (Edisi 2017)

Namaku Sang. Bapaku Pencerita. Begitulah seperti yang diminta Mr. Google ketika mendaftar akaun Facebook ini; berasaskan akaun Mr. GMail, miliknya.
     Kenapa perlu bernama baharu sedangkan nama lama sudah diberi sejak hampir 60 tahun lalu? Itu pemberian emak tahu? Nama itu idea abah tahu? Susah payah Datuk Hassan mendaftarkan nama itu di Rumah Pasung Batu 8 tahu? Tak sedar diri! Tak sedar dek untung! Biarkan! Biarkan!
     Aku sudah tidak mahu lagi dikenali dengan nama lama itu. Sudahlah salah dieja, Zolkpli (tiada bunyi suku kata), jantinaku dalam surat kelahiran turut tidak menjawab soalan – Jantina: Lelaki/ Perempuan – tapi dicatat JANTAN (tak percaya? – lihat buktinya di sini: http://www.youtube.com/watch?v=s7D7GwAKYew&feature=c4-overview&list=UUpny9hZFFSFueFSGVdvCD5Q
    Nama adalah jenama atau `brand’ kata orang bisnes (orang bisnes juga cipta mitos baharu “Hari ini kita tidak jual barang. Hari ini kita jual `brand’ atau jenama).
     Kalau begitu bagaimana mahu jual nama ikut jenama lama? Jenama lama itu bukan sahaja tidak komersial malah ia telah rosak. Rosak teruk.
     Nama itu mengaitkan cerita `dia tu bankrap! Dia tu pernah disiasat BPR! Dia tu rasuah kerana itulah dia mampu punya tujuh kereta; dua Mercedes pula.”
     Nama itu jugalah yang meminta dirinya melepaskan jawatan Ketua Dua Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) “Untuk mengelakkan persatuan ini dibatalkan pendaftarannya kerana tuan seorang muflis, mesyuarat memutuskan supaya tuan meletakkan jawatan. Sebagai tanda penghargaan, terimalah cek bernilai RM500 ini.”
     Benar! Zolkpli bin Abu bertaraf muflis hampir enam tahun kerana menjadi penjamin bekas bosnya Bustamam Ahmad yang membeli dua kereta serentak tetapi tidak menjelaskan ansuran bulanannya.
     Tidak cukup dengan itu, rumah yang dibeli melalui pinjaman kerajaan `hilang’ apabila sebahagian duit jualan terpaksa `menutup gelaran Si Bankrap’ dan sudah tidak dapat bersama isteri dan anak-anak lagi dalam enam `oversea trip' tahunan keluarga tajaan Rohani Mohamed Sdn Bhd.
     Nama itu membawa konotasi Pegawai Kebajikan Masyarakat (setiap kali berniaga, orang hendak percuma). Setiap kali melakukan perkongsian perniagaan berlaku `permusuhan’. Rakan sudah tidak dapat membezakan lagi yang bercakap itu Zulkifli Abu sebagai dirinya atau rakan kongsinya.
     Sewaktu bekerja dahulu, sewaktu Zulkifli Abu berani menegur bosnya (untuk menunaikan amanah jawatannya) manusia bernama Zulkifli Abu itu dikatakan `kurang ajar’ walhal yang bercakap itu ialah Ketua Jabatan Teknologi Pendidikan (jawatan yang dipinjamkan selagi masih menjadi penjawat awam).
     Nama itu juga telah mencipta pelbagai `permusuhan’ sewaktu menawarkan bantuan ketika rakan tunduk merayu. Sewaktu kata sepakat dicari, semuanya indah di mulut dan di kertas. Sejak dahulu `school of thought’ mereka mengatakan `berniaga itu semuanya untung. Jadi untung perlu dikongsi bersama. Bila rugi, pembawa idea kena tanggung sendiri.”
     Sudahlah bagai nak mampus mengusahakan syarikat milik bersama sendirian, bila rugi `kau pulangkan balik modal aku!’ Untuk `memuaskan’ mereka duit graduiti hasil kerja 35 tahun, bertukar tangan.
     Oleh kerana tertancap kuatnya logo Jabatan Kebajikan Masyarakat di dahi jenama lama itu juga, teman rapat yang manis mulutnya sewaktu meminta bantuan; Ghazali Ngah Azia sudah tidak pandai lagi menjawab telefon; sudah tidak tahu lagi mengira tempoh dua minggu seperti dijanjikan untuk melunaskan hutangnya.
     Lebih buruk daripada itu, Mazemie Maz  yang sering memuji kebaikan jenama lama itu sudah `tidak berasa berdosa’ lagi menjual buku yang dibiayai percetakannya yang nilainya sekitar RM50,000 kepada tauke `surat khabar lama’ kerana dianggap mencemarkan ruang tempat letak keretanya yang diubahsuai dan dimegahkan dalam akaun Facebooknya.
     Dalam pada itu pandai pula dia berfalsampah itu, ini bagai sewaktu mengendalikan majalah yang memang gila-gila itu.
     Zulkafli Sarbini yang dipercayai tanpa tanda tangan sewaktu membeli rumahnya untuk dijadikan Studio Sang Pencerita juga `hilang’ kerana janjinya untuk membayar sebahagian wang diberikan kepada bank, tidak dibuat demikian. Maka terlelonglah studio itu setelah hampir RM100,00 dibelanjakan.
     Sang Pencerita tumpas dalam lelongan awam kepada Dato' Mohd Noh Rajab yang dikenali (mantan Ahli Parlimen Tampin) yang mampu menjadikan bekas studio itu rumah ke-31nya dengan membida RM258,000 sedangkan harga bukanya cuma RM148,000.
     “Nantilah saya siapkan kerja-kerja ubahsuai dahulu. Nanti Ese bayarlah sebahagian daripada duit yang you belanjakan untuk kerja ubahsuai dahulu.”
     Apabila dihubungi sewaktu kerja telah siap, Dato' Mohd Noh menjawab telefon “Ikut mahkamah, you tak ada hak langsung pasal rumah tu. You jangan telefon saya lagi.”
     Aaaah! Bencinya aku dengan jenama lama aku itu.
     “Haji Zainal (Zainal Buang Hussein) tolong buat karikatur aku. Nama aku kini ialah Sang Pencerita. Tak payahlah pakai `bin’! Tak komersial…”

Kuliah Pertama Asas Kewartawanan (ZT2213)

Dato' Ishak Ismail
"Anjing menggigit orang BUKAN BERITA tapi ORANG MENGGIGIT ANJING itulah NEWS"
Ueeeeek! Carilah pernyataan lain. Dah lapuk tu.
Tajuk pertama hari ini ialah mengenai SENSITIVITI PEMBACA
Contoh perbualan antara Sang Pencerita dengan Dato' Ishak Ismail, ADUN Lenggeng di Restoran Rabena, Taman Pinggiran Golf beberpa hari lalu ini bukan sekadar boleh memahami APA ITU BERITA? tetapi juga SENSITIVITI PEMBACA khususnya TOKOH yang disebutkan Dato' Ishak ini.
Sang Pencerita: Dato'! Boleh jawab tiga soalan `lado api' ini?
Dato' Ishak: Boleh. Tak ada masalah.
Sang Pencerita: Orang kata Najib tidak dapat menjiwai kesengsaraan rakyat kerana dia lahir dan membesar dalam dulang emas. Bagaimana Dato'?
Dato' Ishak: Saya dapat merasakannya. Saya dibesarkan oleh emak saya, seorang JANDA. Kerana itulah saya sentiasa membela JANDA. Najib kata kalau adalah Kementerian Janda, sayalah Menterinya.
Sang Pencerita: Najib atau Mahathir?
Dato' Ishak: Tentulah Najib!
Sang Pencerita: Soalan akhir tapi PALING PODEH. Dua hari lalu ada orang kata kepada saya, Tok Mat orang Mahathir. Betul atau salah?
Dato' Ishak: Betul.
nota: Tidakkah setiap hari kita mengata dan mengutuk orang? Semua PM Najib buat semua tak betul walhal TAHU sebahagiannya BETUL. Ramai yang kata SEMUA YANG DIBUAT Mahathir BETUL sedangkan pada masa yang sama RAMAI JUGA YANG TAHU ada juga yang TIDAK BETUL.
Tidak sensitifkah kita apabila secara sedar dengan menjegil mata, kita bukan sahaja mengutuk tetapi MENGHINA ORANG DAN PENDAPATNYA. Orang itu berhutang dengan kita ke sehingga ada LESEN MEMARAHINYA dan DIHINA?


`Paisa' Lagi

Aku bergegas pulang untuk memenuhi janjitemu jam 3.30 petang di Angsana Mall, Ampangan petang semalam. Ketika di selekoh tajam Jalan Kuala Lumpur-Seremban, Aziz menelefon lagi, "Bang! Di mana? Tiga orang dah ada di sini."

Pintu Volvo biru hitam pada sebelah pemandu yang sering bergoyang dan sesekali terbuka melewatkan enam minit janji.
"Ah! Di mana mereka. Orkid Kopitiam tempat pertemuan yang dinyatakan ternyata sudah tidak beroperasi lagi."
Aku lantas menelefon Aziz dan segera terlihat kelibatnya di bahagiian pintu masuk Giant Supermarket.
"Bang! Sini. Nampak tak se!"
Aku segera mendapatkannya lalu diperkenalkan dengan tiga broker tanah yang lain - dua lelaki dan seorang wanita yang kelihatan bagai tauke besar dengan telefon jenama terbarunya. Kedua-dua lelaki itu pula aku kenal - mereka rafik jamaahku di Masjid Kariah Paroi Jaya.
Tanpa dapat bermukadimah dan menyatakan maaf kerana lewat enam minit, aku segera diterjah soalan.
"Mana tuan tanahnya - Encik Yusof," Sang Rafik Masjidku menyergah.
"Dia telah serahkan segala-galanya kepada saya. Dia hanya mahu menerima cek sahaja."
"Mana boleh. Kau tak laku. Peguam dan mahkamah mahu penjual sebenar," jiran setaman yang sering melempar senyum sewaktu menjejak tangga masjid aku rasakan bagai kali pertama bertemu.
"Saya pemegang `option'nya."
"Tak laku," katanya angkuh.
"Saya ada surat peguam."
"Kita orang nak berurusan terus dengan tuan tanah sahaja ," Sang Jiranku menunjuk garang lagi.
"Boleh saya tahu, tuan-tuan ini semua pembeli ke?
Bagai terpinga-pinga, hanya seorang daripada mereka menjawab `tidak'. Sang Broker Wanita masih bermain telefonnya.
"Yang nak beli ni adik saya. Dia nak buat Pusat Tahfiz,"
"Boleh tuan tunjukkan surat sebagai bukti," aku pula ber Sun Tsu.
"Nak surat apa? Dia adik saya," Sang Rafik Masjidku yang seorang lagi menunjukkan bakat Peguam Buruknya.
"Bila sebut saya ada `option lettter' kata tak laku. "Bila saya tunjukkan surat `lawyer' tak laku. Don't wasting my time," lalu aku mengajak Aziz meninggalkan majlis.
"Ziz! Aku ada duit nak belanja kau minum."
Ketiga-tiga mereka terpinga-pinga.
"Kau jangan risau Ziz! Dia orang akan telefon kau malam nanti," kataku menenangkan Aziz, bekas suami rakan sekerjaku yang telah kukenal lama. Aku nak cari air batu campur di Medan Selera Ampangan - tiada - manakala Aziz seperti biasa minta teh tarik.
Ternyata telahanku tepat.
Aziz `first on scene, first on screen'' melaporkan berita yang menggembirakannya itu.



Isnin, 9 Januari 2017

`The Power of Money'


"Demi cintaku padamu. Kuserahkan jiwa dan raga." `Nonsense'!
"Geng! Mula-mula ni susahlah sikit. Bila kita berjaya nanti sama-sama kita kongsi. Susah biar kita sama susah. Senang biar kita sama senang.  Sudah berapa lama kita berkawan." `Bullshit!'
"Jamaah yang saya kasihi sekalian. Apa yang saya berikan ini ikhlas dan demi Allah semata-mata." Ia ke?
Umur 63 tahunku banyak mengajar erti sebenar cinta, kasih, sayang, rakan, taulan, sahabat, jamaah, Sheikul dan yang sewaktu dengannya.
Hidup di alam persaraan ternyata berbeza berbanding alam pekerjaan. Ringgit, penghormatan ternyata ditumpangkan sementara oleh Sang Maha Berkuasa.
Walaupun aku secara sedar mengelakkan seboleh-bolehnya kata sombong, angkuh, pemalas, culas, ampu, bodek dan sedaerah dengannya dikaitkan denganku sewaktu di alam pekerjaan ternyata segala-galanya tidak bermakna legasi yang ditinggalkan.
Manusia seolah-olah sudah berpusing pada arah bertentangan 180 darjah - ringgit segala-galanya. Apabila pemikir Kassim Ahmad menyebut `Tuhan telah mati' onar negara. Dengan mudah Mufti Meja Makan menjatuh hukum `Kassim murtad.'
Setelah `hilang' lebih setahun, aku mendekati jamaah Tabligh. Bersama-sama karkun yang lain melewati dari rumah ke rumah - mengajak mereka ke masjid sedangkan aku sendiri baharu mengenal masjid.Hipokrit!
Setelah `hilang' sekali lagi beberapa tahun kemudian, aku diajak pula untuk lebih dekat dengan Allah - ini adalah jalan. Inilah pilihan yang terbaik sebelum dijenguk kematian.
Sedar dengan kealpaan yang lama, penuh dengan kehidupan kufur nikmat, aku dengan rela memenuhi jemputan. Dalam dunia ini aku ingin melupakan kata yang mudah disebut `wang bukan segala-galanya.' Ternyata hanya kerana menyebut harga sebiji cempedak RM50.00 Sang Sheikul naik berang dan menunjukkan wang.
Ternyata di dunia ini masih bercerita mengenai `The Power of  Money.'
Bersedialah sahabat dan rakan yang masih berjawatan, legasi hebat yang ditinggalkan tidak membawa apa-apa erti dalam alam persaraan kerana kalkulator rakan, suami, isteri, Sang Sheikul masih menekan angka.

Sabtu, 7 Januari 2017

Telefon Baharu

SEJAK beli telefon baharu empat hari yang lalu Ersyad dan Babar asyik hendak telefon keluarga dan rakan di Lahore, Pakistan sahaja.
Dari pagi hingga ke tengah malam, kedua-duanya bukan sekadar bergayut dengan telefon tetapi di telinga mereka bergayut `head-set'.
Sejak hari pertama aku berada di Swamatra Sdn Bhd lebih dua bulan lalu, aku sudah kenalpasti lebih kurang perwatakan mereka.
Profesion perguruan yang aku sandang lebih 35 tahun lebih memudahkan aku mengenal keperibadfian seseorang yang sebahagian besarnya `assumption' aku benar.
Aku semakin banyak tahu latar belakang kedua-duanya sewaktu aku bawa Babar ke Semenyih, sebaik usai kerja pada jam 5.00 petang kelmarin.
"Baru," Babar berkata bangga sewaktu duduk di sebelahku dengan Volvo yang diberikan oleh Swamatra Sdn Bhd untuk kegunaanku. Kebetulan kereta Toyota RAV 4 aku rosak kerana `over-heating' dalam perjalanan pulang dari penggambaran filem `Mendidih Bro' di Hutan Lipur Ulu Bendul untuk menerima pelawaan makan malam hero `Mendidih Bro', Azrel Ismail di Aeon, Seremban 2. Tetamu lain Marlyn Dela Merced, Daisy Santos dan PA Azrel, Shahrul Idham.
Aku ke Semenyih bersana Babar atas urusan menukar lampu yang dibeli sewaktu membuat persiapan kamar tetamu untuk Juliana Evans, Marlyn dan Azrel.
Selepas menukar lampu aku bawa Babar yang jarang keluar dari Mantin ke Tesco. Apa lagi Babar bergaya dengan pelbagai aksi dengan Samsung Duonya.
"RM300 sahaja," katanya tanpa ditanya. ~Ershad juga beli." Peramah betul Babar hari itu bererita mengenai telefonya itu.
Sambil berjalan-jalan santai, Babar tak habis-habis cerita rakan sekampungnya, Ershad yang bergambar dengan Juliana Evans di Uliu Bendul.
Kedua-dua mereka hantu Facebook. Babar lihat foto Ershad yang ditulis Sang Pencerita dalam FB Swamatra Sdn Bhd.
"Haji. Ershad tak da guna.Dia selalu cerita pasal haram dengan saya.
"Perempuan tak da cantik haram. Tapi perempuan cantik, tak da haram,
Aku cuma tersengih.