Kalau ikut petunjuk gadis sunti itu, rumahnya berhampiran Masjid Terapung Salmah Khamis sekarang; kampung mentua Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi |
Dari kiri: Sang Pencerita, Jamaludin Jani, rakan serumah di Jalan Noja off Jalan Dapat, Johor Bahru (1972-73) |
Walaupun pernah menggunakan khidmat Kereta Api
Tanah Melayu (KTM) sewaktu di sekolah rendah dahulu kerana mengikut sepupu
bercuti di rumah keluarga mereka di Clementy Estate, Singapura; suasana pagi
ini cukup berbeza. Hiruk-pikuknya bagaikan pasar. Cuaca agak berbahang.
Sewaktu kereta api tiba dari Stesen Tanjung
Pagar, Singapura dan kemudiannya bertolak pada jam 10.00 pagi; kami tidak ada
pilihan. Sebahagian besar kami terpaksa berdiri.
Sebagai anak muda berusia kira-kira 18 tahun,
kerinduan kepada emak, abah dan adik-adik cukup kuat. Pada hari sebelumnya,
tanda sayang kepada mereka telah dibelikan – epal dan laici dalam tin – dibeli
di Woodlands. Untuk emak dan abah dibelikan tuala mandi – warna biru untuk emak
dan kuning untuk abah. Kalau tak silap RM1.50 harganya sehelai.
Kehidupan awal di maktab cukup mengujakan. Ini
kali pertama pandai mengurus kehidupan sendiri – berpakat mencari rumah sewa
dan tentunya ini kali pertama tinggal di rumah batu yang ada bekalan elektrik
dan paip.
Satu sahaja yang kurangnya. Keinginan untuk
bercinta mula tumbuh; selari dengan mula tumbuhnya jerawat dan misai.
Di maktab, peluang bagai tertutup awal-awal lagi.
Sewaktu Minggu Orientasi baharu aku tahu, aku pelajar termuda iaitu 18 tahun 20
hari. Ia diperkukuhkan dengan tubuhku yang kecil. Kalau tak silap, ketinggianku
cuma 4 kaki 11 inci. Bukan sekadar rakan-rakan satu ambilan, malah sewaktu di
Tahun Dua pada tahun berikutnya, juniorku juga lebih tua.
“Macam mana nak mengurat rakan se maktab?
Semuanya membahasakan dirinya kakak,” jentik mindaku.
Nah! Cerita nak terjadi. Tambahan pula waktu di
sekolah menengah dahulu gila tengok wayang Hindustan .
Sewaktu mencari-cari tempat duduk apabila sampai di sesuatu stesen, aku
terpandang seorang gadis sunti – masih dalam pakaian seragam sekolahnya.
Inikah sentuhan panggilan cinta? Tiba-tiba
pertanyaan menyapa hati bagaikan Rajesh Khanna pada pertemuan kali pertamanya
dengan Hema Malini.
Sambil mata menyembunyikan malu, aku terlihat lencana
di bajunya – Sekolah Menengah Vokasional Azizah, Johor Bahru.
Inilah kelemahan aku. Walaupun adik-adikku
semuanya perempuan; aku mesti menggigil untuk menyapa budak perempuan kecuali
rakan sekolah dahulu.
Bagaimanapun mata bertembung. Dia membalas
sengihku. Oleh kerana kedudukan kami berada di bahagian penyambung antara
gerabak; terasa suasana berangin juga. Cuma bau hancing menyesak hidung.
Tak sempat nak bercerita panjangpun. Kalau tak
silap, namanya pun aku tak berani tanya. Maklumat peribadinya yang aku tahu dia
berada di Tingkatan Lima
dalam jurusan Urusan Rumah Tangga dan keluarganya tinggal di Masjid Tanah,
Melaka.
“Turun di mana?,” baharu aku mula memberanikan
diri untuk bertanya.
“Tampin,” katanya sambil melemparkan senyum
manis.
“Masjid Tanah kat mana?”
“Kalau dari Alor Gajah, lepas empangan batu
menuju Solok Duku,” jawabnya ramah.
Tak sempat menghantar soalan susulan, gerabak
mula riuh dengan teriakan.
“Stesen Tampin! Stesen Tampin!”
Aku benar-benar dipanah sesal. Mengapa tak
tegurnya lebih awal tadi; setidak-tidaknya selepas Stesen Segamat?
Bagaimanapun kekesalan itu aku balas segera.
Bagaikan Shashi Kapoor, aku menghantarnya turun di platform. Sewaktu dia
melambai pergi, entah kenapa aku berasa betul-betul kehilangan. Sewaktu cuba menjenguk
selepas wisel dibunyikan; tanda kereta api akan bertolak pergi – wajahnya tidak
kelihatan lagi. Bunyi enjin kereta api semakin menderu tapi bunyi itu aku
dengar semakin menjauh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan