Inilah saiz haruan yang aku pancing |
Entah macam mana tiga malam lalu aku terpandang sesuatu benda hitam di bawah papan kenyataan syarikat sewaktu membasuh cawan untuk sarapan awal pagi - oat panas.
Aku dekati objek itu dan segera terperanjat kerana ia seekor ikan haruan.
"Sudah! Macam mana ikan haruan ini boleh berada di darat?"
Aku dekati ikan itu dan terlihat matanya merenung tajam mataku.
"Sudah!" Orang tua-tua pernah aku dengar berkata, ikan haruan ini berhantu.
Segera pula terlintas dalam fikiran cerita Gomok, Syuk, Rossa dan beberapa yang lain yang mengatakan tempat ini memang penuh cerita seram.
"Haji tak takut ke? Ramai yang dah nampak."
"Bukan nak cakap besarlah. Sekitar jam 3.00 pagi hingga subuh saya suka berjalan-jalan ambil angin segar di sekitar bilik saya.
"Malah sejak dua tiga hari ni saya turut pergi ke luar pagar melihat anak pisang yang saya tanam dan kawasan yang sudah saya bersihkan," aku pula menjawab sambil makan rebus ubi berlada yang dibawa oleh staf baharu kami.
Aku bukanlah seorang yang penakut. Ikan haruan itu segera aku kuis dengan kaki. Ia tidak bertindak-balas. Rupanya ikan itu sudah mati.
Keesokan paginya aku bercerita dengan Gomok, budak Kelantan yang bekerja sebagai pemandu lori yang sudah hilang kecek Kelatenya.
"Mok! Malam tadi aku ada jumpa ikan haruan dekat papan kenyataan."
"Yo ko Ji! Patutlah ikan se hilang daripada bokeh plastik yang se lotak dokek paip ambil air sembahyang tu," katanya tersengih.
"Macam mano dia pogi situ Ji? Se tutup dengan jubin. Se bukak sikit yo supayo dio dapek bernapeh."
Sudah!
Cerita ikan haruan berhantu terdengar lagi.
Gomok budak Kelantan yang tak pandai kecek Kelate lagi |
Gomok kemudiannya meninggalkan pancing kerana dipanggil Rossa untuk melakukan sesuatu.
Aku yang sedang menarah rumput di tempat berhampiran segera mengambil alih tempatnya.
Aku memang gila memancing sewaktu kecil-kecil dahulu - pancing di sungai ya. Lebih khusus di sungai Kampung Pelegong yang berakhir di Jeram Tebrau yang terkenal dengan ikan yang mengeluarkan susu di mulutnya.
Sebaik-baik aku menukar cacing baharu yang ditinggalkan Gomok, aku melontarkan tali tangsi dengan joran plastik Gomok.
Tak sampai lima minit pelampung tenggelam timbul.
"Ah! Masih hebat aku. Tangan aku masih hanyir," Id aku berkata yang kemudianya naik ke tahap Ego tapi taklah sampai Super Ego.
"Rahsia gian memancing ni apabila berlaku proses tarik-menarik antara kita dengan ikan," itu yang pernah aku baca. Sebenarnya itu kata Ernest Hemingway dalam novel terkenalnya `Old Man and The Sea', novel milik Pak Kitam yang aku baca sewaktu aku bersekolah rendah dahulu.
Bagaimanapun ia tidak berlaku. Aku angkat joran dan haruan bodoh itu mengikut sahaja.
"Ah! Tak ada thrill." - dah mula naik Super Egoku.
Aku biarkan ikan haruan itu menggeletek di atas rumput dan segera ke paip wuduk lalu kuambil bekas plastik yang digunakan Gomok sebelum ini.
Aku lihat ia masih bertutup dengan jubin putih, jubin untuk dinding tempat wuduk yang tidak disiapkan oleh Amat budak Acheh.
Aku mengisi seperenam air. Kalau hampir penuh tentu haruan senang melompat nanti.
Setelah memasukkan haruan itu ke dalam bekas plastik aku menutupnya dengan dua beroti pendek.
Aku terus memancing. Tak jadi aku menarah lagi.
'Setelah lebih 15 minit aku bosan. Cangkul dicapai lagi.
Awal besok paginya iaitu pada kira-kira jam 6.45 pagi, dengan masih berkain sembahyang aku segera menjenguk pancing yang ditinggalkan semalam. Harap-harap dapatlah seekor lagi untuk lauk Gomok dan kawan-kawannya yang tinggal di tingkat atas bengkel.
Ershad dan Babu memang tak makan ikan. Mereka cukup dengan empat keping capati dengan dal sahaja. Aku memang selalu makan dengan mereka sambil duduk di atas tilam yang sudah lama bertukar warna.
"Haji! Makan.", begitulah biasanya - sama ada Ershad atau Babu yang memanggilku dari jauh untuk makan.
Kecewa melihat pelampung masih terapung aku segera menjenguk haruan yang ditinggalkan semalam.
Ikan haruan itu juga tiada dalam bekasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan