Jumaat, 3 Februari 2017

Penangan WhatsApp

Babar Dogar
Samsung Duo yang berharga cuma RM300 menjadikan Ershad dan Babar Dogar (Babu) begitu sibuk sekali. Selain mencuri-curi membuat panggilan sewaktu masa bekerja, waktu habis bekerja pada jam lima petang menyebabkan mereka lebih sibuk lagi.
Kedua-dua pekerja yang berasal dari Lahore, Pakistan itu sentiasa kelihatan bergayutan head-set di telinga. Oleh kerana alat itulah menyebabkan kawasan persekitaran kantor Swamatra Sdn Bhd onar dengan panggilan mereka.
Aku sempat mengira, Ershad setidak-tidaknya membuat lebih lima panggilan sehari kepada isterinya.
"Hei Arshad! Kalau mahu tanya anak sudah berak ke belum, lebih baik kerja di Lahore sahaja," suatu hari aku mengusiknya.
"Berapa bil telefon sebulan? Ini macam gaji habis telefon sahaja," aku bercanda.
"Bayar sikit sahaja. Telefon ke Pakistan saya guna WhatApp'" katanya bangga.
Aku pula rasa ketinggalan kerana tak pernah menggunakan WhatsApp untuk membuat panggilan. Jangankan membuat panggilan, aku jarang baca mesej yang dihantar oleh pelbagai ahli kumpulan. Entahlah, aku macam tak berminat kecuali pihak pemanggil ada memberitahu, aku dah hantar foto atau mesej dalam WhatsApp kau. Itu baharu aku baca.
Ershad
Bukan apa? Membaca mesej yang dihantar melalui WhatsApp membuang masa aku sahaja. Tak kisahlah kumpulan mana, malah Kumpulan Tareqatpun, kandunganya macam kumpulan ahli politik juga - kalau Sheikul buat sesuatu pernyataan, ahli jemaahpun menyokongnya - sokongan yang kelihatan lebih untuk `menggosok.'
Balik kepada cerita Ershad dan Babu lagi. Babu pula anak manja rupanya. Setiap perkembangan yang berlaku di tempat kerja, dilaporkan setiap hari kepada ibunya di Lahore.
Malah melalui percakapan dalam bahasa Urdu yang aku faham beberapa kosa katanya, cerita Marlyn Dele Merced tidur di bilik berhampiran biliknya juga diceritakan kepada ibunya.
"Itu hari you ada jumpa itu barang warna hitam ada cerita sama emak ke?," suatu hari aku menyergahnya.
"Boleh," itulah kosa kota popular rakan sekampung yang baharu setahun dibawa Ershad.
Suatu petang aku belanja kedua-duanya makan. Aku suruh Babu ke kedai dengan motosikal syarikat.
"Apa mahu makan," Babu bertanya.
"Nasi, ayam, sayur kobis," aku sengaja mengurangkan kosa kata seminimum mungkin agar mudah diingati.
"Haji! Kasi cakap lagi," Ershad tiba-tiba menyampuk dengan menyuakan telefonnya berhampiran mulutku.
"Haji cakap sekali lagi.
"Nasi, ayam, sayur kobis."
Rupa-rupanya Ershad merakamkan percakapanku lalu dihantar melalui WhatsApp kepada Babu yang ada di hadapannya.
Kemudian Ershad pula merakamkan menunya.
Melalui percakapan dalam bahasa Urdu, aku faham maksudnya lebih kurang begini.
"Tak payah mahu ingat. Sampai Kedai Mamak tu, buka itu pesanan suara yang telah dihantar melalui WhatsApp."
Kah! Kah! Kah! Aku yang ketinggalan teknologi rupa-rupanya.

Tiada ulasan: