Sabtu, 15 April 2017

Melayu Tak Suka Cakap Perkara Serius. Melayu Suka Libur-liburan Saja? Melayu Juga Suka Cakap, Perkara Yang Dia Sendiri Tidak Tahu?

Mark Zuckerberg, pencipta Facebook
SUDAH beberapa kali aku membuat eksperimen. Eksperimen penggunaan media sosial Facebook dalam kalangan rakan.
Sebahagian daripada mereka bukan sekadar tidak tahu latar di sebalik wujudnya Facebook ini malah ada yang mulut celupar berani menuduh yang bukan-bukan; tak kurang yang memperlekehkan.
"Catatan Facebook kau panjang! Ajeh komplen patutnya catatan Facebook cuma satu ayat," pernah seorang pengarah filem cuba mengajar aku sedangkan dia sendiri buta komputer.
"Kah! Kah! Kah!, Ini bukan Instagram nak kongsi cerita," kata seorang anak muda (tak muda sangat jugapun) yang pernah bersekolah di sekolah tempat aku mengajar, setelah aku bertugas sebagai guru selama  kira-kira 15 tahun.
"Bagaimana nak kata Facebook boleh jadi alat pemasaran percuma sedangkan yang membacanya cuma `follower' pemegang akaun," kata seorang lagi pula.
Melalui pemerhatian, aku boleh rumus orang Melayu tak suka bercakap perkara serius; perkara yang boleh membangun diri dan bangsanya.
Kalau tak percaya bawa perkara agak serius seperti yang pernah dibawa Ishak Abdullah Ma'rifat Maut. Setelah Sang Pencerita suruh sambung, tak ada respon langsung.
Sebagai `pelarian' maka akan keluarlah kata, kami tak mahu dapat dosa membuka aib orang sedangkan pada masa yang sama; pagi petang, siang malam itulah kerja mereka.
Orang Melayu memang nak kaya cepat, walaupun tahu rasuah itu haram. Orang Melayu memang nak kaya cepat, walaupun sanggup menipu, lupa janji dan mengkhianati kawan.
Kalau boleh orang Melayu cuma mahu goyang kaki tapi kaya raya walaupun sanggup buat apa-apa saja.
Melayu ramai tak takut Tuhan. Mereka lebih takutkan perempuan.
Maaf!
Di sini diturunkan kembali mengapa Mark Zuckerberg menghasilkan Facebook? Kalau tak tahu sejarah, jangan reka cerita. Itu `hearsay' namanya.
1."When I made Facebook two years ago my goal was to help people understand what was going on in their world a little better. I wanted to create an environment where people could share whatever information they wanted, but also have control over whom they shared that information with. I think a lot of the success we've seen is because of these basic principles.
We made the site so that all of our members are a part of smaller networks like schools, companies or regions, so you can only see the profiles of people who are in your networks and your friends. We did this to make sure you could share information with the people you care about."

2. "It's not because of the amount of money. For me and my colleagues, the most important thing is that we create an open information flow for people. Having media corporations owned by conglomerates is just not an attractive idea to me."
 3. "The thing I really care about is the mission, making the world open."
Soalannya?
1. Bolehkan kita mahu memahami dunia dengan satu ayat di Facebook?
2. Bolehkah dunia akan `terbuka' sekiranya `perkongsian maklumat dan pengalaman' yang sebahagian daripadanya dalam bentuk naratif tidak dibenarkan?
3. Orang bisnes boleh memanfaatkan Facebook untuk tujuan perniagaan melalui kemudahan `halaman' yang boleh dihantar ke seluruh dunia; bukan sekadar dalam kalangan `Friend' sahaja.
Kesimpulannya: Itulah Melayu.

Rujukan: http://www.zimbio.com/Why+Did+Mark+Zuckerberg+Create+Facebook/articles/irW6fWzojv2/Mark+Zuckerberg+Create+Facebook

Khamis, 13 April 2017

Hospital Tanpa Doktor

Mohamad Shahidan
Seorang perempuan pertengahan usia yang bertugas di bahagian pendaftaran kemasukan pesakit, keluar makan tengah hari itu, jauh dari hospitalnya bertugas. 
Entah hospital awam. Mungkin hospital swasta. Tiba di sebuah restoran pilihannya, perempuan itu terserempak dengan seorang lelaki hampir seusianya. 
Lelaki itu dikenalinya kerana dulunya kerap mendaftar di hospitalnya untuk mendapat rawatan dan nasihat pakar perubatan. Mereka berbual mesra sambil berdiri.
"Saudara sudah tidak sakit lagi sekarang ini?" tanya perempuan itu tapi soalannya tidak dijawab segera.
Akhirnya perempuan itu bertanya dengan nada bersahaja dan kali ini pantas dijawab.
"Saya masih sakit, seperti dulu juga," katanya.
" Masih sakit?," tanya perempuan itu dalam nada kehairanan.

Shahidan sewaktu mengunjungi Jokjakarta
 "Tapi saya tak pernah melihat saudara di tempat pendaftaran. Apatah lagi mendaftarnya."
"Terus terang saja saya katakan saya ke hospital lain sekarang," katanya jujur. 

"Saya pun terkejut apabila saya pergi ke hospital puan bertugas kali terakhirnya, saya dimaklumkan doktor sudah tidak ada lagi sekarang ini. 
"Yang ada hanya lelaki bertali leher dan perempuan berpakaian cantik.
"Mereka telah bersedia untuk mengetahui penyakit saya. 
"Kemudian mereka akan menelefon mana-mana doktor yang lapang pada waktu itu untuk datang merawat saya. 
"Puan percayalah bahawa hospital tanpa doktor tidak akan ada pesakit," katanya bersahaja juga.
 Perempuan itu mengangguk-angguk kerana dia pun memahaminya.

oleh: Mohamad Shahidan

Ahad, 9 April 2017

Aku Yang Sering Disalah Tafsir 2

Sang Pencerita bersama Atez Ramo dan emak saudara pengarah Rizal Halim. Foto: Faiz Tajul
Dengan berlangsungnya majlis memperkenalkan filem Lurking Woods di Kafe Skrin, Kuala Lumpur malam tadi, tertunai sudah janjiku kepada kenalan Facebook baharuku ketika itu, Atez Ramo.
Ris Intan
Janji yang dibuat sekitar awal Januari 2017 itu berbunyi, "Sang Pencerita marilah kita bersama-sama menyokong dalam bentuk  mempromosikan Lurking Woods, sebuah filem Australia arahan anak Malaysia, Rizal Halim. Nanti I bantu pula filem you." Lebih kurang begitu bunyinya.
Waktu itu aku bersama sebuah produksi yang menghasilkan filem pertamanya. Aku sempat singgah dalam dunia ini sekitar tiga bulan yang bermula awal November 2016 itu.
Bagaimanapun tempoh ini adalah tempoh yang benar-benar menguji kekuatan mental dan emosiku. Tempoh lari dari dunia yang bagai 100% kontras itu berakhir dengan cerita duka. Tak perlu aku huraikan. Pedulikan. Memang aku sering disalah tafsir dan sedikitpun aku tidak kesalkan. Ini memperkaya leksikon hidupku.
Bercerita mengenai disalah tafsir, ia adalah `satanic circle' dalam riwayat kehidupanku. Di tempat kerja bos sering tidak dapat membezakan pandangan Zulkifli Abu sebagai seorang Ketua Jabatan dengan Zul yang juga rakan sekerja yang sama taraf dengannya satu ketika dahulu dalam `Top-Management Meeting.'
Mengapa perlu bermasam muka kalau kita mempunyai pandangan berbeza? Hargai perbezaan dan hormatinya kerana tidak semua orang datang dari `School Of Thought' yang sama.
Tak perlu menyelongkar cerita lama untuk mengukuh argumen - orang yang paling hampir dengan diri inipun sering menyalah tafsir hingga kini walaupun usia ikatan hampir 40 tahun. Apa peliknya?
Sang Pencerita mengajak tiga lagi Ahli Lembaga Pengarah Ali One Travel and Tours Sdn Bhd, Seremban untuk menyatakan sokongan terhadap filem Lurking Woods, seorang tidak dapat bersama kerana ada tugas lain. Foto: Jules De Verne
Bagi aku, hidup ini mudah. Walaupun turut mengajar subjek Pemikiran Kritis dan Kreatif yang membabitkan sub-topik `Problem Solving and Decision Making' di IPG Kampus Raja Melewar dahulu, aku tak perlu melihat kembali catatan De Bono atau Horward Garner untuk melayari kehidupan.
Aku tak mahu `regret' atau kesal sendiri - cukup dengan berfikir selapis.
Kalau ada orang datang minta tolong kerana mengadu tidak ada beras di rumah untuk menyuap anak-anak; kalau ada wang ketika itu - berikan sahaja. Tak perlu fikir-fikir panjang. Bukankan aku juga seperti 400,000 guru lain diminta menyerapkan Nilai Murni dalam pengajaran. Kalau kita ajar orang tapi kita tak buat benda itu, munafik namanya.
Lalu kata-kata sewaktu aku menyelongkar posting Ris Intan sebentar tadi bagai aku setuju belaka. Mungkin kami datang dari `School of Thought'  yang sama walaupun mempunyai jurang umur yang jauh dan jauh bezanya.
Walaupun kali pertama bertemu, keluhuran hati  melahir suasana bagai sudah 100 tahun bersama. Foto: Faiz Tajul
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=10210716993428551&set=a.2900093869020.145537.1460622535&type=3

Jangan pula ada yang menyalahtafsir hubungan aku dengan Atez Ramo dan Ris Intan, cukuplah

Khamis, 6 April 2017

Tuham, Karyawanku Yang Pakai `Hantu'

Kami menghadiahkan foto besar kepada Am sebagai tanda eratnya persahabatan.
Kalau Pak Andy tidak pernah tanya pasal gaji, Tuham pula tak pernah tetapkan berapa gajinya sehari. "Terpulang kepada Hajilah," begitulah biasanya dia berkata.
Tuham yang lebih senang dipanggil Am bertubuh besar gempal. Bagaimanapun kekuatan fizikal tidak menggambarkan kekerasan - Am lembut bertutur-kata dan penuh budi bahasa. Lirikan senyumnya memikat dan boleh meruntun hati Sang Cewek.
Nak tahu akrabnya hubungan aku dengan Am tanya Nasha Damsyik. Nasha turut menyenangi Am dan kerana itu tidak hairanlah kami sering juga mengunjungi Am di rumahnya, di Blok C, Ampangan.
"Bang! Am `accidentlah'. Kakinya patah. Motosikal besarnya remuk," beritahu Nasha pada suatu hari.
"Mari kita ziarah," ajakku cemas.
"Dia tak da di sini. Dia dah balik kampung untuk berubat," tambah Nasha.
"Jadi, mana kau tahu."
"Saya ke rumahnya tadi nak ambil ketam elektrik yang dipinjamnya. Kawan dia yang beritahu," cerita Nasha lagi.
Kerinduan terhadap Am terubat juga apabila kira-kira tujuh bulan kemudian aku terdengar bunyi kereta di bahagian belakang rumah setelah agak malam. Biasanya aku sahaja yang meletak kereta di bahagian belakang rumah kerana ada empat lagi kereta di `porch'.
"Assalamualaikum! Assalamualaikum Haji,"
Aku pasti itu suara Am. Di tangannya terjenjeng beberapa bungkusan plastik.
"Ole-ole dari kampung Ji. Ikan kering dan ikan pekasam. Bukankah saya Orang Laut," Am bercanda merujuk kampungnya di sebuah pulau berhampiran Madura itu.
Hampir menitis air mataku apabila melihat Am malam itu. Dia bagai tidak seperti dahulu. Tubuhnya semakin susut.
Terbayang di benakku Am yang sedang memanjat dinding untuk melekatkan jenang yang diperbuat dari kayu belian yang kuat dan berat itu.
Kayu belian itu dibawa dari Sarawak oleh rakanku Shaharudin, lebihan yang digunakan untuk banglonya.
Lebih memelikkan aku, dia boleh mengendong tingkap kayu belian yang berukuran 4 X 7 kaki bersendirian sewaktu memasang engsel di tingkat atas rumah teres dua tingkat itu sendirian.
Tangan kanannya menyauk tepi tingkap ambil tangan kanan memaku. Tidak seperti karyawan lain, Am memang suka kerja bersendirian.


"Saya suka sorang-sorang Ji.
"Itu gazebo di Seremban 2 yang panjangnya 30 kaki itu, saya buat seorang sahaja Ji. Apa pula yang kecil ini," katanya sewaktu aku tinggalkan dia sendirian membina kerangka gazebo sewaktu aku sekeluarga bercuti di Universal Studio, Singapura selama dua hari satu malam.
Balik sahaja gazebo itu sudah siap.
"Hei Am! Kau pakai hantukah? Siapa yang tolong." Am hanya tersengih.

Pak Andy, Karyawanku Yang Luar Biasa

Pak Andy alias Alex Putra
 AKU sudah berurusan dengan lebih 50 karyawan Indonesia - sama ada yang ada permit kerja atau sebaliknya.
Aku mula menggunakan khidmat buruh yang berasal dari Indonesia ini sejak kerja-kerja ubahsuai Studio Sang Pencerita, rumah teres dua tingkat selang empat pintu dari rumahku yang ada sekarang di Taman Pinggiran Golf, Seremban.
Lepas itu sewaktu kerja lanskap di bahagian belakang rumah yang bersempadan dengan Seremban International Golf Club (SIGC) itu.
Paling ramai tentunya sewaktu aku membangun Laman Sang Pencerita, sebuah taman tema mini  di atas tanah seluas 10 ekar di Batu 7, Jalan Labu; kampungku sendiri.
Dalam ramai-ramai pekerja atau disebut karyawan dalam kalangan buruh kontrak Indonesia, Pak Andy agak luar biasa.
Luar biasanya itu dia tidak pernah ambil pusing mengenai gaji. Sewaktu Edo Pratama, budak Lampung dan Walid budak Sedulang yang pasti mahukan gaji pada setiap hujung minggu untuk dihantar pulang ke Indonesia, Pak Andy sering berkata,"
"Saya cuma mahu RM100 Datuk," itu panggilan Pak Andy kepadaku sejak lebih dua tahun lalu.
Walaupun Pak Andy tidak bekerja denganku lagi, kami sentiasa berhubungan sama ada melalui telefon ataupun Facebook ataupun Messenger. Kalau tak silap Pak Andy ada lebih dua akaun Facebook.
Aku diperkenalkan kepada Pak Andy oleh Edo Pratama yang waktu itu sedang membuat kerja-kerja ubahsuai rumah jiranku.
Pak Andy aku terima kerja di Labu dan pada hari kedua dia mula memperlihatkan keluarbiasaannya.
"Datuk! Pak Andy ini banyak kehebatannya. Dia boleh mengubat orang sakit," kata Edo pada suatu petang.
Sedang belajar melukis dengan Nasha Damsyik
Berdasarkan pernyataan itu aku terus mengajak Pak Andy dan Edo ke rumah emak untuk cuba mengubat abah yang tidak mampu berjalan lagi ketika itu.
"Budak tu tak hendak duit Zul. Puas emak suruh ambil dia tak nak," cerita emak pada suatu hari mengenai keengganan Pak Andy menerima hadiah emak.
Lebih mengejutkan aku, Pak Andy juga tidak mahu menerima upah kerjanya setiap hujung minggu.
"Datuk simpan sahajalah. Beri saya RM100 cukup," katanya sewaktu aku membawa mereka `shopping' di Palm Mall, Seremban.
Tinggal bersama mereka di banglo tua milik Allahyarham mentua di hadapan Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP), Labu itu membolehkan kami lebih akrab, bagai adik-beradik.
Setelah penat bekerja pada waktu siang aku mengajar Edo, Walid dan Pak Andy ilmu komputer. Peliknya walaupun tidak bersekolah tinggi, ketiga-tiga mereka cepat menguasai perisian Adobe Photoshop atau Media Studio Pro - perisian suntingan video.
Nasha Damshik yang datang sekali-sekala aku suruh pula mengajar melukis dan fotografi. Ternyata ketiga-tiga juga pandai melukis dan mempotret.
"Datuk jangan risaulah. Kesemua yang berhutang dengan Datuk akan melunaskannya dalam tempoh terdekat. Kawan Datuk, Ghazali akan bayar bulan Mei, yang bernama Bustamam bulan Juni dan Zulkifli akhir tahun," kata Pak Andy pada suatu malam.
Menurut Pak Andy, Edo telah menceritakan kepadanya bahawa ramai kawan-kawanku yang mengambil kesempatan atas kelembutanku hingga jumlahnya hampir RM400,000
Ah! Rupa-rupanya Pak Andy ini ada ilmu magis jugakah?, fikirku.
Walaupun aku tidak boleh percaya perkara-perkara khurafat begini, setidak-tidaknya aku terasa lega juga kerana rakan-rakanku yang berhutang akan membayarnya.
Mungkin berdasarkan premis itu, aku patuhi sahaja permintaan Pak Andy yang tidak mahu menerima gajinya.
`Shopping' di Palm Mall. Edo, kri, Pak Andy, kanan
"Nanti bila kawan-kawan bayar hutang, bolehlah lunaskan gaji Pak Andy," fikirku.
Aku juga sudah berjanji dengannya untuk menghadiahkan 25% daripada jumlah hutang itu kepada Pak Andy.
"Setidak-tidaknya duit dalam jumlah yang besar itu akan membolehkan Pak Andy membina hidup baharu di Indonesia tanpa bekerja sebagai buruk kontrak tanpa permit di Malaysia," getus hatiku.
Masa terus bergulir. Kini Pak Andy berada di Balakong.
"Tuk! Bisa tak saya dapatkan gaji yang saya kerja di Labu dulu?"
"Bisa," kataku menjawab panggilan telefonnya.
"Pak Andy! Berapa jumlahnya ya?"
"RM4,000 Tuk."
Aku tersentak seketika.
"Insya-Allah Pak Andy. Nanti bila saya dapat duit jual tanah, saya akan lunaskan."
"Ya Tuk," jawab Pak Andy patuh.
Semalam bakal pembeli tanah yang memungkinkan aku dapat sekitar RM100,000 menghantar mesej.
"Kami tidak dapat meneruskan pembelian. Kami ingat ia berasaskan JV. Kalau suruh bayar RM800,00 dahulu, kami memang tidak mampu."
"Ah! Mana aku nak cari duit Pak Andy? Ah Keong rakan kongsi Laman Sang Pencerita sudah lama angkat tangan setelah menghabiskan hampir RM200,000 manakala aku hilang sekitar RM100,000

Insya-Allah aku tetap yakin. Selagi kita percaya Allah itu ada, Allah Itu Maha Penyayang dan Pemurah, adalah nanti duit Pak Andy itu nanti.
"Sorry Pak Andy ya! Bayar tetap bayar, cuma masanya belum diizinkan."
 Telekan Pak Andy terhadap orang yang berhutang denganku juga macet. Aku tak pasti bila mereka mahu melunaskannya. Yang pasti aku masih berhutang RM4,000 dengan Pak Andy.


Selasa, 4 April 2017

Cinta Semarak Kembali Pada Usia Senja

Zaini, Baharin, Sang Pencerita - produk Sekolah Kebangsaan Labu Ulu
SEHARI suntuk bersama rakan sekolah, Baharin Rejab dan isteri, Zaini Zain semalam memungkinkan Sang Pencerita lebih faham mengapa mereka berkahwin sewaktu berusia 60 tahun.
Baharin kematian isteri sewaktu isterinya berusia 57 tahun kerana kanker lalu berubat dengan Zaini, rakan sedarjahnya di Sekolah Kebangsaan Labu Ulu (1961-1966).
Zaini pula bercerai dengan suaminya Manaf yang juga rakan sekolah Sang Pencerita setelah Manaf pasang dua.
Baharin seorang mantan polis berpangkat ACP di Bahagian Jenayah Perdagangan Bukit Aman dan seorang peguam kemudiannya bukan sahaja berkongsi kasih tapi kepakaran Zaini yang menggabungkan rawatan tradisi dan moden Jepun yang dikenali acupressure.
"Zul! Aku bukan cari duit ya! Aku rasa bahagia kalau dapat membantu orang."
"Kau nampaknya menurut jejak Bill Gates yang rasa bahagia apabila memberi," Sang Pencerita mencelah.
"Siapa kata Bill Gates bahagia? Hanya mereka yang mengucap Asyhadu... sahaja yang bahagia," sampuk Mohd Zawawi Hassan pula.
Setelah Zawawi balik Samsudin Hamidan pula menyertai kami makan tengah hari pada jam 4.30 petang di sebuah `coffee house' di Senawang.
Samsudin tidak makan kerana berpuasa sunat.
"Orang ghaut macam saya tak boleh diurut," kata Samsudin apabila aku bercerita mengenai rawatan yang baharu aku terima daripada Baharin selama kira-kira tiga jam.
"Siapa kata tak boleh urut," celah Baharin.
"Zaini! Tolong cerita kisah kawan sekolah kita Zulkifli Wahab."
Zaini, Baharin dan Zawawi menjejak kasih
"Sewaktu saya datang ke rumahnya untuk mesyuarat Koperasi Labu (KOBAL), Zul bukan sahaja tidak mampu berjalan kerana ghautnya tapi bagai merangkak.
"Jangankan terkena kain, terkena kertas tisupun ngilunya tidak tertahan.
"Alhamdulillah. Setelah diberi rawatan paling ringkas Zul sudah macam biasa kembali," Baharin mengambil kembali fungsinya sebagai tetamu perbincangan.
Sang Pencerita yang bertindak sebagai moderator menukar topik pula.
"Bagaimana kau boleh jumpa Zaini kembali?"
"Panjang ceritanya."
"Apa orang kampung cerita pasal aku?"
"Tak payah orang kampung. Sewaktu aku minum di kedai adik kau Maizom, dia pun bagaikan tidak percaya kau mengambil Zaini sebagai isteri.
"Aku terima apa orang nak kata.
"Rin. Zaini! Kau percaya tak cinta dan kasih sayang adalah antara anugerah Allah paling agung yang perlu kita hayati dan hargai? Tidak kisahlah cerita cinta itu bermula kembali pada usia senja," Sang Pencerita menutup sesi petang semalam setelah melihat Baharin, Zaini dan Sam bagai terpinga-pinga.